Kassim Ahmad – Idealis yang sesat, tak perlu disanjung

Tun M dan Kassim Ahmad bergambar selepas seminar Sabtu lalu. Sumber: Blog Syed Akbar Ali.

Tun M dan Kassim Ahmad bergambar selepas seminar Sabtu lalu. Sumber: Blog Syed Akbar Ali.

BANGI, 17 Feb – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis yang sesat dan mempunyai pemikiran kolot.

“Mempertikaikan hadis boleh memusnahkan ajaran Islam keseluruhannya, bagaimana dia boleh dianggap sebagai idealis? Sesat dan kolot. Tak perlu disanjung,” katanya kepada ISMAweb.net.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Seminar Pemikiran Pak Kassim: Satu Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada hari Sabtu lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merasmikan seminar itu berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik, lapor akhbar Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, lapor akhbar itu juga, tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.

“Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Penilaian Terhadap Perjuangan Kassim Ahmad.

Apabila ditanya berkenaan kenyataan kontroversi Kassim Ahmad seperti ‘kasta paderi’ dan rambut bukan aurat, Ustaz Abdullah berkata perkara itu bukan benda baru.

Kerajaan negeri Sabah pada 18 September 1986 telah mewartakan fatwa yang menyebut buku Kassim Ahmad bertajuk Hadith Satu Penilaian Semula adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Fatwa itu juga menyebut pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang-orang murtad, dan sekiranya undang-undang murtad telah dikuatkuasakan di negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh.

Ustaz Abdullah juga menyeru semua pihak agar mengambil berat soal akidah dan menyekat pemikiran yang bercanggah dengan Islam daripada mendapat liputan media dan disebarkan kepada masyarakat.   

One thought on “Kassim Ahmad – Idealis yang sesat, tak perlu disanjung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>