ISMA tampil untuk perjuang suara majoriti

u lah

BANGI, 18 Feb. – ISMA tampil secara aktif di pentas politik tanahair demi mewakili dan memperjuangkan hak kelompok majoriti dalam masyarakat, tegas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Kita lihat dasar politik hari ini banyak memberi ruang kepada golongan minoriti untuk menyuarakan pandangan mereka sehinggakan mereka lebih dominan, sebaliknya hak-hak majoriti pula menjadi tidak kedengaran seolah-olah seperti dipinggirkan.

“Justeru itu, kita tampil secara berani untuk menegakkan perjuangan umat Islam tanpa menafikan atau meminggirkan hak untuk hidup aman dan harmoni bagi semua kaum,” katanya dalam ucapan sewaktu Majlis Pelancaran Jentera Khas Pilihanraya ISMA di Kompleks PKNS Bangi semalam.

Beliau berkata, jika diperhatikan pihak-pihak yang sepatutnya mewakili umat Islam sekarang tidak berani menyatakan hak dan pendirian, malah takut untuk membuat tuntutan yang benar mengenai kedudukan Islam, Melayu dan hak peribumi seperti yang telah tercatat dalam perlembagaan.

Disebabkan tidak berani untuk bersuara demi mempertahankan hak yang sepatutnya, menjadikan situasi politik umat sekarang kritikal sehingga menyebabkan seruan perjuangan Islam dan bangsa menjadi keliru.

“Oleh itu, dengan keterlibatan ISMA, diharap dapat memainkan peranan untuk mewakili suara terbanyak umat Islam bagi pihak yang tidak berani memperkatakan atau menyuarakannya.

“Kita yakin setakat ini, tidak ada pihak yang berani mencabar mahupun menentang hujah-hujah kita, ini kerana perjuangan kita cukup jelas,” ujarnya.

Tambah Ustaz Abdullah lagi, tujuan ISMA terlibat dalam politik adalah supaya perjuangannya lebih didengari demi memartabatkan, mengetengahkan dan memperkasakan seruan yang hendak diperjuangkan.

“Andai sebelum ini sebagai badan NGO seruan kita kurang didengari, tidak mustahil di atas pentas politik, atas seruan yang sama menjadi titik permulaan untuk umat Islam dan Melayu kembali bersatu dengan membuang segala ideologi barat,” kata beliau.

One thought on “ISMA tampil untuk perjuang suara majoriti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *