Isu kalimah Allah: Menjawab pemikiran Mujahid Rawa

Tulisan ini merupakan jawapan kepada tulisan Mujahid Yusuf Rawa dalam artikelnya yang bertajuk ‘Kalimah Allah: Episod Penggulungan Hujah’.

(Rujuk: http://www.sinarharian.com.my/mobile/karya/pendapat/kalimah-allah-episod-penggulungan-hujah-1.213541)

Terdapat 4 asas penting yang perlu difahami dalam menilai pemikiran Mujahid Rawa :

1. Ayat “La ikraha fi Ad-Deen” (Tiada paksaan dalam agama), sering disalahtafsirkan, lalu memberi kesan negatif kepada pemikiran dan tindakan.

Ramai cuba menggunakan ayat ini utk menunjukkan agama tak boleh dipaksa-paksa, tetapi lupa di sana ada ayat lain berbunyi “Wa qotiluhum hatta la takuna fitnah. Wa yakun Ad-Deen kulluhu liLlah” (Perangilah mereka, sehingga tiada lagi fitnah dan semua agama untuk Allah (Islam)” yang mengarahkan paksa dan perangi.

Sebenarnya “Ad-Deen” dalam ayat pertama bermaksud agama/aqidah Islam. Aqidah, keyakinan dan cinta terletak di hati. Ia tidak boleh dipaksa-paksa.

Manakala “Ad-Deen” dalam ayat kedua bermaksud Sistem/Undang-undang/Penguatkuasaan yang terletak di luar hati. Ia adalah perilaku, hubungan manusia sesama manusia dan negara. Ia boleh dikuatkuasakan walau tanpa kerelaan, demi maslahah umat.

Sekadar sebagai perbandingan, ibu bapa tidak boleh memaksa anak mereka untuk mencintai pelajaran dan guru, kerana cinta itu letaknya di dalam hati. Sebaliknya ibu bapa boleh memaksa anaknya pergi ke sekolah, demi maslahah (kepentingan) anak tersebut, samada dia redha atau tidak ke sekolah.

“Dikatakan orang-orang Ansar (di Madinah) berkata, “Dulu kami memilih Yahudi sebagai agama anak-anak kami kerana kami melihat ia lebih baik daripada agama kami. Apabila Allah mendatangkan Islam, maka kami memaksa mereka masuk Islam. Apabila turun ayat ini (“Tiada paksaan dalam agama), Nabi saw memberi pilihan kepada anak-anak kami tanpa memaksa mereka masuk Islam.” (Zubdah At-Tafsir, ms.53)

Khalifah Umar Al-Khattab ra mengarahkan panglima-panglima yang dihantar berjihad ke negara-negara jiran agar mengajak semua penduduknya menganut (agama) Islam. Jika enggan, maka mereka dimestikan membayar Jizyah (tunduk kpd Sistem Islam). Jika enggan, maka mereka diperangi. Jelas kisah Umar di atas menunjukkan agama/aqidah Islam tidak boleh dipaksa, tetapi peraturan dan sistem Islam boleh dipaksa. Firman Allah bermaksud, “Adakah kamu memaksa manusia hingga mereka menjadi orang-orang beriman?” (Al-Quran)

Oleh itu jika Islam memerintah sesebuah negara, Kerajaan Islam tidak boleh memaksa semua rakyatnya memeluk agama/aqidah Islam, tetapi ia boleh menguatkuasa/paksakan Syariatnya yang sejahtera demi maslahat orang ramai seperti melarang pelacuran, liwat, telanjang atau bercumbuan di khalayak ramai dan sebagainya walaupun agama atau adat mereka membenarkannya.

Hakikat ini sangat jelas dalam kesemua kitab Fiqh Islam dan sejarah Islam sepanjang zaman. Hanya golongan Liberal, golongan yang tidak mendalami hakikat Syariat Islam atau golongan berkepentingan sahaja yang menyalahtafsir ayat “Tiada paksaan dalam agama”.

Mujahid Rawa mungkin terkeliru di antara akidah dan sistem lalu menganggap “… ketetapan (Mahkamah) melarang (melalui undang-undang), itu sudah masuk dalam daerah memaksa (aqidah/jiwa/hati) yang ditegah oleh prinsip “Tiada paksaan dlm Agama”. Di sini kita melihat, prinsip “Tiada paksaan masuk agama Islam” cuba beliau luas ertikan sehingga orang-orang kafir bebas menamakan sembahan mereka dengan nama “Allah” yang suci, biarpun itu boleh mengeliru atau menyinggung perasaan orang lain, dan Mujahid Rawa menghadkan reaksi Negara Islam hanyalah kepada dialog dan mestilah tidak lebih dari sempadan dialog itu (seperti membuat penguatkuasaan dsb).

Apabila Mujahid Rawa tidak dapat membezakan antara kedua aspek asasi di atas, seterusnya menjadikan tafsirannya sendiri terhadap ayat “Tiada paksaan dalam agama” sebagai “prinsip-prinsip Islam”, kesannya kita dapati “Formula Pendekatan”, “Prinsip Kedamaian”, “Premis Perundangan” dan “pendekatan dialog” yang beliau hasilkan menjadi keliru.

Jauh dari itu beliau mula menuduh pihak-pihak yang mempertahankan kalimah “Allah” (tidak boleh disandarkan kepada Jesus, Messiah, Holy Ghost, Elywh dan sebagainya) sebagai “golongan sempit”, “kelompok ekstrim kanan” terdiri daripada gerakan-gerakan Islam tertentu, Majlis-majlis Fatwa, Majlis-majlis Syura dan lain-lain.

2. “Premis Teologi/Agama” pada Mujahid Rawa hanya berkisar kepada benar dan salah, tetapi tidak boleh sampai ke tahap mengadakan perundangan dan penguatkuasaan. Ini benar pada banyak agama termasuk Kristian, tetapi tidak pada Islam. Islam yang didatangkan Allah adalah sempurna dan syumul (menyeluruh) mencakupi Aqidah dan Sistem.

Sebenarnya, Islam menubuhkan Negara Islam bertujuan *Hifz Ad-Deen wa Nasyr Ad-Dakwah* (menjaga Agama dan menyebarkan Dakwah). Negara boleh, bahkan mesti berbuat sesuatu demi menjaga nama suci Allah daripada dinodai atau mengelak kekeliruan dalam masyarakat.

Sosiologi Islam, bahkan sosiologi bukan-Islam menyebut, “Inna Al-Haq labudda min Quwwah tahmihi” (Kebenaran itu mesti ada Kekuatan yang menjaganya). Kekuatan adalah kerajaan, penggubalan undang-undang dan penguatkuasaannya.

Sayyidina Uthman bin Affan berkata, “Inna Allah yazighu bi As-Sultan, mala yazighu bi Al-Quran” (Allah selesaikan urusanNya dengan Kekuasaan (undang-undang, perintah dsb), apa yg tidak boleh diselesaikan dengan Al-Quran (didikan, penerangan, dialog dan sebagainya).

3. Artikel 3(1) menegaskan “Islam is the religion of the Federation” (Islam adalah agama Persekutuan – maknanya Malaysia). Ia bukan seperti yang cuba disempitkan sebagai hanya agama resmi (official religion) seperti tuduhan sesetengah pihak.

Oleh itu, tidak ada masalah sama sekali nyanyian lagu sesetengah negeri yang ada sebutan “Allah (SWT)” dinyanyikan atau lambang/tulisan “Allah (SWT)” dalam emblem pada uniform penjawat rasmi kerajaan di Malaysia asalkan ia membawa maksud Allah SWT.

Jauh dari itu, kita mengalu-alukan seluruh rakyat jelata mengangkat mengibar bendera tertulis padanya kalimat “Allah (SWT), menggambarkan Malaysia adalah tanahair dan negara Islam yang berdaulat. Sesungguhnya sebuah Negara Islam memang menaungi semua agama dan bangsa. Contoh Negara Islam yang dibina Nabi saw di Madinah adalah jelas.

Namun, isu nyanyian lagu dan pakaian di atas bukanlah Mahal An-Nizak (Premis Perbincangan) yang sedang dibicarakan oleh Majlis-majlis Fatwa/Syura, Mahkamah dan kita di sini.

Premis Perbincangan adalah menulis atau mencetak nama atau doktrin yang salah dengan menamakan makhluk-makhluk sembahan selain Allah SWT dengan nama “Allah” oleh akhbar/portal Herald untuk diedar atau ditatapi oleh orang ramai, Islam dan bukan-Islam.

Mujahid Rawa menyangkal telah adanya bukti masyarakat  keliru jika dibenarkan penggunaan nama “Allah” pada sembahan-sembahan selainNya, lalu beliau mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan lebih didasari oleh “desakan dan sikap emosional”, “kebimbangan yang tidak berasas”, “sensasi media dan tekanan golongan ekstrim kanan” dan sebagainya.

Kita tegaskan bahawa Syariat Islam tidak semestinya menghukum berdasarkan kes yang telah berlaku semata-mata. Sebaliknya Syariat Islam juga boleh menghukum berdasarkan Ghalib Az-Dzan (kemungkinan besar akan berlaku) seperti aspek pencegahan dan langkah waspada.

Apatah lagi dalam isu kalimah “Allah” sendiri, memang berlaku rasa tersinggung atau kekeliruan dalam masyarakat Islam jika perkataan “Allah”  digunakan bagi nama sembahan-sembahan selainNya. Rujuk “Isu kalimah Allah – Anwar Ibrahim” on YouTube – http://www.youtube.com/watch?v=WRljS86PitU&feature=youtube_gdata_player. Beliau berpendapat bahawa, “We must remember that the god we worship is in fact *the same god*, the creator and sustainer of the universe” (Kita mesti ingat bahawa tuhan yang kita sembah adalah sebenarnya *tuhan yang sama*, pencipta dan pentadbir alam ini), sedangkan Allah SWT berfirman bermaksud, “Katakan Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Aku bukan penyembah apa yang kamu sembah. Kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu. Bagiku agamaku” (Al-Kafirun).

Jika kekeliruan boleh berlaku pada seorang tokoh seperti di atas, apatah lagi pada golongan masyarakat yang dhaif, jahil atau yang berkepentingan.

4. Dalam mengeluarkan sesuatu hukum, perkara pertama yang ditentukan oleh Fiqh Islam adalah Mahal An-Nizak (premis perbincangan). Hari ini premis perbincangan adalah *Herald/pihak Kristian hendak tukar kalimat “God” kepada “Allah”*.

Contohnya, jika terjemahan ini dibenarkan maka ucapan Pope Francis I seperti, ” .. God is certainly in the past because *we can see the footprints* ..”, akan diterjemahkan kepada “Allah itu pastinya (wujud) dimasa lampau sebab kita boleh lihat kesan/cap tapak kaki(Nya) …”. (Rujuk : An exclusive interview with Pope Francis – http://www.heraldmalaysia.com/news/An-exclusive-interview-with-Pope-Francis-17458-2-1.html)

Dalam hal di atas, Negara Islam boleh menghalang “God” diterjemah sebagai “Allah” di dalam edaran atau tatapan orang ramai, kerana Maha Suci Allah daripada mempunyai cap tapak kakiNya boleh dilihat oleh kita. Jika tidak, kekeliruan akan timbul, bahkan sifat Allah dinodai dan boleh menyinggung perasaan Umat Islam.

Ada pihak yang membenarkan Kristian menggunakan kalimah “Allah” sebagai nama sembahan-sembahan mereka dengan syarat ia tidak disalahgunakan. Dalam contoh di atas, tidakkah salahguna telah pun berlaku. Kita sangat percaya jika pintu-pintu syubhat dibiarkan terbuka luas, lebih banyak salahguna akan berlaku.

Di atas tadi adalah petikan kata-kata Pope Francis I yang telah disiarkan oleh Herald untuk bacaan rakyat Malaysia. Bagaimana pula kata-kata beliau yang lain seumpama itu, di portal-portal lain, tahun demi tahun, jika disiar atau dipaut(link)kan oleh portal Herald. Tidakkah nanti boleh mengeliru masyarakat atau mempersendakan Allah di hadapan masyarakat Islam?

Inilah Mahal An-Nizak nya.

Malangnya dalam isu yang mudah ini kita dapati, sebilangan penceramah, pemikir atau penulis cuba mengalih-alihkan Mahal An-Nizak (premis/konteks perbincangan) kepada yang lain seperti :
– “Allah bukan milik eksklusif umat Islam …”, 
– “Allah untuk semua”
– Nyanyian lagu negeri ada sebutan kalimah “Allah”
– Emblem di baju polis dan askar ada tertulis kalimat “Allah”.
– Perbualan atau ucap selamat orang kafir kepada kawannya.

Ini boleh menyebabkan :
– Di kalangan Ulamak, perbincangan tidak berkesudahan atau tidak mencapai suatu keputusan yang amali, kerana Premis-premis Perbincangan berbagai-bagai.
– Masyarakat Awam menjadi keliru. Ada yang bersetuju Allah untuk semua manusia tetapi tidak sedar bahawa larangan ini adalah mengenai suatu hal khusus yang lain. Kesannya mereka mencemuh Majlis Fatwa, Majlis Syura, Hakim-hakim Mahkamah Agung, tokoh-tokoh Ulamak dan lain-lain tanpa menggarap premis perbincangan sebenar.

Dalam hal ini kita mengajak semua pihak agar amanah terhadap ilmu-ilmu Islam yang telah dipelajari dan amanah terhadap kepercayaan masyarakat yang telah diperolehi, bukan kita turut mengusutkan lagi suasana.

5. Perjuangan menyempurnakan undang-undang.

Di zaman dahulu hakim memutuskan hukuman dalam sesuatu mahkamah berdasarkan ilmunya tentang Fiqh Islam dan keterangan dalam perbicaraan.

Adapun di zaman kini, hakim memutuskan berdasarkan Undang-undang yang diwartakan di Parlimen oleh Ahli-ahli Parlimen atau DUN oleh ADUN-ADUN dan keterangan-keterangan dalam perbicaraan.

Yang boleh menyatukan umat Islam adalah Ketua Negara sebagai simbol perpaduan dan kekuatan, serta Majlis-majlis Ulamak/Syura yang mempunyai mekanisma dan disiplin dalam mengeluarkan fatwa-fatwa.

Oleh itu seharusnya, apa yang diputus oleh Majlis-majlis Ulamak, Fatwa, Syura dan seumpamanya diusahakan pula melalui kesepakatan Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN khususnya mereka yang beragama Islam dari pelbagai parti utk dijadikan Undang-undang di dalam dewan-dewan perundangan masing-masing tanpa berlengah.

Jika tidak, undang-undang akan terus kekal dalam keadaan kurang sempurna dan hakim terpaksa banyak bergantung kpd ruh kenegaraan iaitu “Hifz Ad-Deen wa Nasyr Ad-Dakwah” (menjaga Agama dan menyebarkan Dakwah), pengalaman diri serta firasat hatinya.

Ulamak terdahulu mengatakan, “Inna Al-Adla fil nafs Al-Qadhi, la fi nusus Al-Qanun …”. (Sesungguhnya Keadilan itu terletak dalam jiwa Hakim, bukan pada ayat-ayat dalam undang-undang. Adakalanya undang-undang itu tertulis lengkap, tetapi jiwa hakimnya zalim, lalu keputusannya zalim. Adakalanya undang-undang tidak lengkap, tetapi jiwa hakimnya adil, lalu dia menghukum dengan tepat dan adil).

Dalam isu Kalimah “Allah” Majlis-majlis Fatwa di bawah Ketua Negara telah lama berfatwa mengenainya, namun wakil-wakil rakyat tidak menggubalkannya dalam Dewan-dewan Perundangan dengan sebaiknya, sehingga ada ruang-ruang yang bolos (loop holes) untuk pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan daripada kealpaan kita.

Namun kita bersyukur, walaupun dengan kekurangan undang-undang sedia ada, keputusan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan pada 14/10/2013 lalu adalah tepat dan adil, mengambilkira Malaysia sebuah Negara Islam, menafsirkan “Hak Kebebasan Beragama” dan “Hak Kebebasan Bersuara” dengan jiwa yang adil melihat realiti setempat, berbeza dari tafsiran Hakim Lau Bee Lan dalam penghakimannya di Mahkamah Tinggi pada 31/12/2009.

Kita jangan lupa pengajaran dari kes mahkamah Ooi-Siow yang bercumbuan di khalayak ramai melawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (yang membuat tangkapan) atas premis “Hak Kebebasan Individu” hingga kes diheret ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Ini tidak lain selain ada loop holes di dalam undang-undang sivil. Akhirnya DBKL menang kes antara lain kerana jiwa hakim yang adil dan mengambilkira realiti masyarakat setempat. (Rujuk : The Malaysian Bar – Grounds of Judgment on DBKL’s “Hugging & Kissing” case:: Ooi Kean Thong & Siow Ai Wei v DPP 2006 [FC] –http://www.malaysianbar.org.my/selected_judgements/grounds_of_judgment_on_dbkls_hugging_kissing_case_ooi_kean_thong_siow_ai_wei_v_dpp_2006_fc.html ).

Kita melihat Mujahid Rawa mungkin terlepas pandang prinsip-prinsip Islam yang sebenar, serta status Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, sebaliknya beliau mendakwa “… Mahkamah Rayuan (yang) terlepas pandang (terhadap) kerangka negara yg sedang dibina.”

Perlu disebut di sini bahawa, walaupun Islam mewajibkan umatnya menggubal peraturan dan menjalankan penguatkuasaan demi menjaga Agama, ini tidak bermakna Islam menolak dialog, debat yang baik dan seumpamanya. Sebaliknya Islam mengalu-alukan forum dialog di kalangan para cendikiawan dari berbagai pihak seperti debat-debat Ahmad Deedat dengan cendikiawan Kristian yang kita telah sedia maklum.

Ini adalah kerana peraturan hanya mengawal tindakan, sedangkan dialog, meyakinkan pemikiran dan menambat hati akan membuka hati dan jiwa mereka kepada menerima Aqidah Islam.

Firman Allah bermaksud, “Tiada paksaan dalam Agama. Sungguh telah jelas mana itu Petunjuk dan mana itu Kesesatan…” (Al-Quran).

Ustaz Abdul Halim Abdullah
Ketua Penerangan
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
www.isma.org.my
www.ismaweb.net

One thought on “Isu kalimah Allah: Menjawab pemikiran Mujahid Rawa

  1. How quickly things changed.. PAS leaders used to be vocal and tenacious defenders of Islam. However, since aligning themselves with the anti-Islam/Muslim/Malay DAP and the godless PKR, PAS leaders have been behaving like heretics. PAS is supposed to be an Islamic movement first, a political party second or lower. Now PAS is a political party first, Islam never mind. Its leaders are now tenaciously arguing/justifying why they are not doing what PAS was set up to do by misusing the fiqhi principles, quranic injunctions etc. For Mujahid [he even has a wrong name because he is the opposite of what a mujahid should be] to abuse the quranic verse; “no compulsion in religion” is going too far!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *