Ramadhan di Melbourne

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi yang telah mempertemukan diri ini ke bulan penuh barakah, bulan kemenangan, bulan ujian, bulan tarbiyah dan bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh setiap orang yang beriman. Ramadan kali ini akan menjadi sesuatu yang lari dari kebiasaan diriku bukan hanya kerana ini kali pertama aku menyambut Ramadan di perantauan, bahkan semoga Ramadan kali ini akan menjadi sesuatu yang penuh makna, dengan bertambahnya amal dan taqwa kepada-Nya, InsyaAllah.

Aku berasa sangat teruja untuk bertemu dengan Ramadan, lebih-lebih lagi di tempat orang ini. Suasana sebelum Ramadan sudah terasa lainnya berbanding dengan di tempat asalku. Hidup dalam kalangan minoriti Muslim yang terdiri daripada pelbagai etnik dari pelbagai latar belakang telah membuka minda ini serba sedikit. Aku dapat belajar banyak daripada etnik Muslim yang lain di bumi kangaroo ini. Aku dapat melihat muka setiap orang beriman di sini penuh teruja dan gembira untuk menyambut Ramadan. Teringat dahulukala, banyak orang di negaraku yang bermasam muka menahan lapar ketika Ramadan dan muka penuh ceria menjelang Syawal. Tidak hairanlah kita berhari raya selama sebulan. Biarpun masih ada yang sedih dengan kepergian Ramadan.

Rakan-rakan dan senior-senior banyak membantuku di sini. Masing-masing saling memperingati ke arah Ramadan. “Awak dah sedia ke?”. “Jomlah kita berlatih qiyam dan puasa, Ramadan kan dah dekat”. Dialog tersebut menjadi halwa telinga ini. “Assalamualaikum brother, have you prepared for Ramadan?”, ujar seorang brother dari Pakistan kepadaku di luar masjid Beddoe, Clayton. Aku sangat teruja dengan suasana ini.

Saat diari ini ditulis, aku baru sahaja menyempurnakan dua hari puasa di perantauan. Jadi, tidak banyak yang boleh dicoretkan. Banyak masjid di sini yang berlumba-lumba menyediakan iftar terutamanya di bandar Melbourne seperti di ICV dan Melbourne Madinah, setiap hari. Iftar pertamaku di Australia ini adalah di Melbourne Madinah, pusat komuniti Islam yang diuruskan oleh NGO Mercy Mission. Ia adalah pengalaman yang menarik. Lima minit seusai Isyak, seorang brother menceritakan dengan ringkas tentang gambaran surah al-Kahfi. Di sana solat tarawikh dikerjakan sebanyak lapan rakaat. Sesudah empat rakaat, brother tersebut akan mentafsirkan surah al- Kahfi dengan penuh ringkas, sebab diturunkan dan juga tiga kisah di dalam surah tersebut iaitu kisah pemuda Kahfi, kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s dan kisah Zulqarnain a.s. Imam yang dibawakan khas dari Mesir tersebut menghabiskan surah al-Kahfi di dalam Isyak dan tarawikh. Banyak ilmu yang diperoleh pada hari pertama Ramadan.

Aku berharap semoga Allah SWT memanjangkan umurku supaya aku dapat menikmati Ramadan kali ini secara total. Semoga Ramadan kali ini akan menjadi medan untukku mentarbiyah diriku ke arah yang lebih baik. Semoga beroleh rahmat dari-Nya, keampunan dari-Nya dan dijauhkan dari api neraka sepanjang Ramadan ini. Yang paling utama, semoga beroleh ketaqwaan, InsyaAllah.

Salam Ramadan Kareem.

MSA
Melbourne, Australia.

4 thoughts on “Ramadhan di Melbourne

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>