Semua pihak berperanan tangani kes buang anak

BANGI – Naib Presiden I Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin menegaskan perlunya semua pihak memainkan peranan bagi menangani kes buang anak yang semakin kronik hari ini.

“Peranan ini bermula dari didikan keluarga yang seharusnya menitikberatkan pendidikan agama, keimanan dan ketaqwaan anak-anak.

“Kedua, pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran seharusnya menitikberatkan keperibadian pelajar selain dari penekanan terhadap kecemerlangan akademik semata-mata,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama TV ISMA baru-baru ini.

Dr. Zainur Rashid juga menekankan peranan Kementerian Penerangan dalam membataskan kebebasan dari sudut media dan sebaran bahan kepada masyarakat awam khususnya di kalangan para remaja seperti majalah, akhbar-akhbar dan bahan-bahan elektronik.

“Telah sampai masanya isu buang bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf ini dibicarakan di peringkat yang lebih besar termasuk di peringkat parlimen dan melibatkan peranan ahli parti politik, NGO, masjid dan institusi pendidikan,” ujarnya.

Menurut beliau, kes buang anak yang diketahui masyarakat hanyalah berdasarkan laporan media, namun hakikatnya keadaan hari ini adalah lebih teruk apabila kadar purata tersebut ditambah dengan kelahiran anak tidak sah taraf yang tidak dilaporkan.

“Bilangan anak tidak sah taraf yang dilaporkan oleh JPN antara tahun 2006 hingga 2010 adalah sebanyak 236,647 kes, ini bererti setiap hari ada 160 kes anak tidak sah taraf dilahirkan di Malaysia.

“Ini kes yang didaftarkan, tidak termasuk lagi dengan kes yang tidak didaftarkan, juga sebahagian kes di mana bayi yang tidak diingini dibuang,” tambahnya.

Dr. Zainur Rashid yang juga Dekan Fakulti Perubatan International Medical University (IMU) berkata, pengguguran janin turut menjadi salah satu masalah paling kritikal terutama yang melibatkan para remaja yang belum berkahwin.

“Dalam persidangan pakar Ginekologi Malaysia pada tahun 2010, dianggarkan sebanyak 96 ribu kes pengguran janin berlaku di Malaysia dan majoritinya adalah kes di kalangan mereka yang tak nak anak, belum berkahwin dan remaja.”

Rata-rata remaja yang terlibat di dalam masalah sosial ini adalah mereka yang berumur di antara 17 hingga 20 tahun. Namun laporan terkini mendapati kes ini juga melibatkan remaja seawal usia 11 tahun.

4 thoughts on “Semua pihak berperanan tangani kes buang anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>