Manifesto PR: Perjuangan Islam tidak menjadi lebih baik, hanya kekal apa yang ada

Manifesto-PR

BANGI, 27 Feb. – Ketua Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia, Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, manifesto Pakatan Rakyat yang baru dilancarkan tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada keadaan sekarang ini dalam konteks perjuangan Islam.

Menurutnya, manifesto tersebut hanya sekadar mengekalkan apa yang sedia ada, ini bermakna tidak kira samada BN mahupun PR yang memerintah kelak selepas PRU13, kedudukan Islam tidak menjadi lebih baik dan hanya akan kekal sebagaimana yang ada sekarang.

“Saya tidak melihat apa-apa perubahan yang dibangkitkan oleh PR mengenai kedudukan Islam yang kita persoalkan selama ini seperti kedudukan mahkamah syariah, perundangan Islam, pengajian Islam atau memperkasakan lagi agama Islam di negara ini.

“Bahkan hal ini pun tidak dinyatakan dalam manifesto yang keluarkan oleh mereka semalam.

“Saya merasakan seolah-olah apa yang ada hari ini hanya dikekalkan sebagaimana yang ada jika sekiranya PR memerintah kelak,” katanya mengulas mengenai manifesto yang dilancarkan semasa Konvensyen Pakatan Rakyat semalam.

Namun begitu katanya, sesuatu yang membimbangkan dalam konteks kedudukan Islam apabila manifesto PR itu hanya menyatakan secara umum bahawa akan berlaku rombakan atau reformasi kedudukan Islam di negara ini.

Menurut Tuan Haji Aminuddin, tidak dapat dipastikan atau dinyatakan secara jelas makna istilah reformasi dalam institusi Islam yang akan dilakukan oleh PR, samada ia akan menjadikan Islam ini lebih terbuka atau liberal.

Tambahnya lagi, manifesto PR ini juga tidak menyatakan kedudukan bumiputera dan keistimewaan orang Melayu, ini menunjukkan seandainya PR memerintah, isu keistimewaan dan hak-hak orang Melayu tidak lagi akan diberikan perhatian yang khusus.

Beliau menjelaskan, orang Melayu ketika ini telah ketinggalan dalam aspek ekonomi, sosial, pelajaran dan sebagainya, maka seandainya selepas ini perhatian tidak lagi diberikan kepada orang Melayu, sudah tentu mereka akan jauh lagi ketinggalan dalam menghadapi cabaran globalisasi yang akan datang.

“Justeru itu, orang Melayu perlu memikirkan hal ini secara lebih serius,” ujarnya.

23 thoughts on “Manifesto PR: Perjuangan Islam tidak menjadi lebih baik, hanya kekal apa yang ada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *