Pengerusi DAP digesa tampil jawab cabaran PEMBELA

BANGI, 27 Ogos – Pengerusi DAP, Karpal Singh digesa supaya tampil dengan segera bagi menjawab cabaran yang dikemukakan oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dua minggu lalu untuk membuktikan wujudnya perkataan sekular di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwanya.

“Saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk menggesa Karpal Singh bagi menjawab segala cabaran yang telah dikemukakan oleh PEMBELA agar mengemukakan bukti dari perlembagaan bahawa di sana terdapat perkataan sekular dan mana-mana bukti yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular daripada perlembagaan Malaysia.

“Jadi saya mengulangi gesaan tersebut kerana kita belum melihat apa-apa jawapan rasmi daripada pihak Karpal sendiri terhadap cabaran tersebut, adakah dia masih mempertahankan pandangannya atau dia menarik balik,” ujar Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Karpal Singh sebelum ini telah membuat kenyataan mengelirukan dengan mengatakan Malaysia adalah negara sekular dengan merujuk kepada kenyataan Tun Salleh Abbas dalam kes Che Omar B. Che Soh pada tahun 1988.

Namun kenyataan tersebut diselar oleh PEMBELA pada 12 Ogos lalu dengan menyatakan Tun Salleh dalam kes tersebut hanya berpendapat undang-undang yang dilaksanakan negara ini adalah undang-undang sekular dan Tun Salleh tidak sama sekali memutuskan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam pada itu, Ustaz Abdullah Zaik turut menyokong cadangan PEMBELA untuk mewujudkan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) demi menjaga kedaulatan agama Islam.

“ISMA menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh PEMBELA dua minggu lepas tentang cadangan penubuhan SKAN dan insya Allah kita akan mengambil langkah proaktif untuk menjayakan usaha ini sehingga kita dapat mengemukakannya kepada Majlis Raja-raja dan kemudian membawa kepada Parlimen untuk diluluskan,” jelas beliau.

2 thoughts on “Pengerusi DAP digesa tampil jawab cabaran PEMBELA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>