Bila anak bertanya tentang Syiah

Syiah

“Itu bangunan apa ayah? Masjid ke?” Tanya Humaira’ ketika kami melintasi sebuah ‘hauzah’ Syiah di Regency Road.

Saya memandang ke kiri jalan. Tersergam sebuah bangunan umpama masjid. Ada bendera hitam yang saya tidak pasti apa yang ditulis di atasnya. Paling jelas adalah tulisan ‘Ya Hussain’ di bendera merah besar yang berkibar megah di masjid tersebut. Kelambu-kelambu hijau menutupi tingkap dan kelihatan ada beberapa kereta di tempat parkir.

Di South Australia, setahu saya, inilah hauzah Syiah yang paling besar. Kebanyakan mereka adalah dari Iran dan Afghanistan dan telah berada di sini berpuluh-puluh tahun, ada yang bekerja dan tidak kurang ramai juga yang mempunyai pasaraya sendiri untuk menjual pelbagai rempah ratus dan daging halal di Prospect Road.

Dari kalangan pelajar universiti juga tidak kurang, paling mudah untuk mengecam mereka adalah dengan melihat cara mereka solat dengan meletakkan batu di hadapan. Biasanya mereka akan datang agak lewat dan solat di bahagian belakang.

“Hmmm…” Panjang saya berfikir, kompleks juga untuk dimudahkan dan diceritakan, apatah lagi bila hakikat yang ingin diceritakan adalah berkenaan krisis aqidah, kemelut darah dan perbezaan yang telah berlalu dengan amat panjang dalam sejarah.

Saya tahu, sampai satu masa, saya perlu menjelaskan hakikat Syiah kepada anak-anak, seperti mana saya telah menjelaskan tentang hakikat Kiamat, Dajjal dan akhirat kepada mereka.

Memahami dan menjelaskan kesesatan Syiah kepada anak-anak adalah amat penting, bahkan ia mungkin lebih penting dari menjelaskan berkenaan kesesatan Kristianiti yang mempercayai bahawa Isa adalah anak tuhan.

Perbezaan antara Islam dan Kristian adalah jelas, tapi antara Sunnah dan Syiah, wajah luarnya bagi mereka yang tidak ada ilmu, adalah sama.

Bahkan ketika zaman sekolah dulu, saya juga antara pengkagum Iran, terutamanya pasukan bolasepak mereka, tapi setelah mengetahui hakikat sebenar melalui para asatizah yang mendidik saya di dalam ISMA dan Pondok Derang ketika saya di Universiti Utara Malaysia, barulah saya jelas akan hakikat kesesatan yang selama ini bersembunyi di sebalik serban Khomeini yang tinggi.

Khomeini menjatuhkan hukuman mati kepada Salman Rushdie kerana menghina Rasulullah dalam The Satanic Verses, tapi sungguh ironi bila dia sendiri menghina para sahabat Rasulullah yang mulia dalam kitab-kitab tulisannya seperti yang telah dijelaskan oleh Said Hawwa.

Ramai yang menganggap bahawa perbezaan Sunni dan Syiah hanyalah perbezaan mazhab dan menganjurkan sikap lapang dada dalam berhadapan dengan mereka, sedangkan hakikat yang telah dijelaskan oleh para ulama silam dan ulama hari ini tidak begitu.

Walaupun ada di kalangan para ulama yang menjelaskan bahawa terdapat satu aliran Syiah yang dikenali sebagai Zaidiyah di Yaman masih boleh diterima, tapi hakikatnya, Syiah yang berkembang di seluruh dunia termasuklah Syiah di Malaysia adalah di kalangan Rafidhah yang telah diakui kesesatan dan kebatilannya oleh majoriti dari para ulama.

Tambahan pula, melihat perkembangan Syiah di Malaysia yang begitu pesat walaupun difatwakan sebagai sebuah ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, khuatir satu hari nanti, pengaruhnya akan masuk ke anak-anak kita jika kita tidak menjelaskan betul-betul tentang hakikat kesesatan Syiah kepada anak-anak.

Apatah lagi dengan munculnya gerakan-gerakan NGO seperti COMANGO yang bertopengkan hak asasi yang cuba untuk mendesak kerajaan bagi membenarkan Syiah diamal dan disebar dengan bebas di Malaysia.

Tidak mustahil satu hari nanti, jika tidak ada usaha untuk menjelaskan kepada anak-anak, dan menghalang gerakan-gerakan ini dari mengubah lanskap Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, fitnah besar akan melanda dan anak-anak cucu kita nanti akan menjadi mangsa.

“Itu adalah tempat berkumpulnya orang-orang Syiah.” Saya memulakan penjelasan. Sengaja tidak menggunakan perkataan masjid untuk mengelakkan kekeliruan.

“Syiah? Syiah itu apa ayah?” Balas Humaira’ penuh tanda tanya.

Saya cuba mengingat beberapa fakta utama tentang Syiah. Tidak mudah sebenarnya untuk menjelaskannya dengan bahasa yang mudah. Apa yang penting, anak-anak mesti dijelaskan tentang kesesatan golongan ini sejak awal usia, secara berperingkat dan dengan bahasa yang semudah yang mungkin, tanpa sarkastik dan elakkan bahasa-bahasa negatif.

“Syiah ini adalah satu ajaran yang sesat dan tidak diterima oleh Allah. Ia nampak seperti ISLAM, tapi sebenarnya tidak. Kita tidak boleh ikut ajaran golongan ini.”

“Antara sebab mengapa kita tidak boleh ikut golongan ini adalah kerana mereka ini adalah dari golongan yang mengatakan para sahabat yang mulia seperti Abu Bakar, iaitu ayah kepada Aisyah, Asma dan sahabat Rasulullah yang paling baik sebagai kafir, begitu juga mereka mengatakan sahabat Rasulullah yang hebat iaitu Umar Al Khattab sebagai kafir setelah Rasulullah meninggal dunia (wafat). Sedangkan para sahabat ini adalah golongan yang mulia, adil dan wajib kita ikut petunjuk-petunjuk yang telah mereka tinggalkan.”

“Mereka juga mengatakan Aisyah, isteri Rasulullah dengan pelbagai kata-kata yang buruk, sedangkan Aisyah ini adalah orang yang mulia dan isteri yang sangat Rasulullah sayang.”

“Mereka juga mengatakan bahawa terdapat di kalangan Imam mereka yang maksum. Maksum ini maknanya bersih dari dosa. Sedangkan dalam ajaran Islam yang sebenar, tidak ada manusia yang maksum, kecuali Rasulullah S.A.W”.

“Mereka juga solat dengan cara yang agak lain, dan solat mereka perlu ada batu di hadapannya.”

“Di Syria, tentera-tentera Syiah lah yang banyak membunuh orang-orang Islam di sana, mereka ini sangat kejam dan tidak ada perikemanusiaan.”

“Sebenarnya banyak lagi perkara yang menyebabkan Syiah ini sesat dan tidak diterima, tapi yang ayah sebut tadi adalah antara yang utama, apa yang perlu Humaira’ tahu, Syiah adalah sesat dan kita tak boleh ikut ajaran mereka. Nanti ayah akan jelaskan lagi tentang Syiah pada lain masa.”

“Oooo,” angguk Humaira’ dari belakang kereta. Saya memandang dari cermin pandang belakang. Semoga dia beroleh sedikit kefahaman.

Mendepani cabaran pendidikan anak-anak pada masa depan yang penuh fitnah dan mehnah, apatah lagi dengan kesan globalisasi dan capaian Internet yang memungkinkan anak-anak mudah mendapat akses maklumat dengan lebih mudah tentang apa sahaja, ibu bapa perlu lebih cakna, lebih ‘update’, dan lebih ‘advance’ dari anak-anak dalam mendidik.

Tidak cukup sekadar mengajar tentang rukun iman, rukun Islam, membaca Quran dan solat sahaja, tetapi perlu juga didedahkan anasir-anasir kesesatan agar mereka tidak mudah terjatuh ke lembah kesesatan akibat kurangnya ilmu yang dibekalkan.

Penapis perlu lebih tebal, agar anak-anak kita kebal dari sebarang anasir yang akan merosakkan aqidahnya nanti.

Moga Allah menunjukkan kita semua ke jalannya yang lurus.

Hisham Sharif
Aktivis ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *