Syiah: Hakikat & Sejarah (Siri 5)

Bahaya Syiah

Kebanyakan umat Islam berpendapat bahawa sangat susah untuk meletakkan pendirian yang jelas terhadap Syiah ini, bahkan memikirkan perkara ini saja sudah membingungkan mereka. Adakah mereka ini muslim, atau sudah kafir? Kesesatan mereka ini harus diperangi atau disenyapkan saja kerana mereka juga saudara seislam yang juga memerangi Yahudi di Israel dan menolong rakan kita di Palestin? Berikut antara beberapa faktor yang menyebabkan kebingungan ini;

1. Ketiadaan maklumat yang mencukupi bagi sesetengah muslimin. Kerana itu, Syiah diibaratkan seperti satu entiti yang misteri, tidak diketahui apakah ia, tidak tahu bagaimana wujudnya ia, tidak dapat dikenalpasti kisah silamnya dan juga tujuan masa depannya. Perkara ini menyebabkan sebahagian besar muslimin menganggap ia adalah salah satu dari mazhab-mazhab seperti Syafi’e, Maliki, dan lain-lain. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa khilaf antara Syiah dan Sunni bukan sahaja dari sudut furu’ (cabang), malah juga usul!

Perkara ini bertambah lebih parah lagi dengan tabiat sesetengah orang Islam yang tidak kisah, bersikap sambil lewa dan malas mengkaji, lalu cuba bersikap optimis dalam menghadapi masalah tanpa menguasai sesuatu isu itu terlebih dahulu. Mereka ini kemudiannya melaungkan satu solusi, – dengan lagaknya seperti seorang cendikiawan – “Mengapa kita harus bergaduh? Bukankah kita ni sesama muslim? Selagi mana mereka beriman dengan Allah, Rasul dan Hari Kiamat, mereka tetap dikita muslim yang sah.”

Mereka ini sebenarnya tidak tahu perkara ini bukan semudah yang disangka malah lebih rumit dari itu. Contohnya mereka beriman dengan Allah, Rasul, Hari Kiamat, tetapi mereka menghalalkan arak dan zina. Menghalalkan apa yang diharamkan secara qat’ie oleh Quran dan Sunnah adalah perbuatan kufur.

2. Kemudian, di antara perkara yang lebih merumitkan isu adalah banyaknya musuh Islam hari ini yang terdiri daripada Zionis, ejen-ejen Barat, Komunis, pelampau Hindu, dan lain-lain lagi. Maka sebahagian ‘cendikiawan’ ini berpendapat persepakatan antara Sunni dan Syiah boleh menjadikan umat Islam bertambah kuat. Kita mestilah membuka lembaran baru terhadap pertelingkahan yang berpanjangan ini.

Pendapat ini ada benarnya jika lembaran ini sudah tertutup (yakni perselisihan sudah tamat), maka bolehlah kita membuka lembaran yang baru. Namun jika lembaran sentiasa terbuka, pembunuhan berlaku pagi dan petang, bagaimana kata sepakat boleh dicapai? Adakah logik kita berdamai dengan Syiah, dalam masa yang sama pembantaian terus berlaku?

Juga terdapat propanganda yang sentiasa melaungkan ; “Bukankah Yahudi itu lebih bahaya dari Syiah?” Sebenarnya soalan ini sengaja dilontarkan supaya perasaan bahayanya Syiah itu dilencongkan kepada Yahudi, maka umat tidak akan merasanya sebagai satu ancaman. Maka kami dengan tegasnya menjawab soalan ini; “Apakah yang menghalang ummat Islam mempunyai dua musuh dalam saty masa? Pergaduhan bukan dimulakan dari pihak kita, tetapi kesemua kejadian membuktikan masalah datang dari pihak mereka.”

Sejarah Syiah telah kami nukilkan dalam empat siri yang lepas, dan kami dapati bahawa keganasan Syiah senantiasa diarahkan pada Muslimin Sunni. Dan kami tidak melihat sejarah itu berlainan dangan keadaan sekarang, bahkan kami mendapati sejarah mereka telah berulang. Cucu cicit telah mewarisi ‘perjuangan’ nenek moyang mereka. Mereka masih menghina dan mengeji para sahabat nabi. Mereka masih mengingkari hadith Ar-Rasul SAW: “Manusia terbaik adalah pada kurunku ini”, sekalipun hadith ini sohih, terdapat dalam Bukhari, Muslim dan pelbagai Sunan dan sanad lainnya.

Oleh itu, mari kita kembali mencari dan memahami, agar pendirian kita terhadap mereka dapat dibuat dengan jelas. Serta dapat kita mengambil langkah terhadap mereka dengan pasti, samada senyap lebih baik, atau sebaliknya.

Pertama sekali: Umum mengetahui pendirian mereka terhadap para sahabat Rasul SAW. Bermula dari Abu Bakar, Umar, Uthman, Ummul Mukminin Aisyah, dan lain-lain. Seluruh kitab mereka, rujukan mereka, malah aqidah mereka menetapkan bahawa para sahabat tersebut berada dalam kesesatan yang nyata.

Sebelum itu, mari kita lihat kata-kata seorang sabahat Nabi, Jabir bin Abdullah RA: “Jika seorang sahabat Nabi dilaknat, barangsiapa yang mempunyai ilmu, hendaklah dia membetulkannya. Jika dia berdiam diri, seperti dia mendiamkan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW (yakni mendiamkan agama Islam itu sendiri).”

Adakah anda mengerti apakah maksud kalimah di atas?

Sesungguhnya kejian terhadap sahabat bukanlah hanya satu kejian biasa. Bukan juga seperti kata-kata sesetengah orang: “Biarkanlah (perbuatan mengeji itu), kerana mereka (sahabat) telah berada di syurga, kejian itu langsung tidak memberi kesan terhadap mereka.” Namun sebenarnya, kejian terhadap sahabat bermakna kejian secara langsung kepada agama Islam itu sendiri! Kerana kita tidak dapat mengenali agama Islam selain daripada jalan yang para sahabat tunjukkan pada kita.

Bukankah yang meriwayatkan Al-Quran sebelum ianya ditulis dan dibukukan adalah para huffaz dari kalangan sahabat? Bukankah yang menyeru supaya Al-Quran dikumpulkan adalah Abu Bakar? Jadi mengapa tidak dituduh saja Quran sudah terseleweng sepertimana dituduh Hadith sudah terseleweng?

Rasulullah telah bersabda: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar-Rasyidun selepasku” (Hadith riwayat Tarmizi). Maka sunnah khulafa’ rasyidun yang empat juga adalah sebahagian dari agama Islam! Apa yang diseru oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali menjadi hujjah dan panduan bagi umat Islam di seluruh tempat dan setiap masa hinggalah Hari Kiamat. Lalu bagaimana mungkin mereka ini dikeji?

Sebab itulah kita melihat pada ulama’ silam sangat sensitif jika ada antara sahabat Rasulullah dikeji. Imam Ahmad bin Hanbal pernah perkata: “Jika engkau melihat seseorang mengeji sahabat, ketahuilah bahawa dia sebenarnya mengeji Islam itu sendiri.” Berkata Al-Qadi Abu Ya’li: “Jika engkau melihat seorang fakih menghina sahabat, sesungguhnya dia telah menjadi kafir ataupun fasiq.” Berkata Imam Ar-Razi:” Jika engkau melihat seorang lelaki mencerca sahabat Nabi, maka ketahilah bahawa dia adalah seorang Zindiq (pelampau agama).” Ibn Taimiyyah pula berkata: “Barangsiapa menuduh ada di antara sahabat Rasulullah SAW telah murtad setelah kewafatannya, kecuali beberapa orang yang tidak mencapai beberapa belas, ataupun menuduh sahabat sebagai fasiq, maka tiada ragu-ragu lagi bagi kekafirannya.”

Sesungguhnya kata-kata ini adalah sangat keras bagi mereka yang mengutuk sahabat Nabi SAW, kerana para sahabatlah yang menyampaikan agama kepada kita. Maka jika terdapat syak wasangka terhadap sahabat, maka dia telah syak wasangka terhadap agama Islam itu sendiri. Generasi yang unik ini telah dipuji oleh Allah dalam Al-Quran, juga banyak dipuji dalam hadith-hadith Baginda SAW dan tak terkira banyaknya. Oleh itu, penghinaan terhadap sahabat bererti juga mengingkari (pujian) Allah dan Rasul-Nya.

Ada di antara orang Islam yang berkata : “Kami tidak pernah mendengar pun Syiah mengeji para sahabat..?” Oleh itu, di sini kami ingin menjelaskan 3 perkara asasi:

  1. Di antara asas kepada Syiah 12 adalah para sahabat telah berkomplot ke atas Ali RA, dan ke atas ahlul bait, dan ke atas seluruh golongan yang mereka anggap sebagai ‘Syiah’. Oleh itu, semua Syiah yang bermazhab 12 mempercayai kefasadatan sahabat. Lalu mereka tidak mengambil sahabat sebagai rujukan agama walau sedikit pun.
  2. Kebanyakan tokoh Syiah sentiasa mengelat untuk menzahirkan kritikan mereka terhadap sahabat. Dan kalaupun mereka menzahirkannya, mereka akan bertindak sepertimana firman Allah: “Dan engkau benar-benar akan mengenali mereka dari nada bicara mereka.” ( Surah Muhammah: 30 ). Sepertimana yang dapat dilihat di stesen Al-Jazeera perbualan antara dia (Rafsajani) cuba mengelat setiap kali Dr. Yusuf Al-Qardawy menyuruhnya memuji para sahabat dan Ummul Mukminin Aisyah. Begitu juga dengan Khomeini ketika ditanya tentang hukum mengeji sahabat. Dia menjawab, apa sahaja yang menyebabkan ummat Islam berpecah, maka hukumnya haram. Oleh itu, mengeji sahabat hukumnya haram bukan kerana memang itu hukumnya, namun kerana ia boleh memecah belahkan ummah. Ini ditulis dalam suratkhabar Al-Ahram di Mesir, bertarikh 23 November 2006.
  3. Amalan Taqiyyah bagi mereka adalah 9/10 dari agama. Ia bererti mereka dibolehkan bercakap apa yang bertentangan dengan aqidah mereka jika keadaan tidak mengizinkan. Tetapi jika mereka yang memerintah sesuatu kawasan, mereka akan mengiklankan cacian terhadap para sahabat dengan sangat jelas. Sepertimana yang dapat kita lihat dari sejarah mereka, apabila mereka dapat menawan beberapa negeri Khilafah Abbasiyyah seperti Mesir, Maghribi dan Iraq, mereka menzahirkan pandangan meraka terhadap sahabat tanpa takut lagi. Mereka juga menjadikannya perkara usul bagi mereka.

Oleh itu, jelaslah bagi kami bahawa perkara ini bukanlah suatu perkara yang boleh didiamkan. Namun jika kita berdiam diri juga, maka seperti kita bersekongkol dengan perbuatan mereka. Berdiam diri juga bakal mengundang padah yang lebih besar yakni masyarakat akan hilang punca untuk mengenali agama.

Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah)

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

2 thoughts on “Syiah: Hakikat & Sejarah (Siri 5)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *