Inilah kisah kami …

“Dr, macam mana nak memudahkan hati ana untuk menginfaq?”

“Kenapa?” tanyaku.

“Ana ni susah betul nak infaq, takut duit ana yang sedikit ni habis. Kalau habis, macam mana ana nak guna untuk kehidupan harian ana? Nak minta dengan ibu bapa malu pula. PTPTN pun baru je dapat.”

Aku hanya tersenyum.

“Anggap sahaja infaq anta itu sebagai satu PELABURAN. PELABURAN YANG MAHA LUMAYAN.”

“Macam mana tu?” katanya bingung.

“Kalau kita melabur , kita akan mudah untuk keluarkan wang, kerana kita pasti, satu hari nanti kita akan dapat pulangan yang berganda-ganda. Contohnya, kita masukkan RM100 ke dalam ASB, biasanya selepas setahun kita akan dapat keuntungan dalam RM8-10 (keuntungan ASB dalam sekitar 8-10%). Ini dalam masa setahun, kalau 10 tahun? Kalau 20 tahun?”

Dia mula tersenyum faham.

“Begitu juga jika kita anggap infaq itu sebagai satu pelaburan yang memang dijamin oleh Allah akan dapat untung 10 kali ganda, tentu kita nak bukan? Kalau untung 8-10% kita sanggup tunggu setahun, kalau untung 10 kali ganda dari nilai asal pelaburan, tentu kita sanggup tunggu lagi lama,” kataku tersenyum.

“…hatta sehingga ke pengadilan Allah nanti, bukan?”

Dia mengangguk kepala tanda faham.

Ini kisah benar, tiada yang benar selain yang benar-benar belaka,
Kisah sekumpulan manusia, yang jiwanya hanya untuk Allah dan dakwah ini,
Mereka dididik untuk melihat dunia hanya dengan sebelah mata,
Namun melihat akhirat, sebagai satu impian dan cita-cita yang menggunung tinggi
Satu ketika, mereka diminta untuk menyumbangkan apa yang ada,
demi mencapai satu agenda yang tinggi, untuk menyelamatkan umat ini,
Tapi agenda ini, amat-amat memerlukan sumbangan duit dan harta,
Supaya mesej sampai dan disokong oleh masyarakat yang masih tak memahami,
Mereka melihat sekeliling mereka, apa yang kami ada? Tanya mereka pada hati
Tiada duit yang boleh disumbangkan, tiada harta banyak yang boleh dikorbankan.
Mereka melihat saudara mereka di seberang sana berjuang, dengan penuh rasa iri hati,
Ketua mereka pun kata, “Kita ada tenaga dan masa, maka itu juga satu bentuk kekuatan.”

Kisah dadih ajaib dan keropok viral

pru - dadih dan kerepek viral

Dadih ajaib dan keropok viral inilah yang menjana kentungan RM20-40 sekali jualan untuk dakwah ini. Walaupun nilainya kecil di mata manusia, namun amat besar di hati kami.

“Mari kita tukar masa dan tenaga kita kepada wang”, ujar mereka seiya sekata.

Maka bermulalah proses perjuangan yang amat panjang dan memeritkan. Di kalangan mereka mula merancang, sehabis kuliah terus membuat “dadih ajaib” yang istimewa. Selepas itu, sebahagian lain bertebaran merata kolej membawa dadih ajaib untuk jualan. Proses ini dibuat saban hari demi hari, namun jumlahnya masih jauh dari mencukupi.

Akhirnya seorang pula berkata, “kita perlu membuat satu anjakan untuk mencapainya”. Maka terciptalah “keropok viral”, keropok semakin banyak bertukar dan duit diperolehi. Mereka menjadi begitu amat bersemangat dan perasaan teruja menyelubungi. Namun, setelah diukur dan dikaji, dikira duit dan diamati, ketuanya pun berkata dengan penuh sedih di hati, “Jumlah yang kita perolehi masih jauh dari mencukupi, sesungguhnya kita masih perlu berusaha lagi.”

Poket-poket kami dan dompet-dompet kami

Akhirnya penuh rasa keinsafan, mereka memulakan kempen menyumbang. Diberikan taujihat dan pelbagai amanat yang sungguh mengharukan. Saudara kita di seberang berjuang dalam jihad siasi dengan penuh cabaran, kenapa kita disini masih berdiam diri dan masih berpeluk tangan?

Maka, berduyun-duyunlah tangan ingin memberikan sumbangan. Dari pelbagai peringkat, semata-mata hanya atas dasar keimanan. Duit dan wang terus bertukar tangan, namun masih jauh dari apa yang diinginkan.

Barang yang dimiliki dijual, diberikan dengan penuh kerelaan. Televisyen, komputer, notebook dan segala macam harta, malah ada yang mengiklan di FB, internet dan menemui rakan. Semuanya dikorbankan untuk satu agenda yang sama.

pru - dinar

Perjalanan satu dinar emas

Tahukah anda? Satu dinar ini dahulu milik salah seorg daripada kita,
Tujuan asalnya untuk menjadi bekalan dan simpanannya
Namun dilelongnya dengan penuh kerelaan di jiwa
Atas dasar mahu membantu perjuangan yang diyakininya,

Begitulah hati-hati manusia yang ditarbiyah,
Apabila telah memahami, mengerti tujuan hidup ini,
Segala yang dimiliki, hanyalah sekadar pinjaman dari Allah,
Apa yang utama, keredhaan dan akhirnya nanti syurgawi.

Lelong! Lelong! Lelong!

Tiba-tiba, ada satu suara kecil mencadangkan dengan penuh keinsafan, kenapa tidak kita buat satu sesi lelongan barang sesama kita?

Pada mulanya dilihat skeptical, namun sudah tiada pilihan. Kita semua sudah tiada harta dan ini sahaja jalannya.

Rupanya tercatit satu kisah ukhuwah, keimanan dan pengorbanan. Barang yang dilelong rupanya bukan barang-barang yang sebarangan, jam tangan pemberian saudara, jaket lambang kasih sayang ibubapa. Malah cincin dari suami tercinta, turut juga dilelongkan.

Namun lelongan tetap perlu dijalankan, kerana ini niat suci si empunya barang, mengorbankan harta yang mempunyai nilai yang tidak terhingga, yang tidak dapat diukur dengan hanya nilaian dunia,

Atas rasa ukhuwah dan keimanan, ramai yang membida untuk mengumpulkan dana, kerana yakin segalanya adalah pelaburan dan bukannnya satu kehilangan. Menitislah air mata apabila menyaksikan, kerna nilai pengorbanan tidak dapat dibayangkan.

Bidaan demi bidaan terus diterima, nilai semakin naik dari semasa ke semasa. Ada di kalangan mereka yang mula berbincang, barang yang diinfakkan mesti kita selamatkan jua. Kerana nilainya cukup tinggi, dan amat-amat bernilai di hati saudara kita.

Berebut-rebut untuk membuat pengorbanan yang paling besar, di sinilah realiti dan kesan tarbiyah terpamer di hadapan kita….

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (2:261)

Akhirnya barangan tersebut berjaya mereka miliki, dan dengan ikhlas barang tersebut dikembalikan pada saudaranya,

Rupanya bukan nilai barang tersebut yang sebenarnya dibida, tapi, sebenarnya nilai ukhuwah yang sejati yang tiada nilai dan taranya di dunia.

Hasil lelongan rupanya jauh daripada nilai sebenar barangan, bukan sekali ganda, malah 5 sehingga 10 kali ganda,

Kerana bukan nilaian RM yang sebenarnya dibida, tapi nilaian ukhuwah, keimanan dan pengorbanan yang sebenarnya tercerna.

SAKSIKANLAH!!! WAHAI SEMUA

Namun niat suci dan pengorbanan mereka terus menerus dipersoalkan, duit yang dikumpulkan, dituduh hasil dari menjual prinsip perjuangan,

Beberapa kali dinafikan dan terus diberikan penerangan, namun suara-suara ragu dan musuh terus-menerus menikam.

Sedih di hati mereka tidak dapat dibayangkan, mendengar dan melihat tuduhan demi tuduhan,

Percayalah, fahamilah, sumbangan datang dari hati yang faham, atas dasar ukhuwah dan keimanan, barulah semua ini mampu dikumpulkan.

Wahai semua yang mendengar! Janganlah dipertikaikan keikhlasan kami. Kami sanggup berjaga malam, serta mengosongkan dompet kami untuk umat ini.

Berilah kami peluang dan kesempatan, untuk mendengar penerangan agenda ini. supaya kita berganding bahu bersama, menyelamatkan umat Islam di Malaysia ini.

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati ini telah bersatu berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepadaMu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan)-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu, maka kuatkanlah ikatan pertaliannya, ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”

Oleh: Dr Mohd Khairol bin Jambli, YDP ISMA Sarawak

10 thoughts on “Inilah kisah kami …

  1. Pingback: Inilah kisah kami.. | PEMBINA Bangi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *