Kempen MSIB beri kesan signifikan dalam senario politik tanahair

U LAH

KELANA JAYA, 23 Feb. – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kempen Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) yang dikemukakan ISMA telah memberi kesan signifikan kepada agenda perjuangan Islam dan Melayu  dalam senario politik semasa.

Menurutnya, kalangan pimpinan Islam secara umumnya kini semakin berani untuk membela nasib bangsa serta bangun mempertahankan maruah dan akidah umat Islam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Ke-13 ISMA yang berlangsung di Auditorium Wisma Ungku Aziz hari ini.

“Ada pihak yang merasai tekanan terpaksa memasukkan agenda Islam dan Melayu dalam janji-janji pilihanraya mereka, dan ada yang merasakannya satu input strategik kepada survival politik mereka, lalu memasukkan agenda ini dalam ucapan politik mereka.

“Manakala musuh pula dilihat lebih berhati-hati sebelum berkata-kata, menghisab sebelum berbicara walaupun kita tahu mereka masih konsisten dengan agenda mereka,” jelas Ustaz Abdullah.

Bercakap di hadapan para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara, beliau menyatakan bahawa hal ini mungkin satu petanda baik yang menunjukkan kebenaran langkah-langkah ISMA, namun perjuangan masih jauh dan cabaran semakin sukar.

“Dalam pada itu, kita juga berhadapan dengan tentangan dari pihak tertentu bukan kerana perjuangan kita salah tetapi kerana mereka menyangka ia tidak menguntungkan perjuangan politik mereka atau sebaliknya menguntungkan musuh politik mereka,” ujarnya.

Ustaz Abdullah juga menyeru ahli-ahli ISMA agar terus yakin dengan fikrah dan manhajnya yang jelas serta bergerak dengan penuh keyakinan mengikut perancangan yang diatur rapi, melangkah fasa demi fasa.

Mesyuarat Agung kali ini mengetengahkan tema ‘Memartabatkan Agenda Perjuangan Islam’.

3 thoughts on “Kempen MSIB beri kesan signifikan dalam senario politik tanahair

  1. Pingback: Kempen MSIB beri kesan signifikan dalam senario politik tanahair – ISMA Johor | Membangun Umat Beragenda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *