Syiah agenda Yahudi yang bertopengkan Ahlul Bait

mobis3
SKUDAI, 27 Nov – Syiah adalah agenda Yahudi yang bertopengkan Ahlul Bait (keluarga Rasulullah SAW).

Demikian menurut Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Hj Mohamad Ismail dalam salah satu “Siri Jelajah Ceramah: Bahaya Syiah” di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti di sini baru-baru ini.

Menurut Ustaz Mohamad lagi, ajaran Syiah boleh mempunyai persamaan dengan orang Yahudi, tetapi sentiasa bercanggah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

“Sebagai contoh orang Syiah menghalalkan darah setiap Muslim seperti yang berlaku di Syria, Iraq, Lubnan dan lain-lain manakala orang Yahudi di Palestin.

“Orang-orang Syiah juga tidak merujuk kepada kitab-kitab ASJW. Mereka ada kitab-kitab mereka sendiri dan hadis-hadis mereka tidak sampai (riwayatnya) kepada para sahabat, tetapi putus sehingga Abu Jaafar sahaja,” ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai hadis ‘Ghadir Khum’ yang digunapakai oleh Syiah untuk menyatakan Saidina Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW, Ustaz Mohamad berkata hadis tersebut telah disalahgunakan oleh Syiah bukan pada tempatnya.

“Hadis ‘Ghadir Khum’ disampaikan hanya di hadapan penduduk Madinah untuk menyelesaikan isu pelantikan Saidina Ali di Yaman, bukan mengenai pelantikan khalifah.

“Jika Rasulullah SAW ingin menyatakan Saidina Ali sebagai khalifah selepas baginda, sudah pasti baginda akan berbuat demikian di hadapan seluruh para Sahabat, bukan hanya di hadapan penduduk Madinah sahaja,” ujar Ustaz Mohamad.

Dalam sesi ceramahnya itu, beliau turut mendedahkan beberapa percanggahan akidah dan akhlak di antara ASWJ dan Syiah.

Antara doktrin-doktrin Syiah termasuklah mengatakan bahawa imam-imam mereka maksum, mengkafirkan para Sahabat Rasulullah SAW, mengatakan bahawa Al-Quran telah diselewengkan, mengatakan bahawa Allah SWT bersifat jahil (Al-Bada’), menghalalkan nikah Mut’ah, mengamalkan ‘Taqiyyah’ yakni berbohong atas nama Islam, mengatakan ASWJ memusuhi Ahlul Bait dan lain-lain.

“Musuh sebenar Ahlul Bait adalah Syiah kerana mereka hanya mengiktiraf Fatimah r.ha sebagai anak Nabi Muhammad SAW sedangkan perkahwinan Nabi dengan Khadijah r.ha mendapat 6 orang anak iaitu Rokiah, Zainab, Umi Kalsom, Fatimah, Abdullah dan Kasim.

“Kita (ASWJ) mengatakan semua itu Ahlul Bait Nabi SAW tetapi Syiah kata hanya Fatimah. Pegangan mereka ini satu penghinaan kepada Nabi SAW,” ujarnya.

Mengakhiri ceramah tersebut, beliau menyatakan bahawa Syiah berkembang di Malaysia kerana orang Melayu Islam jahil tentang Syiah dan menganggapnya sama seperti mazhab-mazhab Islam yang lain.

“Kita perlu bersatu dan beri kesedaran kepada masyarakat demi menegakkan agama Islam dan menghindarkan doktrin Syiah daripada mempengaruhi  masyarakat,” katanya.

Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan ISMA Johor

johor ceramah syiahSebahagian umat Islam yang hadir mendengar ceramah tentang Bahaya Syiah

One thought on “Syiah agenda Yahudi yang bertopengkan Ahlul Bait

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *