Wajib mengundi calon muslim berwibawa

ufa

BANGI, 1 Mac – Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menegaskan bahawa menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk mengundi calon muslim berwibawa sebagai pemimpin dalam PRU13 kelak.

“Kita perlu memilih orang Islam menjadi pemimpin kerana hanya orang Islam yang dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin mengikut konsep negara Islam,” ujarnya.

Jelas Ustaz Fauzi secara terperinci, hal ini kerana tugas pemimpin Islam adalah untuk memelihara agama dan mentadbir urusan dunia berteraskan agama.

“Pemimpin Islam juga akan menjalankan tugas dakwah secara terancang dan berkesan serta melakukan hal keagamaan untuk menggalakkan syiar Islam.

“Bahkan, konsep negara Islam sendiri meletakkan Al-Quran dan hadis sebagai sumber utama di samping menjaga akidah umat Islam,” ujar beliau.

Ustaz Fauzi berkata, secara dasarnya tugas pemimpin adalah untuk mempertahankan negara dan undang-undang, memelihara keamanan, menegakkan keadilan, mengurus pentadbiran harta dan perlantikan penjawat awam, tetapi itu hanya merujuk kepada tugas pemimpin dalam kuasa politik dan bukanlah merujuk secara keseluruhan.

Menurutnya, jika hanya objektif itu sahaja yang diambil kira, memang orang bukan Islam pun mampu memikul tanggungjawab tersebut, tetapi jika diambil keseluruhan maka hanya orang Islam sahaja yang layak untuk menjadi pemimpin.

“Ini bertepatan dengan ayat 57 surah Al-Maidah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pimpinanmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan iaitu antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu dan orang-orang kafir  (orang musyrik) dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang yang beriman.

“Dalam surah An-Nisa’ juga turut menerangkan mengenai kepimpinan iaitu dalam ayat 139 yang bermaksud: (iaitu) orang-orang yang menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Ketahuilah bahawa semua kekuatan milik Allah.

“Justeru berdasarkan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah, ini membuktikan bahawa hanya orang Islam yang berwibawa layak menjadi pemimpin,” tegas Ustaz Fauzi.

13 thoughts on “Wajib mengundi calon muslim berwibawa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *