Budaya politik samseng: Pendekatan politik harus berubah

amin

BANGI, 27 Feb. – Menurut Ketua Biro Politik ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya, budaya politik samseng dilihat kian parah menjelang PRU13 sedangkan sepatutnya pendekatan politik hari ini harus berubah daripada politik sentimen kepada politik ilmu.

“Masyarakat perlu lebih bijak dan rasional serta menilai kenyataan dan tindakan pemimpin parti dari sudut ilmiah bukan sentimen semata-mata,” ujarnya.

Menurut beliau, kita sebagai rakyat tidak boleh mengikut kepada corak demokrasi barat sepenuhnya sedangkan demokrasi dalam Islam bukannya menyerahkan segala-galanya kepada rakyat terutamanya rakyat yang multi-rasial kerana ia ada keterbatasannya.

Tuan Haji Aminuddin berkata, budaya politik samseng ini dilakukan oleh golongan yang terlalu obses dengan mana-mana parti dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga menyebabkan timbulnya pelbagai kekecohan misalnya ugutan, gangguan ketika ceramah, simbahan cat, balingan batu, bahkan lebih teruk sehingga berlakunya insiden berdarah.

Sementara itu Ahmad Suhaili, salah seorang orang awam yang ditemui berkata, seharusnya usaha-usaha untuk menarik perhatian dalam pilihanraya kali ini dijalankan dengan lebih professional mengikut budaya sebagai seorang Islam  ini memandangkan masyarakat hari ini lebih terpelajar.

“Jadi untuk mendapat sokongan rakyat, setiap tindakan perlu dijalankan dengan baik dan berhemah,” katanya.

Manakala menurut Nor Hazima Abu Bakar, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, budaya politik samseng yang kerap berlaku ini tidak mencerminkan masyarakat kita yang harmoni.

“Sedangkan untuk berpolitik ada caranya, jangan terlampau obses sehingga memalukan diri sendiri atau menjatuhkan maruah seseorang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *