Permasalahan politik di Malaysia libatkan masalah identiti negara

PC AGM

KELANA JAYA, 23 Feb. – ISMA melihat permasalahan politik di Malaysia lebih luas dan mendasar dari semata-mata isu urus tadbir, bahkan melibatkan masalah “huwiyyah” (identiti) negara itu sendiri.

Perkara ini ditegaskan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Ke-13 ISMA yang berlangsung di Auditorium Wisma Ungku Aziz hari ini.

Merujuk kepada konsep siasah syar’iyyah katanya, ISMA mengambil pendirian politik yang seimbang antara mendesak agar urus tadbir dilaksanakan dengan bersih, amanah dan bertanggungjawab, namun dalam masa yang sama mempertahankan identiti negara dari terhapus dan lenyap.

“ISMA bersetuju konsep urus tadbir yang baik (good governance), pemisahan kuasa, ketelusan, integriti dan menganggapnya bertepatan dengan konsep amanah dalam Islam.

“ISMA juga bersetuju bahawa rasuah, pecah amanah, mengkhianati perjuangan umat dan mengeksploitasi kekayaan negara harus dihapuskan, serta perlunya kita melahirkan masyarakat yang bertakwa, beramanah, berdisiplin, setia dan mengutamakan kepentingan umum mengatasi kepentingan sendiri,” jelas Ustaz Abdullah.

Namun begitu katanya, percaturan politik yang berlaku hari ini antara kuasa-kuasa yang berpengaruh dari luar dan dalam negara bukan sahaja dalam hal pembaikan urus tadbir tetapi sebaliknya mencabar survival umat dan masa depan Islam itu sendiri.

Menurut beliau, fahaman liberal demokratik yang diperjuangkan sesetengah pihak akan merubah marjaiyyah (rujukan) negara daripada Islam kepada Piagam Hak Asasi Manusia, seterusnya menyebabkan peruntukan dalam perlembagaan yang memihak kepada Islam dan Melayu dianggap diskriminasi dan bercanggah dengan konsep keadilan dan kesamarataan.

“Golongan bukan Islam akan mengambil kesempatan daripada perkara ini untuk merubah “mu’adalah ijtimaiyyah” (struktur sosial) dalam masyarakat sebagai langkah ke arah penguasaan mereka di bidang politik dan seterusnya merubah identiti negara kepada sekular atau menjadi negara Kristian,” ujarnya.

Oleh itu katanya, pendiran ISMA jelas dalam hal merubah kemungkaran salah laku urus tadbir tidak boleh menyebabkan kemungkaran yang lebih besar sehingga mengubah identiti negara.

“Apabila ISMA menyeru kepada perpaduan dan persepakatan bermakna ISMA menuntut semua pihak yang mewakili umat Islam bersepakat dalam hal mempertahankan identiti negara sebagai negara Islam yang mana Islam tertegak di dalamnya dan maruah umat Islam terbela.

“Ada pun persoalan berkaitan tingkah laku maka perlu diselesaikan secara perbincangan dan bermuzakarah, di mana perbalahan politik sesama umat Islam jangan sampai jadi seperti pertentangan dengan musuh Islam,” jelas beliau.

Ustaz Abdullah Zaik juga menyatakan bahawa perbalahan politik sesama umat Islam tidak mengharuskan kerjasama dengan bukan Islam sehingga mengakibatkan kekuasaan umat Islam di negara ini musnah.

13 thoughts on “Permasalahan politik di Malaysia libatkan masalah identiti negara

  1. Pingback: Permasalahan politik di Malaysia libatkan masalah identiti negara – ISMA Johor | Membangun Umat Beragenda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *