ISMA minta TGH Hadi tarik balik amanat elak permusuhan sesama Islam berterusan

Bangi, 4 Januari – Pertubuhan bukan kerajaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mencadangkan agar Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menarik balik amanat beliau yang disampaikan pada 7 April 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu.

Hasil daripada amanat tersebut, ISMA melihat telah berlaku perpecahan di kalangan umat Melayu seterusnya menghalang kepada aspirasi perpaduan bangsa.

Kenyataan terbaru ISMA itu telah dibacakan oleh presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu sesi sidang media di pejabat ISMA di Bandar Baru Bangi petang tadi.

“Kami menganggap amanat ini sudah tidak lagi relevan memandang beliau sendiri telah melakukan sebaliknya dalam banyak perkara. Justeru kami mencadangkan agar Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan beliau itu dan membuat pembetulan yang perlu.

“Kami bimbang kefahaman ini masih dipegang oleh pengikut tegar PAS sehingga mempengaruhi hubungan sesama Islam yang menyebabkan putus hubungan wala’ dan perpecahan yang tidak berkesudahan,” tegas beliau.

Tambahnya, amanat tersebut telah membawa kepada silap faham sehingga ada di kalangan umat Islam yang mengkafirkan saudara seakidahnya sedangkan realiti umat Islam hari ini menuntut diadakan persepakatan bagi menghadapi pelbagai ancaman termasuk ancaman liberalisme dan kristianisasi.

“Kesan perpecahan akibat amanat tersebut menjadi lebih kritikal apabila orang-orang Melayu yang bersengketa gagal melihat ancaman yang lebih besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Selain itu, ISMA berpandangan bahawa kesilapan yang terkandung dalam amanat itu perlu diperbetulkan bagi menjamin tiada lagi permusuhan sesama umat Islam dan bangsa Melayu.

“Perkara yang saya katakan tadi ialah menganggap satu kelompok keluar daripada kelompok umat Islam, itu kesalahan pertama dan yang kedua ialah membiarkan individu memberi hukum kafir kepada orang lain sewenang-wenangnya,” ujar beliau.

Sidang media itu turut disertai oleh Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya dan Naib Presiden 2 ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dan dihadiri oleh wakil media tempatan.

Berikut adalah kenyataan penuh ISMA berhubung isu Amanat Hadi:

Segala puji dipanjatkan kepada Pemilik alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W.

Merujuk kepada isu yang sedang hangat diperkatakan dalam media masa pada waktu ini, Ikatan Muslimin Malaysia merasa terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan apa yang dinamakan sebagai Amanat Haji Hadi.

Ini memandangkan amanat tersebut telah meninggalkan kesan salah faham yang cukup besar antara sesama umat Islam dan telah mewariskan keretakan hubungan yang berpanjangan sehingga sukar untuk mencari titik pertemuan sampai ke hari ini.

Kesan perpecahan akibat amanat tersebut menjadi lebih kritikal apabila orang-orang Melayu yang bersengketa gagal melihat ancaman yang lebih besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Kami percaya fahaman yang lahir daripada amanat tersebut yang masih dipegang kukuh oleh masyarakat kita terutamanya dikampung-kampung merupakan antara faktor penghalang kepada aspirasi kesepakatan dan perpaduan orang-orang Melayu di negara ini.

Berdasarkan penelitian, Amanat Haji Hadi ini perlu dibuat pencerahan yang adil. Justeru itu, kami ingin membuat beberapa penegasan seperti berikut:

1. Tidak syak lagi bahawa umat Islam wajib berpegang bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk politik dan pemerintahan.

2. Telah menjadi Ijmak para sahabat dan muslimin bahawa umat Islam wajib menegakkan pemerintahan Islam.

3. Menegaskan bahawa rujukan tertinggi dalam menjalankan hukum hakam di sesebuah negara Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah

4. Perlembagaan Persekutuan  negara kita mengandungi peruntukan yang menepati tuntutan Maqasid Syarak dari segi struktur dan juga kandungannya.

5. Mengakui bahawa wujud pengaruh sekular barat dalam hal perundangan sivil dan syariah.

6. Dalam sistem pemerintahan yang sedia ada, kuasa agama terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa sultan, atas sebab maslahah tertentu.

7. Pemerintah negara ialah Seri Paduka Baginda Dipertuan Agong, manakala Perdana Menteri melaksanakan tanggungjawab bagi pihak Seri Paduka dalam hal selain daripada agama.

Setelah membuat penelitian yang mendalam serta mengambil kira fakta-fakta di atas, ISMA berpandangan bahawa Amanat Haji Hadi adalah satu pernyataan yang mengandungi penghukuman terhadap badan tertentu secara spesifik, iaitu UMNO.

Kami juga menyokong fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah diwartakan pada 25 Julai 2002, yang mengatakan bahawa amanat ini bercanggah dengan Islam.

Datuk Seri Haji Abdul Hadi dalam amanatnya itu telah meletakkan UMNO sebagai kumpulan yang wajib diperangi, seumpama satu kumpulan yang terkeluar daripada agama seperti golongan murtad, atau golongan yang keluar daripada kepimpinan Islam dengan kekerasan seperti golongan bughah dan khawarij. Perkara ini dapat difahami apabila beliau secara jelas menggunakan kalimah jihad, mati syahid dan kafir secara berangkai dalam konteks pernyataan penentangan terhadap UMNO.

Pernyataan sebegini bukan sahaja tidak betul dari segi kaedah berfatwa, malah ia juga berlawanan dengan uslub seorang pendakwah yang tugasnya berdakwah, bukan menghukum.

Kesan besar daripada pernyataan Amanat Haji Hadi ini telah menyebabkan ahli masyarakat melakukan penghukuman murtad terhadap sesama individu muslim yang lain tanpa perlu merujuk kepada mahkamah mengikut prosedur yang sahih.

Kami menganggap amanat ini sudah tidak lagi relevan memandang beliau sendiri telah melakukan sebaliknya dalam banyak perkara. Justeru kami mencadangkan agar Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan beliau itu dan membuat pembetulan yang perlu. Kami bimbang kefahaman ini masih dipegang oleh pengikut tegar PAS sehingga mempengaruhi hubungan sesama Islam yang menyebabkan putus hubungan wala’ dan perpecahan yang tidak berkesudahan.

47 thoughts on “ISMA minta TGH Hadi tarik balik amanat elak permusuhan sesama Islam berterusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *