ISMA tiada kaitan dengan IKRAM

u lah

BANGI, 27 Feb. – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menegaskan bahawa ISMA tidak mempunyai hubungan organisasi dengan mana-mana pertubuhan khususnya pertubuhan IKRAM.

Sebaliknya, ISMA ditubuhkan oleh ahli-ahlinya dan bergerak mengikut lunas undang-undang berlandaskan akta pertubuhan.

“Saya ingin pertegaskan bahawa tiada hubungan organisasi antara ISMA dan IKRAM. ISMA adalah badan berdaftar dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) secara indipenden. ISMA dari awal penubuhannya bukan cawangan, bahagian, atau biro kepada mana-mana organisasi lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini terdapat pihak yang cuba mengaitkan ISMA dengan IKRAM bersandarkan kepada ‘cerita lama’ yang diungkit kembali selepas berlalu satu tempoh yang panjang.

Menurut Ustaz Abdullah, cerita itu merujuk kepada sejarah hampir 20 tahun lalu iaitu sebelum penubuhan ISMA dan IKRAM.

“Ia merujuk kepada peristiwa “indimaj” (penggabungan dua organisasi bukan penyertaan ahli) antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan pada tahun 1995 yang telah berakhir dengan kegagalan,” katanya lagi.

Selain itu, pihak terbabit turut mendakwa bahawa pertubuhan Aman Palestin telah dicuri oleh pihak tertentu.

Ustaz Abdullah menafikannya dengan mengatakan Aman Palestin masih diurus oleh mereka yang mengasaskannya sejak awal penubuhan.

Di akhir kenyataan, Ustaz Abdullah menyeru semua pihak agar menamatkan perasaan hasad dengki, cemburu dan dendam dan memulakan hidup yang baru.

Kenyataan penuh beliau boleh dibaca di bawah.

KENYATAAN PRESIDEN IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA, USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN BERHUBUNG ISU ISMA-IKRAM

HENTI KAITKAN ISMA DENGAN IKRAM

Saya kesal dengan kegigihan pihak-pihak tertentu yang terus cuba mengaitkan ISMA dengan IKRAM.

Saya ingin pertegaskan bahawa tiada hubungan organisasi antara ISMA dan IKRAM. ISMA adalah badan berdaftar dengan ROS secara indipenden. ISMA dari awal penubuhannya bukan cawangan, bahagian, atau biro kepada mana-mana organisasi lain.

Ia ditubuhkan oleh ahli-ahlinya dan bergerak mengikut lunas undang-undang tubuhnya sendiri selaras dengan akta pertubuhan. Ia milik ahli-ahlinya sejak dulu sampai hari ini.

Cerita hubungan dengan IKRAM mungkin merujuk kepada sejarah yang telah lama berlalu. Kisah hampir 20 tahun yang lalu, sebelum penubuhan ISMA dan IKRAM itu sendiri.

Ia merujuk kepada peristiwa “indimaj” (penggabungan dua organisasi bukan penyertaan ahli) antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan pada tahun 1995 yang telah berakhir dengan kegagalan.

Kini setiap kita kembali kepada kumpulan yang asal. Isu anda dari kami atau kami dari anda sudah tidak berbangkit. Isu taat dan nusyuz sudah tidak relevan.

Hakikatnya kita sudah berpisah lama. Tidak perlu terus menerus saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Binalah hidup baru yang lebih baik. Organisasi lain pun alami pengalaman yang serupa.

Saya menyeru pihak-pihak terbabit supaya kembali ke alam nyata dan lupakan mimpi ngeri semasa berpisah. Memang berpisah itu pahit tetapi sampai bila anda akan terus bersedih dan hidup dalam kemurungan.

Begitu juga dengan Aman Palestin. Pengasasnya masih hidup sampai hari ini. Ia bukan ditubuhkan oleh IKRAM atau orang IKRAM. Tidak timbul langsung isu ia dicuri atau dirampas kerana ia masih diurus oleh mereka yang mengasaskannya sejak dari awal sampai hari ini.

Sekali lagi saya menyeru agar tamatkan perasaan hasad dengki, cemburu dendam, keluarlah dari mimpi dan mulakan hidup baru.

Oleh:

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

52 thoughts on “ISMA tiada kaitan dengan IKRAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>