Buyutuna Fi Ramadhan Episod 2 – Erti hidup pada memberi

Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa lewat petang itu mengeringkan renik-renik peluh Ammar setelah kepenatan bermain bola sepak bersama rakan -rakannya.

“Lagi dua jam waktu berbuka ni,” bisik hati kecil Ammar.

Hari ini sudah genap seminggu Ammar berpuasa di bulan Ramadhan dan selama itulah Ammar tidak lupa untuk bersahur setelah ditegur oleh gurunya.

Petang itu Ammar malas-malas untuk pulang ke rumah. Selalunya, dialah yang paling segera meminta diri untuk pulang supaya boleh berhemat diri sebelum berbuka puasa.Tapi kali ini dia bercadang untuk pulang setengah jam sebelum berbuka kerana hari ini dia akan berbuka puasa seorang diri dengan beralas perut maggi cup asam laksa.

Semuanya lantaran ibu dan ayahnya yang tiada di rumah. Tiba – tiba Ammar teringat nota pendek yang ditampal ibunya, Mak Sofiyyah di peti ais usai pulang dari sekolah tengah hari tadi.

“Umi dan abah pulang ke kampung. Atok sakit. Umi tak sempat masak, malam baru umi dan abah pulang”.

Mengingatkan hal itu, Ammar berdoa di dalam hati, moga atoknya cepat sembuh. Kata ustaz, doa orang puasa itu mustajab. Harapannya moga Allah menyembuhkan penyakit atoknya.

Sedang Ammar termenung, tiba – tiba dia seakan terpandang kelibat seorang remaja berbaju Melayu yang dikenalinya.

“Khalid, kau nak ke mana tu, segak berbaju Melayu dini petang seperti ini?” laung Ammar kepada Khalid.

Mendengarkan namanya dipanggil, Khalid menoleh ke arah suara itu dan ternampak Ammar. Khalid pun menghampiri tempat Ammar duduk.

“Oh, aku nak ke masjid, bertadarus Al-Quran sementara menunggu waktu berbuka,” kata Khalid.

“Maksudnya kau berbuka puasa di masjid ya hari ini?” teka Ammar.

“A’ah, bulan puasa begini ramailah orang berlumba-lumba menginfak harta mereka untuk iftar di masjid dan surau. Jadi, aku pula tolong mereka untuk elakkan pembaziran dengan berbuka di sana.”

‘Kalau begitu, daripada aku berbuka puasa dengan maggi asam laksa, baik aku berbuka puasa di masjid. Taklah makan sorang-sorang’, hati kecil Ammar bersuara.

“Oklah Ammar, aku dah terlewat ni.Nanti tak sempat pula nak bertadarus. Aku pergi dulu.”

“Kau pergilah dulu. Nanti aku menyusul. Teringin juga nak berbuka puasa di masjid. Jumpa nanti, InsyaAllah, Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam,” sambut Khalid.

Maghrib itu, di masjid…

Tatkala berkumandang azan maghrib oleh pak bilal seakan seluruh alam bergema menyambut seruan agung itu. Inilah masa yang dinantikan umat Islam, waktu berbuka puasa.

Ammar yang baru sampai di masjid, termengah-mengah mencari tempat duduk kosong kerana ruang anjung masjid sudah dipenuhi kaum muslimin yang berbuka puasa. Di satu sudut yang lain kelihatan kaum muslimat berkumpul untuk melaksanakan syariat yang sama.

Khalid yang ternampak Ammar yang sedang mencari tempat duduk lantas memanggil Ammar untuk duduk di sebelahnya.
Sudah menjadi kebiasaan jemaah berbuka puasa dengan kurma dan air dahulu sebelum bersolat maghrib berjemaah bagi memenuhi tuntutan sunnah Nabi s.a.w. Begitu juga kedua- dua sahabat tersebut, melakukan sunnah yang sama.

Sambil mengunyah kurma, Ammar memerhati tingkah laku sekumpulan anak kecil yang duduk di sebelahnya. Terasa ada sesuatu yang menarik yang dilakukan oleh kumpulan kecil tersebut. Kelihatan seorang kanak – kanak lelaki seusia 6 tahun mengagih-agihkan beberapa biji epal kepunyaannya kepada rakan –rakannya. Akhirnya yang tinggal ialah epal untuk dirinya sendiri. Namun, tiba- tiba salah seorang kawannya menangis kerana epalnya diambil oleh adik kawannya.

Melihat keadaan itu, budak lelaki tersebut tanpa teragak –agak memberi epalnya kepada rakannya yang menangis itu. Kemudian, budak tersebut berlari kearah ayahnya. Ammar menjangka budak itu ingin mengadu kepada si ayah, namun sebaliknya si kecil itu meminta ayahnya untuk membelikan lebih banyak epal supaya dia dapat berkongsi dengan kawan – kawannya lagi.

Melihat kejadian itu, hati Ammar rasa tersayat. Kanak –kanak sekecil itu sudah memahami erti hidup pada memberi. Seakan ada motivasi baru Ramadhan kali ini yang ingin disampaikan oleh akhlak kanak-kanak tersebut. ‘ Jika si kecil itu sudah tahu cara untuk berkongsi rezekinya dengan orang lain, kenapa tidak Ammar yang sudah tahu membezakan antara baik dan buruk?’ hati Ammar berdetik.

Sebelum solat maghrib itu, Ammar nekad dalam diri untuk melakukan sesuatu. Azam Ammar, Ramadhan harus dihidupkan dengan ‘erti hidup pada memberi’ kepada orang lain. Itu motivasi Ammar untuk dirinya.

Hujung minggu itu, di rumah Ammar…

“Umi…umi boleh tolong Ammar tak hari ini?” Tiba – tiba Ammar menyapa uminya yang sedang mengemas dapur pagi hujung minggu itu.

“Tolong? Tolong apa ya Ammar? Kalau perkara tu baik, InsyaAllah umi akan tolong anak umi yang manja ni,” jawab Mak Sofiyyah sambil sempat mengusik Ammar.

“Ammar cadang nak ajak keluarga rakan sekelas Ammar, Zaid untuk iftar bersama di rumah kita. Keluarganya agak susah umi. Jadi Ammar rasa dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka sekeluarga sambil keluarga kita bersilaturahim dengan Zaid sekeluarga. Apa pendapat umi?”

“Oh, bagus juga tu Ammar. Lagi meriahlah rumah kita di bulan Ramadhan. InsyaAllah Ammar jemputlah mereka sekeluarga. Nanti umi masak lebih untuk kita berbuka puasa bersama. Selain itu, Ammar ceritakanlah keadaan mereka kepada abah, mana tahu abah boleh buat sesuatu untuk bantu mereka,” cadang Mak Sofiyyah.

Lega hati Ammar mendengar jawapan uminya. Inilah hasrat hati Ammar setelah melihat peristiwa tempoh hari di masjid. Azam Ammar jika ada kelapangan di hujung minggu Ammar ingin menjemput kenalannya, atau kenalan abah uminya untuk iftar bersama di rumahnya. Ammar ingin memeriahkan rumahnya di bulan Ramadhan ini dengan iftar bersama mereka. Dia merasakan dengan cara itu, selain menghidupkan suasana Ramadhan di rumahnya, dia juga dapat memberikan sesuatu kepada orang lain. Erti hidup pada memberi.

Bersambung…

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahwa sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda, “Apabila salah seorang diantara kamu puasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih.” (H.R. Ahmad dan At-Tirmidzi)

Sabda baginda s.a.w. “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa).” (H.R. al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa daripada seorang yang dizalimi. Allah s.w.t. akan mengangkatnya ke atas awan dan terbuka pintu-pintu langit dan Allah s.w.t. akan berkata, “Demi kemuliaanKu, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika” (H.R Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hasil Nukilan,
Srikandi Ummah
Media ISMA SA

One thought on “Buyutuna Fi Ramadhan Episod 2 – Erti hidup pada memberi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>