80 pelajar sertai program “Challenges In Europe”

SHAH ALAM, 2 Ogos – Hampir 80 orang pelajar yang sedang menuntut di kolej-kolej persediaan seperti International Education Centre (INTEC), Taylors College, Management and Science University (MSU) dan Kolej Teknologi Timur (KTT) telah menyertai program “Challenges In Europe” yang diadakan di Masjid Nur Hidayah, Seksyen 18 di sini.

Program ini dianjurkan oleh ISMA Eropah dengan kerjasama ISMA Shah Alam dan Sekretariat Antarabangsa ISMA bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta berkenaan dengan cabaran yang bakal dihadapi sewaktu berada di luar negara khususnya di Eropah.

Menerusi slot ceramah yang disampaikan oleh Pengerusi Biro Dakwah ISMA, Ustaz Abdul Halim Abdullah, para peserta berpeluang untuk mengutip pelbagai mutiara ilmu yang telah dikongsikan oleh beliau.

Beliau mengingatkan mereka agar tidak menumpukan kepada ijazah semata-mata sewaktu berada di luar negara kerana banyak ilmu yang boleh diperoleh di sana terutamanya dengan melihat perbezaan yang ketara melalui sikap, pemikiran serta ideologi masyarakat yang berada di luar negara.

Ustaz Halim turut menasihatkan para peserta agar tidak mengabaikan aspek keagamaan yang merupakan satu pegangan yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar muslim.

Program kali ini juga diserikan dengan forum bertemakan ‘We Care, We Share’ yang menampilkan beberapa orang pelajar yang sedang menuntut di beberapa buah negara seperti Republic of Ireland, United Kingdom dan Czech Republic.

Pelbagai isu telah ditimbulkan menerusi forum ini yang menyentuh pelbagai aspek seperti kewangan, cabaran hidup, kehidupan sosial, masyarakat serta golongan komuniti Islam di luar negara.

Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi secara tidak formal dengan pelajar-pelajar senior sewaktu menikmati juadah moreh yang memberikan ruang untuk mereka bertanya secara lebih mendalam tentang kehidupan di luar negara serta universiti yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>