Kekayaan itu adalah yang kaya jiwanya

Terlalu banyak jalan dan cara untuk mencari kekayaan dunia dan harta benda. Akan tetapi semua tahu bahawa pencarian itu semua tidak akan berhenti pada mana-mana batas kerana baginda s.a.w  sendiri ada menyatakan tentang sikap manusia bahawa sekiranya anak-anak Adam  itu mempunyai dua wadi emas dia akan mencari yang ketiganya. Sememangnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang telah Allah kurniakan.

Kerana itulah baginda s.a.w menunjukkan dan melakarkan jalan yang sepatutnya kita ikuti agar kekayaan yang kita cari adalah kekayaan hakiki.

Dari Abu Hurairah r.a:

Bukanlah kekayaan itu yang banyak hartanya …. akan tetapi kekayaan itu adalah yang kaya jiwanya. (Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, no. 1051)

Di dalam hadis ini baginda s.a.w menegaskan bahawa kekayaan hakiki bukanlah diukur pada banyaknya harta di dunia akan tetapi kaya yang sebenar ialah apabila seorang hamba itu merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan dan merasa reda dengan apa yang Allah beri. Merekalah yang dipanggil sebagai yang kaya jiwanya.

Jiwa Yang Kaya

Jiwa yang kaya adalah lahir dari rasa reda dengan ketentuan Allah dan menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya. Kerana ia tahu bahawa apa yang dari Allah adalah lebih kekal dan lebih baik. Dan kerana dia tahu pilihan dan ketentuan Allah adalah yang terbaik buatnya. Dia juga reda dengan apa yang Allah beri kepadanya kerana dia yakin rezeki Allah tidak akan pernah habis.

Jiwa yang kaya juga adalah yang lebih mengutamakan syariat dalam pengurusan hartanya. Ia lebih mengutamakan harta yang halal walaupun sedikit berbanding yang harta yang melimpah-limpah tetapi tidak pasti halal haramnya.  Kerana ia lebih yakin bahawa harta yang halal dan dicari mengikut syariat adalah lebih berkat.

Maka saat itu, ia akan hidup dengan hati yang tenang dan jiwa yang bahagia. Pada ketika itu, ketenangan dan kemuliaan yang diterima adalah jauh lebih berharga dari segala perhiasan dan kekayaan di dunia.

Jiwa Yang Miskin

Jiwa yang miskin adalah jiwa yang tidak reda dengan ketentuan Allah, tidak pernah merasa cukup dengan apa yang Allah beri bahkan ia sering saja meminta tambah dari mana sahaja yang ia boleh. Dan sekiranya apa yang dicari itu hilang atau tidak diperoleh , ia akan bersedih dan berdukacita. Maka mereka itu bukan setakat miskin harta malah miskin juga hatinya.

Jiwa yang miskin juga adalah jiwa yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Tidak pernah merasa puas dengan kesenangan  yang diterima.  Sentiasa sibuk untuk memenuhi nafsu dan mencari perhiasan dunia. Mereka kaya harta tetapi miskin jiwanya.

Jiwa yang miskin juga ialah yang sanggup menggadaikan iman dan mendahulukan kekayaan berbanding larangan Tuhan. Kerana ia lupa bahawa yang memegang rezeki ialah Allah. Ia juga lupa bahawa kelak ia akan ditanya tentang hartanya. Ke mana ia dibelanjakan dan dari mana ia mendapatkannya.

Neraca Yang Betul

Di dalam hadis ini  baginda s.a.w mengajak kita umatnya supaya mempunyai neraca pemikiran yang betul. Baginda mahu supaya kita memikirkan hakikat sebenar sesuatu perkara. Kejar nikmat yang kekal abadi dan tinggalkan nikmat yang sementara.

Baginda juga ingin menekankan bahawa dalam segala hal dan perkara, iman dan akhlak adalah yang paling utama. Nilai itulah yang dilihat oleh Allah SWT. Nilai itulah sebenarnya yang akan menentukan kehidupan kita di alam abadi kelak.

Lihatlah Kepada Mereka Yang Di Bawahmu

Sekiranya manusia hanya melihat kepada mereka yang lebih kaya dan berharta darinya, maka ia akan menyebabkan hatinya sentiasa merasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada padanya.  Oleh sebab itu Allah melarang kita dari melihat-lihat apa yang ada di tangan manusia dalam perkara keduniaan.

Dan janganlah Engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. Thaha, 20:131

Kerana itulah baginda s.a.w berpesan kepada kita:

Lihatlah kepada mereka yang lebih rendah darimu dan janganlah kamu melihat kepada mereka yang lebih tinggi darimu. Maka sesungguhnya ia sangat penting supaya kamu tidak mempertikaikan nikmat Allah ke atas mu. (Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah, no. 2513)

Maka dengan itu, redalah dengan nikmat Allah kerana Rasulullah s.a.w mengatakan:

Redalah dengan apa yang telah Allah beri nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya.(Tirmizi, Kitab az-Zuhdi, no 2305)

Mereka yang reda ialah mereka yang punyai sifat qanaah. Qanaah ialah merasa cukup dengan pemberian Allah. Ia tidak mahu hartanya menjauhkannya dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuknya. Maka ia bersyukur dengan nikmat Tuhannya.

Baginda Rasul s.a.w sangat sayang kepada kita. Baginda tidak mahu kita hanyut dengan tipu daya dunia dan kealpaan yang sementara. Baginda s.a.w mahu kita pohon kepada Allah agar memelihara kita dari kecelakaan ini. Maka untuk menjauhkan kita dari perasaan tamak dan tidak pernah merasa cukup ini, baginda s.a.w mengajarkan kepada kita sebuah doa iaitu seperti mana di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam;

Ya Tuhanku.  Aku berlindung dari Mu dari  ilmu yang tidak berguna, dari hati yang tidak khusyuk, dari jiwa yang tidak pernah kenyang dan dari doa yang tidak dimakbulkan. (Sahih Muslim, Kitab az-Zikr wa ad-Du’a, no. 7081)

Oleh,
Ustazah Suriani binti Sudi
Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Sumber: Majalah Iman, Bil No.10

2 thoughts on “Kekayaan itu adalah yang kaya jiwanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *