Syiah: Hakikat & Sejarah (Siri 4)

Adapun kumpulan yang ketiga yakni mazhab Syiah Dua Belas, walaupun mengamalkan banyak bid’ah, namun darurat yang dibawa adalah lebih ringan daripada dua mazhab yang lain tadi. Mereka masih beriman pada Allah, Rasul, dan Hari Kebangkitan, cuma mereka menambah banyak bid’ah di dalam Islam.

Maka seruan-seruan mereka telah mendapat sambutan beberapa kabilah besar di Iran dan Iraq, dan dari situ merupakan titik tolak mereka untuk mengasaskan empayar sendiri.

Bani Samaan telah menyambut seruan mereka dan telah di’tasyayyu’kan (diSyiahkan). Bani Samaan ini memegang tampuk pemerintahan sebahagian besar Iran, dan telah mendirikan kerajaan sendiri pada tahun 261 H hingga 389 H, tetapi mereka tidak menzahirkan fahaman Syiah mereka sehinggalah pada awal kurun ke-4.

Seruan Syiah Dua Belas ini juga telah disambut oleh Bani Hamdan yang menjadi pemerintah di Iraq dari tahun 317 H hingga 369 H, dan empayar ini terus berkembang hingga sampai ke bandar Aleppo di Syria.

Adapun yang lebih bahaya daripada itu, adalah apabila Bani Buwaih menyambut seruan Syiah. Bani ini adalah daripada keturunan Parsi dan mereka telah mengasaskan negara mereka di atas tanah Iran dan terus berkembang sehinggalah mereka mampu menjajah kerajaan Abbasiah sendiri pada tahun 334 H!

Namun mereka mengekalkan posisi khilafah di tempatnya kerana bimbang Muslimin Sunni melancarkan revolusi ke atas mereka. Penjajahan ini berterusan sehingga 100 tahun lamanya yakni dari tahun 334 H hingga 447 H, sehinggalah kerajaan Saljuk yang berfahaman Sunni muncul dan menyelamatkan Iraq daripada penjajahan mereka. (Iraq yakni di Baghdad merupakan pusat pemerintahan kerajaan Abbasiah pada waktu itu)

Pada masa penjajahan mereka ke atas Iraq, mereka telah bertindak zalim terhadap ulama’ Sunnah dan khalifah-khalifahnya, malah telah menulis cacian ke atas sahabat di pintu-pintu masjid, dan telah mengutuk Abu Bakar secara terang-terangan dalam khutbah mereka, dan tempoh tersebut merupakan antara noktah hitam dalam sejarah umat Islam.

Kita dapat perhatikan bahawa sebenarnya kurun ke-4 Hijrah adalah milik Syiah seluruhnya! Empayar Bani Buwaih menguasai sebahagian Iran dan seluruh Iraq, manakala Empayar Bani Samaan pula menguasai timur Iran, sebahagian Afghanistan dan bahagian timur tanah Islam. Empayar Hamdan menakluk Mosul (nama sebuah Bandar di Iraq) dan Aleppo (nama sebuah Bandar di Syria).

Syiah Qaramitah pula menguasai timur Jazirah Arab, dan kadang-kadang berjaya menakluk Hijaz, hatta Damsyik sekalipun. Manakala Syiah Fatimiyyah (Ismailiyyah) pula berjaya menakluk semua Negara Islam di Afrika, sehingga mencapai ke Palestin, Syria dan Lubnan.

Pada hujung kurun ke-4 Hijrah, Syiah Qaramitah berjaya ditumbangkan dan pada tengah kurun ke-5 Hijrah pula, Syiah Bani Buwaih juga tumbang yakni pada tahun 447 H, tetapi Syiah Ismailiyyah kekal bertahan dan akhirnya tumbang juga pada tengah kurun ke-6 yakni pada tahun 567 H. Maka akhirnya muslim Sunni kembali memerintah tetapi dakyah Syiah Dua Belas tetap wujud di Iran dan sebahagian Iraq, namun seruan itu wujud tanpa pemerintahan.

Keadaan ini berterusan sehinggalah pada awal kurun ke-10 yakni pada tahun 907 H, muncul empayar Safawiyah yang berfahaman Syiah Dua Belas yang diasaskan oleh Ismail As-Safawi. (Dinamakan As-Safawiyyah kerana dinasabkan kepada datuk besar mereka bernama Sofiyuddin Al-Ardabili, meninggal tahun 729 H, yang berbangsa Parsi). Maka empayar ini terus berkembang dan mengambil Tabriz sebagai ibu kota mereka. Sehingga wujud ketegangan antara mereka dan empayar Uthmaniyyah berfahaman Sunni di perbatasan sempadan.

Lalu mereka berpakat dengan Portugal dan menyerang Uthmaniyyah, dan berjaya menawan Iraq. Setelah itu, Sultan Salim I dari Uthmaniyyah berdepan dengan mereka dalam satu peristiwa yang masyhur di Jaldiran pada tahun 920 H, dan Sultan Salim berjaya mendapat kemenangan yang besar dan menghalau mereka keluar dari Iraq.

Berlalu masa, dan pertentangan sentiasa berlaku antara Uthmaniyyah dan Safawiyyah, dan kebanyakan perkelahian berlaku di Iraq. Situasi ini berterusan sehingga 200 tahun yakni pada tempoh Safawiyyah memerintah Iran dari tahun 907 H, hingga tahun 1148 H, (tahun kejatuhan mereka bersamaan 1735 tahun Masihi). Setelah itu, negara Iran berpecah kepada beberapa wilayah yang direbut-rebut antara Uthmaniyah, Russia dan Afghanistan. Sultan Safawiyyah yang terakhir adalah Sultan Abbas III.

Pada zaman kejatuhan Uthmaniyyah, di mana tanah-tanahnya dijajah oleh kuasa Eropah dan Russia, ia juga membawa kepada lemahnya penguasaan di Barat Iran. Ia pernah dijajah oleh Inggeris, Perancis dan Russia.

Pada tahun 119 H/1779 M, Agha Muhammad Qajar yang berbangsa Parsi telah memerintah Iran. Walaupun dia bermazhab Syiah, tetapi dia lebih banyak terpengaruh dengan fahaman Sekularisme, dan dia tidak mengajak manusia untuk sertai Syiah mahupun memerintah dengan undang-undang Syiah. Maka pemerintahan Iran pun silih berganti antara anak-anaknya, kadang-kadang wilayah jajahannya menjadi luas, kadang-kadang menjadi sempit, dan mereka menggelar diri mereka sebagai Syah (yakni panggilan untuk raja bagi bangsa Parsi).

Sehingga pada tahun 1343 H/1925 M, Redha Bahlawi telah menggulingkan keluarga Agha Muhammad Qajar dari pemerintahan dan mengambil tampuk kuasa, serta menggelar dirinya pula Syah. Kejayaan Redha Bahlawi ini disebabkan mereka telah mendapat bantuan dari Inggeris, namun setelah menjadi Syah, didapati dia tidak sebulu dengan Inggeris lalu ditukar dengan anaknya, Muhammad Redha Bahlawi pada tahun 1941 M. Anaknya ini memerintah Iran secara sekular sehinggalah pada tahun 1979 M/ 1399 H, berlaku Revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomeini yang berfahaman Syiah Dua Belas untuk menegakkan sebuah kerajaan yang mengamalkan ajaran Syiah.

Inilah sejarah Syiah dari mula ia muncul sehingga sekarang, dan kami dapati terdapat banyak berlaku perselisihan dan revolusi antara Syiah dan Ahli Sunnah. Dan kami juga mendapati tidak pernah berlaku pertentangan antara Syiah dan musuh-musuh Islam yang lain seperti Tentera Salib, Russia, Inggeris, Perancis, Portugal, malah daripada tentera Tartar sekalipun. Namun apa yang dapat dilihat adalah kerjasama antara mereka yang berulang untuk menjatuhkan Sunni.

Perlu ditekankan di sini adalah kita tidak memandang seseorang itu kerana ayahnya dulu atau datuknya yang telah membuat silap, tetapi ia adalah pandangan kepada fikrah, manhaj dan pemikiran. Yakni mereka tetap berpegang teguh dengan fikrah yang diwarisi turun-temurun dan di sinilah masalah itu berlaku. Sehingga mana mereka mengeji Abu Bakar, Umar dan sahabat serta sahabiah yang lain, sehingga mana mereka mereka menganggap imamah hanya untuk keturunan tertentu, sehingga itulah kita akan menolak untuk bersangka baik malah kita berkata, “Sesungguhnya cucu-cucu terus berjalan di atas jalan nenek moyang mereka.”

Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah)

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

8 thoughts on “Syiah: Hakikat & Sejarah (Siri 4)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *