Murabbi-murabbi ISMA diseru letak sasaran tinggi

KUALA LUMPUR – Para murabbi ISMA mesti meletakkan sasaran dan piawai yang tinggi terhadap mutarabbi masing-masing kerana mereka sebenarnya sedang menyediakan tenaga kerja untuk menanggung segala beban ummah pada masa hadapan.

Perkara ini ditegaskan oleh Naib Presiden II ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni ketika membentangkan tajuk Zatiah Murabbi sempena Ijtimak Murabbi ISMA baru-baru ini.

Menurut beliau, tanpa meletakkan sasaran yang besar terhadap mutarabbi, murabbi akan kehilangan zatiah untuk beramal dan melaksanakan tugasan di luar rutin yang adakalanya lebih penting daripada aktiviti-aktiviti rutin tarbiyyah.

“Setiap murabbi perlu memiliki zatiah yang tinggi kerana inilah tolakan dalaman yang akan memberikan kesanggupan untuk menanggung segala beban demi mencapai matlamat,” ujarnya.

Ustaz Fauzi juga menjelaskan bahawa fenomena murabbi tiada zatiah berlaku akibat ketidakseimbangan antara sifat fardiyyah dan jamaiyyah yang menyebabkan mereka tidak berani mencuba serta terlalu menunggu arahan secara terperinci daripada pimpinan.

Faktor-faktor lain yang turut dinyatakan oleh beliau sebagai penyumbang kepada masalah ini ialah murabbi tidak menguasai objektif-objektif tarbiyyah, kurangnya suasana yang menggalakkan kreativiti dan perlumbaan amal serta pengurusan diri murabbi yang tidak teratur.

Ijtimak Murabbi ini dianjurkan oleh Biro Tarbiyyah ISMA dan telah menghimpunkan para murabbi ISMA dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Ustaz Fauzi mengingatkan ahli-ahli ISMA bahawa keprihatinan ISMA terhadap isu-isu semasa seperti ancaman liberalisme dan pluralisme, perpecahan umat serta bahaya Syiah, tidak seharusnya mengurangkan fokus mereka kepada tarbiyyah yang merupakan penyelesaian hakiki kepada permasalahan umat Islam.

7 thoughts on “Murabbi-murabbi ISMA diseru letak sasaran tinggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>