PRU13: ISMA alternatif kepada Pas dan Umno?

U Lah

Sehingga akhir tahun lalu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) lebih dikenali sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat aktif dalam kerja-kerja berkaitan dengan aktiviti agama dan membawa perjuangan berkaitan Islam.

Maklumat yang disertakan dalam segmen profil menunjukkan Isma merupakan satu badan bukan kerajaan yang aktif memainkan peranan di tengah masyarakat dengan hasrat membentuk dan membina masyarakat yang unggul dan gemilang.

Isma berhasrat untuk memikul amanah sebagai organisasi yang memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat sama ada dari segi aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangunan remaja, belia serta wanita.

Isma juga bukan parti politik dan tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan politik kepartian.

Situasi hari ini berbeza!

Hari ini, susulan kepada kenyataan-kenyataan sejak lebih sebulan yang lalu, Isma akan mengumumkan parti yang akan dipilih sebagai platform untuk bertanding dan melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online baru-baru ini, Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, “kita juga buat kajian secara menyeluruh terhadap perkembangan, situasi semasa.”

Pertubuhan bukan kerajaan ini mahu melancarkan jentera pilihan raya dan parti yang akan ditandingi.

Katanya, ini bukan bermakna Isma, yang keahlian sekitar 10,000 orang dan pengikut dalam lingkungan 20,000 orang, tidak pernah mengikuti perkembangan politik tanah air secara dekat.

Cuma kali ini Isma memutuskan untuk terlibat secara aktif khususnya dalam pilihan raya umum, kata beliau.

Kenyataan media tiga hari lalu menunjukkan Isma menyokong penuh keputusan Berjasa untuk terlibat sama dalam PRU13 atas dasar situasi umat Melayu Islam ketika ini yang berada dalam keadaan perpecahan yang sangat besar, kata  Ketua Biro Politik Isma, Aminuddin Yahaya.

Kata beliau, ia sesuatu yang wajar kerana politik hari ini memerlukan satu arus baru atau arus ketiga yang boleh menyatukan kedua-dua pihak iaitu Umno dan Pas.

“Kami ikut setiap perkembangan yang berlaku… ke atas parti-parti politik dan kita juga buat kajian terhadap orang-orang yang tidak berpolitik, masa depan pengundi muda… yang mungkin tidak memihak kepada berdasarkan parti, tetapi terlibat berdasarkan perkembangan semasa,” jelas Zaik kepada Sinar Harian Online.

“Kira-kira 50 peratus masih tidak menentu (tentang parti yang menjadi pilihan mereka,” kata beliau lagi sambil menambah, “ini bermakna wujud rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat atau kekeliruan dalam membuat pilihan politik.”

Sehubungan itu kata beliau, Isma ada keperluan untuk memberi rakyat khususnya umat Islam pilihan “ketika kita sedang berhadapan dengan situasi percaturan politik yang amat getir.”

“Kita sedang menghadapi situasi paling tidak stabil,” katanya lagi.

Menurut Zaik, sehingga awal bulan lalu, pihaknya sudah ada sekitar 30 calon untuk diturunkan dalam PRU13.

Di samping hujah suasana politik tidak stabil dan tidak menentu, Zaik yakin bahawa pihaknya boleh memainkan peranan penting jika wujud satu suasana di mana tiada parti atau perikatan yang memperoleh kemenangan mutlak dan jelas pada kali ini.

Pendirian ini selari dengan beberapa pihak yang dilabel sebagai kuasa ketiga atau ‘third force’ menjelang PRU13.

Elemen kuasa ketiga ini sudah kedengaran sejak tiga tahun yang lalu. Ketika itu aliran kuasa ketiga ini berbeza berbanding pergerakan kuasa ketiga pada hari ini.

“Kalau BN menang (tetapi) tidak besar, Pakatan Rakyat (juga) menang tidak besar, kami lihat Isma ada peranan yang boleh dimainkan… ke arah peranan sebagai pengimbang besar, bermakna jika ada parti yang hanya menang tipis,” kata pemimpin berusia 47 tahun ini.

Dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian Online, Zaik menjelaskan, pihaknya akan bertanding secara Bebas ataupun akan menubuhkan sebuah parti politik.

Mengikut pertimbangan awal, Isma bercadang untuk meminta parti-parti tertentu meletakkan calon-calon yang memenuhi kehendak rakyat khususnya selari dengan perjuangan pertubuhan ini. Ini termasuklah secara Bebas.

Kini ia sudah memutuskan untuk meletakkan calon sendiri dan bergerak atas parti sendiri.

Nama parti akan diketahui hari ini.

Oleh kerana waktu suntuk, kata Zaik, pihaknya akan ‘meminjam’ mana-mana parti yang sedia ada sebagai platform bertanding pada PRU13.

“Kajian mendalam sedang dibuat… beberapa opsyen sedang dipertimbangkan.

“Oleh kerana masa suntuk (menjelang PRU13), kami kemungkinan akan menggunakan parti politik sedia ada untuk calon-calon Isma bertanding,” kata beliau yang mengakui ada beberapa parti dalam pertimbangan mereka.

Berdasarkan kenyataan media, partinya akan dilancar dan diperkenalkan hari ini.

Dalam satu tulisan di laman web Isma, Zaik berkata, “saya berpendapat bahawa kita masih perlu mengolah demokrasi berasaskan nilai Islam atau nilai ketimuran.”

“Ini adalah satu satunya penyelesaian politik yang akan memihak kepada Islam dan umat Islam. Ada pun menerima liberal demokratik Barat sepenuhnya dari segi falsafah dan nilai akan merosak dan merugikan umat Islam.

“Kemungkinan ketidakmatangan pengalaman politik dalam membangunan sistem politik ala Islam telah membawa negara kita kepada perbalahan politik yang mengundang kemusnahan terhadap Islam dan umat Islam sendiri. Matlamat perjuangan parti politik umat Islam tidak dipandu oleh garis panduan bagi mencapai maksud siasah syariyyah yang umum,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “hari ini i perbalahan politik dalam kalangan umat Islam sampai ke tahap yang membahayakan.”

Katanya, parti-parti politik umat Islam di Malaysia bagi saya berada dalam keadaan krisis dari segi fungsi dan hubungan, dalam konteks menghidupkan amalan demokrasi di Malaysia.

“Mereka sepatutnya memainkan peranan saling melengkap dan membina. Namum begitu apa yang berlaku ialah berkonfrantasi sepanjang masa antara satu sama lain,” katanya.

Dalam menjelaskan kedudukan Islam dalam sistem politik ini khususnya menjelang PRU13, Zaik berkata, pihaknya akan berada di antara pegangan politik dibawa Umno dan Pas.

“Isma akan berpegang kepada Isma sebagai dasar perjuangan tanpa mengabaikan kepentingan nasional.

“Kami akan berpegang pada soal bangsa dan agama, tidak abaikan kepentingan dan keperluan membawa bersama soal agama dan bangsa… kami ada pendekatan yang berbeza… jadi, kami hendak beri pilihan dan menjadi parti politik alternatif kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian Online dengan merujuk ‘jurang pegangan politik’ yang disaksikan hari ini di pihak Umno dan Pas.

Dalam tulisannya kata beliau, “satu pihak menganggap sistem yang ada sudah cukup munasabah manakala pihak yang lain menganggapnya salah dan bertentangan dengan Islam.”

“Barangkali persoalan besar yang belum terungkai semenjak sekian lama ialah dari segi status Malaysia sebagai negara Islam,” kata beliau lagi.

Malah dalam tulisannya, Zaik berkata, parti-parti politik umat Islam perlu sepakat bagi mencari jalan memperkasakan kedudukan Islam dan martabat umat berlandaskan peruntukan peruntukan yang sedia ada.

Selain itu katanya, perbincangan untuk mengatasi tiga kepincangan yang wujud dalam sistem sekarang secara muafakat dan ansur maju, mengkaji semula dasar hubungan dengan parti parti bukan Islam agar hala tuju Malaysia ke arah kesempurnaan tidak tergugat, menolak dasar liberal yang akan menghakis kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu dan mengancam institusi raja dan memastikan peranan politik bukan Muslim dalam mana-mana tahaluf siasi tidak melebihi kuasa tanfizi.

Hari ini Isma menyertai senarai pertubuhan bukan kerajaan dan parti dalam gelanggang PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Sejauh mana impaknya masih belum diketahui tetapi ia menambah peserta dan calon pada PRU13.

Apa yang pasti tidak akan ada persaingan satu lawan satu pada kali ini sebagaimana dirancang oleh BN dan PR.

Zaik menafikan pihaknya bertanding untuk memecahkan undi atau ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

“Kami bergerak dengan bebas,” kata beliau lagi.

Sumber: Sinar Harian, 17 Februari 2013

10 thoughts on “PRU13: ISMA alternatif kepada Pas dan Umno?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>