Yayasan Ikhlas sambut 74 orang saudara baru di Pitas, Sabah

UTAMA
PITAS, 1 Jan – Seramai 74 orang penduduk daerah Pitas telah memeluk agama Islam dalam sebuah majlis pengislaman beramai-ramai anjuran bersama Yayasan Ikhlas dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Masjid Al-Amin siang tadi.

Kesemua mereka yang merupakan suku kaum Dusun Kimaragang tinggal di Kampung Dowokon, Kampung Maliau, Kampung Sosop dan Kampung Kobon yang terletak jauh dari bandar Pitas.

Sukarelawan Yayasan Ikhlas, Ustaz Sarip Adul berkata, majlis pengislaman ini bermula dengan inisiatif pendakwah tempatan yang telah berdakwah kepada masyarakat setempat lalu meminta bantuan pihaknya untuk menguruskan majlis pengislaman beramai-ramai.

“Sebagai memenuhi permintaan itu, Yayasan Ikhlas telah membuat keputusan untuk membantu seterusnya mengumpulkan duit sumbangan bagi melancarkan perjalanan majlis ini.

“Alhamdulillah kita mendapat sumbangan masyarakat kira-kira sebelas ribu ringgit dan setiap orang saudara baru diberikan sumbangan sebanyak seratus ringgit seorang bagi dewasa dan lima puluh ringgit bagi kanak-kanak sebagai bantuan permulaan,” ujar beliau kepada wartawan ISMA.

Imam Kariah Daerah Pitas, Ustaz Ismail Estin yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata, usaha pengislaman masyarakat bukan Islam seperti ini adalah satu usaha yang terpuji kerana 50% penduduk daerah Pitas masih belum memeluk Islam.

“Menjadi usaha kami saban tahun untuk berdakwah mengislamkan masyarakat di sini. Dengan usaha Yayasan Ikhlas pada hari ini, ia menjadikan projek pengislaman ini semakin rancak,” kata beliau.

Eton Potok, yang memeluk Islam bersama isteri dan seorang anaknya berkata, beliau bersyukur kerana diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam. Sebelum ini beliau memeluk agama Kristian selama 20 tahun.

Aktivis Wanita ISMA Sabah, Siti Fatimah Zakaria berkata, selepas majlis melafazkan dua kalimah syahadah, beliau dan aktivis wanita yang lain telah membimbing kumpulan wanita yang baru memeluk Islam tentang cara mengambil wuduk dan cara bersembahyang.

“Kami mengajar mereka secara ringkas cara mengambil wuduk, cara solat dan cara berpakaian sebagai seorang muslimah,” katanya.

50 orang lagi akan masuk Islam bulan hadapan

Menurut Ustaz Sarip, jumlah peserta yang dijangkakan memeluk Islam pada hari ini sebenarnya 150 orang, akan tetapi disebabkan faktor cuaca dan jarak perjalanan yang jauh, terdapat sekumpulan lagi masyarakat penduduk yang tidak hadir.

“Bagi mereka yang tidak hadir, kita akan cuba menganjurkan majlis dalam skala yang lebih kecil di tempat perkampungan mereka sendiri. Bayangkan pada hari ini, mereka yang hadir terpaksa menaiki dua kenderaan iaitu kereta pacuan empat roda dan perahu. Jadi terdapat kesulitan dalam pengangkutan, ditambah lagi dengan faktor hujan,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata, Yayasan Ikhlas akan mengusahakan pembinaan sebuah surau di salah sebuah perkampungan penduduk dan akan menubuhkan sebuah pusat bimbingan muallaf sebagai tindakan susulan.

“Kita akan mencari dana untuk membina surau di atas tanah yang telah pun disediakan oleh penduduk. Dalam pada itu, kita akan mencari seorang petugas sepenuh masa yang boleh berbakti di pusat bimbingan muallaf yang bakal ditubuhkan sebagai tindakan susulan bagi majlis pengislaman hari ini,” tambah beliau.

Tambahnya, Yayasan Ikhlas memerlukan bantuan berterusan semua pihak dalam pelbagai bentuk sumbangan terutamanya kewangan bagi menjayakan projek pengislaman, pembinaan surau dan pembangunan pusat bimbingan muallaf.

Selain itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah dan ahli jawatankuasa masjid yang telah membantu menjayakan majlis ini dan para penderma yang ikhlas menyumbang.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Wartawan ISMA 

SATU

DUA

LIMA

EMPAT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *