Sujud yang merdeka

 

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan Ramadhan Al Mubarak, penghulu segala bulan, bulan mulia yang penuh hikmah dan pengajaran, mendidik jiwa ke arah ketaqwaan, ketaatan dan perhambaan. Bulan yang padanya diturunkan Al Qur’an, yang membangkitkan kita dari kelalaian dan kealpaan, bulan yang mengajar erti kebersamaan dan kesatuan, dan seharusnya menjadi bulan yang memberikan kita bekalan di sepanjang perjalanan.

Ikhwah dan akhawat seperjuangan,

Keberkatan Ramadhan ini datang bersamanya ibrah dan pengajaran yang sangat berharga kepada seluruh umat Islam terutamanya kepada mereka yang telah berjanji setia untuk mendokong agama Allah S.W.T. Bulan yang membawa hikmah dan pesanan untuk  kita melihat kembali nilai keimanan, ketundukan, kepatuhan dan pengabdian kita terhadap segala titah perintah Allah S.W.T.  Bulan ini juga sepatutnya dimanfaatkan untuk kita merenung dan memuhasabah segala peranan dan tanggungjawab kita sebagai manusia yang telah menyerahkan jiwanya dan seluruh kehidupannya untuk menebus harga kewujudannya di muka bumi Allah Azza Wa Jalla.

Merenung kata-kata agung Rub’ie bin Amir di hadapan Rustum, “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada pengabdian sesama hamba kepada pengabdian diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Inilah hakikat pengabdian yang harus kita fahami dan terjemahkan sebaiknya di dalam kehidupan. Punyai jiwa dan hati yang bebas merdeka daripada segala penyakit dan kongkongan dunia, tenang dan lapang menyerap segala ujian dan cabaran, jauh dari segala kepentingan peribadi dan keegoan diri. Rendah hati tetapi keazaman yang menggunung tinggi, luas pemikiran penuh dengan ilmu dan pengajaran. Tegas membela kebenaran tetapi berkasih sayang sesama orang beriman.

Inilah antara ciri-ciri manusia yang terdidik jiwanya untuk mencintai dakwah melebihi segala-galanya. Manusia yang cukup sedar kekerdilan diri, lalu sujud menyembah Yang Maha Kuasa, memuliakanNya lantas menundukkan segala keegoan dan kebesaran diri mereka, memutuskan belenggu antara jiwa yang sejahtera dengan hawa nafsu dan ikatan jahiliyah. Maka, sujud yang merdeka ini menjadi simbol kepada tekad dan keazaman seorang hamba yang menanggung amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah S.W.T.

Renunglah ayat Allah di surah al Fath : 29 yang bermaksud:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,

Sedarlah, bahawa kita tidak akan sekali-kali terlepas daripada taklif ini, membebaskan manusia dari belenggu kejahilan, bersama megibarkan bendera kebaikan, menyeru mereka kepada rahmat dan keadilan, mengajak mereka untuk bersama-sama mendaulatkan agama kebenaran. Inilah amal yang paling utama ketika manusia di sekeliling kita amat memerlukannya dan inilah juga amal yang akan memuliakan kita dan membersihkan kita daripada segala dosa. Sebagaimana yang dinukilkan di dalam surat Abu Darda’ kepada Salman Al Farisi. Abu Darda’ menulis “marilah kembali kepada bumi yang mensucikan ini (Madinah). Lantas Salman menjawab “sesungguhya bumi itu tidak pernah mesucikan sesiapa pun, tetapi yang mensucikan (memuliakan) seorang hamba itu adalah amalnya”.

Inilah beberapa mafhum daripada Al Muntalaq untuk sama-sama kita renungi, menjadi azimat untuk kita terus berbakti dan berusaha untuk mendaulatkan agama Allah S.W.T. tanpa jemu dan ragu. Semoga Ramadhan kali ini membawa perubahan dalam kita menilai dan memperkasa amal dan ibadah dan memberi bekas dan kesan yang berpanjangan dalam hubungan kita sebagai hamba yang sejati dengan Allah S.W.T. Semoga Allah megurniakan Rahmat dan keampunanNya dan membebaskan kita dari api neraka.

Ramadhan karim. Kullu ‘am wa antum bikhair wa ilallahi atqa.

Oleh: Mohd Zuraidi Zakaria
Yang Dipertua ISMA Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>