Mufti Johor: Untungnya Melayu kerana Islam

Tahrir Samsudin

TAMPOI, 26 Feb. – Mufti Negeri Johor, Yang Berhormat Sohibus Samahah Dato’ Hj Mohd Tahrir Dato Kiyai Hj Samsudin menegaskan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang beruntung kerana mereka mudah menerima Islam.

Menurut beliau, orang Melayu secara automatik akan ditakrif dan dilabel sebagai Islam sambil membuat perumpamaan keadaan di sebuah restoran dengan nada berseloroh.

“Saya bagi contoh bila kita pergi ke restoran dan tengok peniaga adalah Melayu, terus ambil makanan tanpa melihat status makanan tersebut halal atau tidak.

“Sebab apa? Sebab kita tengok orang itu adalah Melayu, maka kita faham bahawa dia Islam, maka kita tidak perlu tanya,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidurrasul di Masjid Al-Muflihun, Hospital Permai di sini baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, pergaduhan sesama Muslim seakidah yang berlaku akan membawa kepada kelemahan sedang musuh Islam giat bekerja menyebarkan dakyah agama mereka.

“Bergaduh sesama sendiri antara umat Islam akan menjadikan kita lemah.

“Alhamdulillah, kita sudah bersatu hari ini, dengan isu kalimah Allah, ramai yang menunjukkan respon dan menyuarakan ketidakpuasan hati kita.

“Saya ada terima dua risalah daripada orang Kristian, mujur saya yang baca, kalau anak saya yang baca, apa yang akan terjadi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung penerimaan risalah tersebut, beliau mengingatkan kepada para ibu bapa bahawa mereka perlu memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan membentuk anak-anak dengan didikan agama yang secukupnya.

“Kita yang kena didik dan bentuk anak kita, kalau mereka lari dari kefahaman agama maka kita yang akan dipersalahkan,” tegas beliau lagi.

5 thoughts on “Mufti Johor: Untungnya Melayu kerana Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *