Politik ‘common sense’

Saya seorang muslim, rakyat Malaysia, kakitangan kerajaan dan ahli ISMA yang berdaftar.

Namun, saya menolak politik lucah dan kelucahan yang dipaparkan oleh media arus perdana. Saya juga benci pada kezaliman terhadap rakyat awam, sabotaj terhadap kerajaan negeri, memilih bulu dalam projek pembangunan, salah guna kuasa, rasuah, penipuan dalam pilihanraya, pembaziran wang kerajaan dan akta yang membolehkan sesiapa sahaja ditahan dan didakwa tanpa bicara.

Namun kebencian saya ini tidaklah menjadikan saya buta, menafikan jasa-jasa dan menolak apa jua kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan sedia ada, apatah lagi menjadikan saya penyokong buta Pakatan Rakyat.

Andai saya bukan ahli mana-mana NGO pun, saya juga akan berpendirian begini.

Pada masa yang sama, kerana saya seorang muslim, berbangsa melayu, saya sangat ingin melihat kesepakatan antara dua parti terbesar melayu muslim di Malaysia yang ahli-ahlinya dihubungkan dengan ikatan syahadah, iaitu PAS dan UMNO dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat ISLAM dan bangsa melayu seperti isu aqidah, isu undang-undang Islam, penguatkuasaan terhadap ajaran sesat seperti Syiah, isu bahasa, hiburan keterlaluan dan banyak lagi.

Bila mana saya inginkan kesepakatan ini, tidaklah bermakna saya ingin keduanya bergabung atau keluar dari pakatan masing-masing, namun cukuplah agar keduanya dapat menunjukkan kesepakatan dalam membela maruah dan nasib ummah.

Apakah dengan sikap seperti ini, bermakna saya tertipu dengan strategi UMNO untuk mengekalkan kuasa, atau menjadi ‘kaki kipas’ kerajaan untuk menggagalkan hasrat Pakatan Rakyat ke Putrajaya, apatah lagi menjadikan saya penyokong tegar kerajaan hingga menafikan kebaikan-kebaikan yang banyak oleh Pakatan Rakyat khususnya kerajaan PAS di Kelantan. Tidak sama sekali! ‘I am not that stupid!’

Saya inginkan politik damai, politik matang, politik kasih sayang dari kedua belah parti untuk memartabatkan ISLAM dan memberi keadilan kepada semua kaum. Bukan keadilan yang menggunakan sifir sama rata, tapi keadilan yang menggunakan sifir meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya.

Amat aneh mereka yang menyangka bahawa bila mana saya mengkritik kerajaan saya adalah penyokong dan pendokong pembangkang, lebih aneh lagi bila saya mengkritik dan bimbang dengan beberapa tindakan Pakatan Rakyat, secara khususnya PAS, terus dilabel tali barut UMNO atau pencacai kerajaan.

Kefahaman kolot seperti ini adalah mirip politik George Bush ketika ingin menyerang Afghanistan, politik yang berasaskan, “either you are with us or against us”.

Kita harus segera keluar dari kepompong sempit politik seperti ini menuju politik yang lebih cerdik. Politik untuk memenangkan maslahat ummah, bukan hanya untuk meraih undi sewaktu pilihanraya.

Kalaupun generasi pemimpin hari ini tidak mampu melakukannya, jangan kita terjebak mewarisi perselisihan berpanjangan yang hanya akan merugikan umat Islam.

Tidak praktikal? Pelambat kemenangan? Kita harus berjiwa lebih besar untuk merealisasikannya. Tidak ada muslim yang waras yang ingin agar ummah terus berpecah.

JOM! Mulakan dengan diri kita sendiri.

Mohd Hisham Mohd Sharif,
Timbalan Ketua,
ISMA South Australia
Blog: Hisham Sharif

6 thoughts on “Politik ‘common sense’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>