Ramadan bulan produktiviti umat Islam

Ramadhan sudahpun masuk ke fasa pertengahannya dan dalam masa ini Umat Islam sudahpun terbiasa berpuasa dan meningkatkan ibadah-ibadah sunat demi mengejar ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah. Badan kita sudah dibiasakan dengan perut yang lapar dan badan yang penat berpuasa serta diri yang disibukkan dengan amal ibadah. Namun begitu, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa kita meneliti hikmah-hikmah yang tersembunyi di dalam bulan ini.

Sepatutnya bulan Ramadhan menjadi bulan yang sangat produktif kepada Umat Islam di mana sahaja mereka berada. Kita jangan lagi dimomokkan dengan pandangan bahawa apabila datang bulan Ramadhan Umat Islam akan menjadi lemah disebabkan berpuasa kerana tidak makan dan tidak minum. Malah, kita minta pula diberi keringanan dalam kerja-kerja dengan alasan puasa membataskan kita melakukan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja berat yang sebenarnya sudahpun menjadi rutin harian kita di luar Ramadhan.

Lebih sedih lagi apabila orang bukan Islam yang sudah tinggal lebih 50 tahun bersama kita di Malaysia masih belum tahu menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan yang mulia bagi Umat Islam. Mereka memandang serong kepada umat Islam di bulan puasa yang dizahirkan melalui kata-kata mereka dan iklan-iklan di televisyen yang seolah-olah umat Islam sangat lemah dan lembik di bulan Ramadhan (dan kita mengiyakannya!!). Lebih jauh dari itu, mereka masih lagi belum terkesan dengan hasil-hasil yang sepatutnya lahir dari Umat yang ditarbiyyah di bulan Ramadhan bertahun-tahun lamanya!!

Jangan mudah salahkan mereka kerana mereka mungkin belum diberi pengetahuan yang baik tentang Ramadhan. Tapi mulalah menilai diri kita sejauh manakah kita mendapat kesan dari Ramadhan dan menzahirkannya dalam kehidupan sehingga orang bukan Islam mendapat tempiasnya.

Jalan penyelesaiannya hendaklah bermula dengan diri Umat Islam itu sendiri. Mereka sendiri perlu memahami dengan jelas maksud, kepentingan dan hikmah-hikmah bulan Ramadhan. Kita tidak boleh lagi berpada dengan hanya berpuasa di siang hari dan mendirikan solat Tarawih di malam hari sebagai satu rutin di bulan Ramadhan tanpa mengambil iktibar dari kebaikannya dan membinanya dalam diri sehingga seterusnya mampu istiqamah meneruskannya di 11 bulan lain di luar Ramadhan.

Kita tidak mahu lagi wujud dualisme yang membezakan kita di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan. Semasa Ramadhan kita kuat melakukan ibadah tetapi tidak di luar Ramadhan. Semasa Ramadhan kita menzahirkan diri kita lemah dan lembik kerana berpuasa manakala di luar Ramadhan kita menjadi kuat dan rajin bekerja ATAU lebih malang lagi sama lemah dan lembik kerana tidak bersemangat dan bermotivasi untuk bekerja. Itu satu SILAP BESAR dalam kita menanggapi Ramadhan.

Justeru, saya suka membawa pembaca meneliti beberapa nilai tambahan penting (added value) yang boleh perolehi sepanjang Ramadhan sekiranya kita bersungguh-sungguh menghidupkannya. Nilai-nilai inilah sebenarnya akhlak-akhlak Islamiyyah dan Insaniyyah yang telah lama hilang dari Umat ini.

Menanam sifat Jujur, Amanah dan Bertanggungjawab

Berpuasa adalah ibadah yang rahsia hanya diketahui di antara diri seorang hamba yang berpuasa dengan Allah taala sahaja. Tiada siapa yang boleh mengetahui keadaan puasa seseorang melainkan ianya zahir melalui perbuatan makan dan minum atau perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ianya lahir dari iman dan taqwa yang jelas kepada Allah dengan sifat ihsan mengetahui bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Kerana itulah Allah telah menjelaskan objektif mewajibakn puasa adalah ‘Moga-moga kamu bertaqwa’. Orang tidak beriman atau kurang imannya sahaja yang menipu dalam berpuasa.

Secara tidak langsung, amalan berpuasa ini sepatutnya melahirkan sifat jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam diri setiap Muslim yang berpaksikan taqwa kepada Allah. Apabila sifat ini terbina dalam diri logiknya tidak akan ada masalah kurang kesungguhan bekerja, datang lewat ke tempat kerja, tidak amanah, tidak jujur dalam urusan, rasuah dan penyelewengan di kalangan Umat Islam. Persoalannya, adakah Ramadhan yang kita lalui selama ini gagal membentuk sifat Taqwa dalam diri? Mengapakah ibadah-ibadah ini tidak memberi nilai tambahan langsung kepada Umat Islam selama ini? Atau kita hanya melihat kepada kuantiti ibadah sahaja tidak kepada kualiti ibadah dan kesannya pada diri?

Ketepatan Masa dan Tersusun Urusan

Tidak dinafikan dalam bulan Ramadhan kita semakin menepati masa. Malah kita ambil tahu sehingga ke minit yang paling hampir kepada waktu berbuka dan waktu habis sahur. Kita berbuka tepat pada masanya dan kita berhenti sahur juga tepat pada masanya. Kita bersiap awal dan datang ke Masjid tepat pada masanya untuk solat Isyak dan Tarawih. Malah lebih hebat lagi kita berkeupayaan mengerjakan Subuh berjemaah di Masjid yang selama ini tidak mampu kita lakukan di luar Ramadhan!

Jadi seharusnyalah kita membawa sifat menepati masa ini ke luar Ramadhan agar kita tidak lagi datang lambat ke sekolah, kuliah atau tempat kerja. Kita berusaha menepati segala temujanji kita. Dan tidak akan ada lagi istilah JANJI MELAYU yang selalunya akan lewat bukan hanya 5 atau 10 minit tetapi sehingga setengah atau sejam lamanya! Mahu atau tidak, kita mesti berobjektif dalam kehidupan dan menyusun atur kehidupan agar urusan-urusan seharian kita terjaga masanya dengan baik. Inilah kesan Tarbiyyah Ramadhan!!

Bersambung…

Oleh: Dr Ihsanuddin Abas
Pengerusi ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>