Puasa latih ketaatan kepada Allah sepanjang masa

BANGI – Intipati kepada ibadah puasa yang disyariatkan di bulan Ramadhan adalah untuk melatih umat Islam taat dan bertaqwa kepada Allah SWT pada setiap masa dan ketika, tegas Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Menurut beliau, kebanyakan manusia melakukan perkara yang baik di depan manusia namun sikapnya akan berbeza apabila bersendirian.

“Justeru itu, tarbiyyah puasa menuntut umat Islam berada pada satu tahap ketaqwaan yang sama, samada ketika berdepan dengan manusia ataupun di belakang manusia.

“Puasa melatih kita sentiasa merasai kehadiran dan perhatian Allah SWT. Ini adalah sifat ketaqwaan yang paling tinggi, paling mulia dan paling terpuji di sisiNya,” jelasnya.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian dalam perutusan khas sempena Ramadhan yang telah disiarkan melalui TV ISMA.

Beliau juga menyeru umat Islam supaya mengambil peluang sempena bulan Ramadhan ini untuk merapatkan saf di kalangan mereka, memperbaiki kekurangan dan menghilangkan segala jurang perbezaan.

“Muslim dengan muslim, mu’min dengan mu’min disebutkan oleh Allah SWT sebagai bersaudara dan di sana ada tanggungjawab yang wajib dilaksanakan berdasarkan hak ukhuwwah sesama Islam.

“Betapa intimnya ukhuwwah yang digambarkan oleh Rasulullah SAW kerana antara orang Islam itu seperti satu badan, apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh badan akan merasai demam dan akan berjaga,” tambahnya lagi.

Ustaz Abdullah Zaik turut mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menyambut kehadiran bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam dan menyeru supaya memanfaatkan bulan ini untuk meraih sebanyak mungkin ganjaran pahala yang ditawarkan.

One thought on “Puasa latih ketaatan kepada Allah sepanjang masa

  1. Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>