Ramadan peluang terbaik mengkoreksi diri

Assalamualaikum wbt,

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak. Kita bersyukur kepada Allah swt kerana mengizinkan kita untuk menjadi hambaNya di bulan yang mulia ini.

Allah swt menyeru orang-orang yang beriman dengan seruan yang sangat rahmat dan penuh kasih sayang “Wahai orang-orang yang beriman” sama seperti Luqman al-Hakim memanggil anaknya “Wahai anakku, janganlah kamu syirik kepada Allah” atau lebih kasih lagi. Sama seperti ketika baginda saw berpesan kepada Ibnu Abbas dalam hadis “Ya ghulam, mahukah aku mengajarkan kepadamu kalimat” , atau lebih kasih lagi. Kemudian Allah memerintahkan orang-orang yg dikasihi itu (beriman) berpuasa (Soum) sebagaimana umat yang terdahulu berpuasa.. “mudah-mudahan beroleh taqwa”. Maka sasaran puasa orang-orang yang beriman adalah menjadi hambaNya yang bertaqwa. Banyaklah hadis-hadis dan pengajaran dari para alim ulama’ menceritakan ciri-ciri dan cara-cara untuk mencapai darjat taqwa di bulan yang mulia ini.

Antara pengertian dan kehendak taqwa pada kita ialah menjaga hati dan perasaan, menjaga lidah dan percakapan, berkasih sayang sesama sahabat, saling maaf memaafkan, saling ingat mengingatkan dan tajarrud dengan fikrah dan dakwah. Sebagi seorang pendokong dakwah dan seorang murabbi kepada mad’u, Ramadan adalah peluang yang paling baik untuk kita mengkoreksi diri dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah swt. Inilah masanya untuk kita merebut dan berlumba untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa, sehingga roh meningkat ke darjat nafsul mutmainnah. Sehingga setiap gerak hati, percakapan dan penulisan dilingkari dengan getaran taqwa yang mengalir dari dasar keimanan yang tinggi dan membuang jauh sifat-sfat mazmumah yg telah bertunas dalam hati. Di atas matlamat mencari bekalan taqwa juga saya ingin berpesan agar setiap dari kita memperbanyakkan perbincangan meningkatkan iman dan amal, perbincangan yang membasahi roh dan menyemai ukhuwwah yang menguatkan ikatan hati sesama kita.

Akhirnya, semoga kita sama-sama melaksanakan wajibat Ramadan yang diturunkan kepada kita dan mengambil peluang daripada program-program yang disusun untuk mencapai darjat taqwa yang kita kehendaki.

Salam Ramadan Kareem.

Oleh: Mohd Noor Azib Asmangi,
Yang Dipertua,
ISMA Hulu Langat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>