I-Medik Pahang anjur program Road To Middle East

KUANTAN, 29 Julai –  Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) cawangan Pahang dengan kerjasama Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP) telah menganjurkan program Road To Middle East khusus bagi para pelajar Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA).

Program yang julung kali diadakan ini disertai seramai 112 orang pelajar tajaan MARA dan Yayasan Pahang yang akan melanjutkan pelajaran di bidang perubatan, pergigian, pengajian Islam dan perbankan Islam di Mesir dan Jordan bagi sesi 2012/2013.

Tujuan program ini adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar suasana pembelajaran dan kehidupan yang akan mereka tempuhi di Mesir dan Jordan melalui ceramah dan perkongsian pengalaman mereka yang sedang dan pernah menuntut di Mesir dan Jordan.

Majlis dirasmikan oleh Ustaz Azhar bin Jaafar  selaku Pengarah Program KIBA anjuran IKIP.

Pengerusi I-Medik Pahang, Dr. Mohd Nasiruddin Johari dalam ucapan alu-aluannya telah memperkenalkan I-Medik sebagai wadah yang dapat membantu para peserta bagi mengharungi kehidupan di luar negara.

Tambah beliau, I-Medik komited dengan program-program kesihatan dan kemasyarakatan serta terlibat di dalam memberi bimbingan kerjaya kepada para pengamal perubatan dan kesihatan.

Majlis disusuli dengan forum bertajuk “Antara Ijazah & Amanah” menampilkan panelis terdiri daripada saudara Azizi Afuan dari Kasr el-Ainy Medical School Kaherah dan pasangan suami-isteri Dr. Mohd Afzal Bin Alias dari Universiti of Melbourne dan Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim dari Universiti Monash Australia.

Para pelajar juga telah berpeluang berinteraksi terus dengan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir dalam sesi perkongsian pengalaman semasa aktiviti berkumpulan.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup dengan kata-kata semangat dan nasihat daripada Prof. Dr. Azmi Bin Md Nor selaku Pengerusi I-Medik Pusat.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Bedah dan Pensyarah di Kuliah Perubatan UIAM dan Pakar Perunding Bedah Kolorektal di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan menyeru para pelajar mengambil peluang semasa berada di Bumi Anbiya untuk belajar besungguh-sungguh dan menjadi pelajar Muslim yang cemerlang dan mempunyai agenda hidup yang jelas sebagai seorang Muslim.

Mereka juga dinasihatkan mengambil peluang untuk menguasai Bahasa Arab supaya dapat memahami dan menguasai Al Quran dengan baik di samping peka dan sensitif dengan isu-isu yang menimpa umat Islam di dalam dan luar negara, berusaha bersama-sama untuk melakukan pembaikan.

Menurut Dr. Azmi, inilah yang menjadi nilai tambah dan membezakan antara kita dengan pengamal perubatan dan kesihatan yang lain.

I-Medik mengharapkan program ini dapat memberi satu kesedaran dan merupakan titik tolak kepada peserta untuk menjadi pelajar Muslim yang berwawasan besar serta memiliki agenda hidup yang jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>