Masyarakat ingin nafas baru politik

BANGI, 18 Feb. – “Ramai masyarakat Melayu Islam yang sebenarnya menginginkan satu pimpinan yang boleh menyuarakan satu nafas baru dalam politik,” demikian menurut Ketua Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia, Tuan Haji Aminuddin Yahaya.

Apatah lagi katanya, umat Islam kini sering ditekan dan dihimpit saban hari dan malam oleh pihak-pihak yang tidak ingin melihat agama Islam tertegak di atas bumi yang tercinta.

“Justeru atas dasar itulah, pimpinan ISMA mengambil langkah yang berani dan drastik untuk terjun ke dalam kancah perjuangan politik,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Khas Pilihanraya ISMA di sini semalam.

Jelas Tuan Haji Aminuddin, pihak musuh tidak lagi gentar mengatakan apa sahaja yang mereka ingin katakan justeru mereka tahu yang akan mempertahankan mereka bukan sahaja golongan mereka malah orang Islam sendiri yang akan mempertahankan mereka.

Ujarnya lagi, ini adalah desakan yang diterima oleh sebahagian umat Islam sebagai satu kebangkitan dan demokrasi baru yang meletakkan kehendak manusia mengatasi segala-galanya.

“Perjuangan sebegini getir sudah tentu bukan perkara yang mudah mahupun dipandang ringan kerana implikasinya sangat besar kepada masa depan negara.

“Kita rasa terpanggil untuk tampil menyahut kehendak dan harapan masyarakat Islam dengan meletakkan calon yang berwibawa yang mampu membawa pemikiran masyarakat ke arah  titik perjuangan yang baru.

“Dengan itu, kita telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan parti Berjasa yang telah lama bertapak dan berkecimpung dalam arena politik negara untuk sama-sama berjuang menegakkan Islam,” akhiri beliau.

6 thoughts on “Masyarakat ingin nafas baru politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *