Menjaga agama: Tanggungjawab pemerintah & rakyat

Ramadhan adalah bulan kita memperkukuhkan aqidah kita secara individu dan secara kolektif. Puasa pada siang hari dan melakukan segala macam ibadat pada malam hari tanpa menghiraukan rintangan yang ada, adalah biasan kepada sikap umat Islam yang sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan agama. Alangkah baiknya jika semangat yang sama kita padukan dalam menghadapi cabaran-cabaran kepada Islam dan umatnya.

Baru-baru ini satu surat bertarikh 18 Julai 2012 dari The Christian Federation of Malaysia telah diedarkan kepada gereja-gereja dan umat Kristian berkaitan pilihanraya umum akan datang. Antara intipati surat berkenaan adalah menyeru agar Kristian menggunakan hak mengundi untuk memilih kerajaan akan datang yang lebih maju.

Antara petikannya ialah “In term of our vision for a better Malaysia, CFM encourages Malaysian Christians to think about the following priorities” (dari segi visi kita supaya Malaysia semakin maju, CFM menggalakkan agar setiap umat Kristian di Malaysia memikirkan perkara-perkara terpenting berikut).

Di antara senarai terpenting berkenaan ialah seperti yang diungkapkan “A nation where religious freedom to profess, practice and propagate one’s religion is allowed to flourish without undue curtailment from the law, restrictions or even prohibition” (Sebuah negara di mana kebebasan agama merangkumi kebebasan untuk menganut, mengamal dan menyebarkan agama di mana ia dibenarkan berkembang tanpa sebarang pembatasan yang tidak wajar dari undang-undang, penegahan ataupun larangan).

Umat Islam di Malaysia perlu kembali sedar bahawa anugerah Allah yang paling besar adalah nikmat Iman dan Islam. Di dalam al-Quran, secara tuntas mengatakan bahawa Islam hanyalah satu-satunya cara hidup yang diiktiraf (surah Ali-Imran ayat 19) dan Allah tidak menerima cara hidup selain daripada Islam (surah Ali-Imran ayat 85). Nabi SAW meletakkan asas Islam mesti mengatasi yang lain (hadtih hasan no: 3065 al Jami’ al Sagheer). Umat Islam patut lebih sedar bahawa kewajipan mempertahankan aqidah yang mulia ini daripada segala gangguan dari dalam dan dari luar. Pastikan bahawa hak memilih kerajaan akan datang kita gunakan sepenuhnya untuk memilih pemimpin yang tiada kompromi di dalam mempertahankan aqidah.

Apa yang sepatutnya kita perjuangkan ini berasaskan kewajipan agama dan tindakan kita selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan penjagaan Islam. Selama ini pun terbukti tidak ada penindasan terhadap pengamalan agama-agama lain.

Islam sahaja satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Agama lain hanya disebut secara umum sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Perlembagaan menjamin bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Islam telah termaktub di dalam perlembagaan negara sebagai agama bagi Persekutuan menerusi perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan; namun agama-agam lain boleh diamalkan dengan aman damai di mana-mana bahagian Persekutuan dengan erti kata boleh diamalkan selagi ia tidak menghakis keamanan dan kedamaian agama Persekutuan iaitu Islam.

Menurut Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan selain Perkara 3(1) seperti Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam. Sebagai rakyat muslim negeri ini saya sangat berharap dan merayu agar Kerajaan Negeri Perak dapat menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 (En. 10/88).

Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam. Manakala Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mendengar kes-kes dan isu agama Islam dalam keadaan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah menerusi peruntukan perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Semua rakyat segenap peringkat perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan aqidah masing-masing serta keluarga terpelihara dan mesti menggunakan hak memilih pemimpin ketika pilihanraya nanti tokoh-tokoh yang meletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan lain samada kepentingan peribadi, kelompok mahupun mengamalkan siasah “mengambil muka’ orang lain sehingga prinsip menjaga aqidah dijadikan barang tawar menawar. Bagi rakan-rakan yang bukan beragama Islam kita kekalkan suasana harmoni yang terjalin untuk sekian lama dengan menghormati undang-undang negara kerana Islam mengajar umatnya agar tidak menzalimi orang lain walaupun berlainan kepercayaan.

Umat Islam di negara ini perlu memahami dan mempertahankan saki-baki peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi Islam di samping tidak berhenti berusaha memperbaikinya dari masa ke semasa. Janganlah kuasa yang diburu atau dikekalkan sehingga melepaskan sedikit demi sedikit aset yang sedia ada. Bak kata pepatah “Yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat”.

Dalam konteks Malaysia, saya berpendapat aqidah umat Islam masih memerlukan benteng undang-undang untuk dipelihara di samping usaha dakwah dijalankan disebabkan gambaran yang Nabi SAW utarakan dalam hadith baginda, memang benar-benar berlaku “…bersegeralah kamu berbuat amal soleh sebelum fitnah datang seperti datangnya kegelapan malam. Sehingga seorang lelaki itu beriman pada waktu pagi tetapi kafir pada sebelah petangnya. Atau beriman pada petang hari tetapi kafir pada waktu subuh, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.” (Sahih Muslim :118)

Ustaz Hj. Zamri bin Hashim,
Naib Yang di-Pertua,
ISMA Perak
Blog: Ustaz Zamri Hashim

* Ustaz Hj. Zamri bin Hashim juga merupakan Timbalan Mufti Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *