Demokrasi liberal: Strategi penjajahan baru Barat di dunia Islam (Siri 5)

Jalan Penyelesaian: Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Kesamaratan mutlak seperti yang diamalkan di Barat sebenarnya mampu mengancam kedudukan dan keselamatan orang Islam di negara ini serta memungkinkan berlakunya perubahan kepada semangat dan ruh perlembagaan negara. Ia boleh mengancam kestabilan politik dan keselamatan negara dan adalah jelas bahawa kaedah Barat ini tidak sesuai untuk Malaysia. Dalam konteks percaturan politik hari ini, hanya dengan kekuatan bangsa Melayu dan kesatuan mereka sahaja yang akan membolehkan agenda mendaulatkan Islam sepenuhnya boleh berlaku.

Sesetengah pihak yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa di dalam percaturan politik akan menafikan peranan bangsa Melayu di dalam menegakkan Islam, walhal sekiranya mereka melihat realiti Malaysia serta memahami bagaimana percaturan politik dan bagaimana percaturan di antara kuasa-kuasa yang ada berlaku, Islam pada hakikatnya hanya akan dapat didaulatkan jika kita meletakkan Melayu sebagai alat (bukan sebagai objektif) ke arah mencapai tujuan mendaulatkan Islam. Fokus kepada bangsa Melayu juga sebenarnya bukanlah soal mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu, tetapi soal realiti dalam konteks kita di Malaysia di mana agenda umat Islam dan agenda umat Melayu adalah secara realitinya satu  dan hampir keseluruhannya adalah sama dan berdasarkan fakta realiti, hanya bangsa Melayu sebagai umat Islam majoriti di negara ini boleh memainkan peranan penentu di dalam menentukan hala tuju politik negara. Berpandukan premis tersebut, Melayu khususnya dan umat Islam umumnya wajib memastikan kepentingan mereka tidak terancam disebabkan kerakusan pertembungan politik yang berlaku di tanah air. Islam, Melayu dan Raja (IMR) adalah tiga komponen teras yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia serta merupakan isu paksi sewaktu kontrak sosial dalam konteks hubungan di antara kaum di Malaysia digubal.

Oleh yang demikian, Islam dengan kedudukannya, Melayu dengan hak-haknya dan institusi Raja dengan peranannya haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua kaum yang ingin tinggal di negara ini. Apabila akhir-akhir ini, terdapat usaha dari dalam dan luar yang dilihat ingin mencabar dan menggugat tiga perkara ini, mereka sebenarnya telah menyentuh jantung hati umat Islam di negara ini, khususnya di kalangan orang Melayu. Ini kerana IMR adalah noktah perkongsian yang merangkumi kepentingan orang Melayu dan umat Islam seluruhnya dan dengan menjadikan tiga perkara ini sebagai asas atau landasan perjuangan ia boleh menjadi unsur penyatuan kepada seluruh umat di negara ini.

Langkah ke Hadapan – Membangun Umat Beragenda

Sesungguhnya, tiada pilihan kepada umat Melayu Islam di dalam negara ini melainkan berusaha untuk mendaulatkan kuasa Islam berasaskan mandat syarak. Ini boleh dilakukan dengan memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang mempunyai agenda dan memimpin serta membangunkan keperibadian dan kesepakatan berasaskan Islam yang melayakkan mereka menjadi sandaran kekuatan (syaukah) kepada umat di negara ini. Slogan ‘Membangun Umat Beragenda’ adalah bertujuan untuk mengajak semua orang Melayu Islam mempunyai risalah di dalam kehidupan mereka dan mendokong agenda yang akan memperkukuhkan Islam di negara ini. Ini hanya boleh berlaku sekiranya orang Melayu kembali kepada keperibadian Islam, kepada persepakatan yang menjamin keutuhan kedudukan Islam dan Melayu di tanahair ini, bangkit dan berusaha menjadi umat yang kuat dan mempunyai risalah dan menolak sebarang bentuk agenda yang menghancurkan keperibadian dan jatidiri mereka.

Orang Melayu wajar segera menamatkan keadaan dipercaturkan (musaiyasah) oleh agenda orang lain, mengelakkan krisis Wala’ & Bara’ (konsep setiakawan berasaskan pertalian akidah) dalam melaksanakan Tahaluf Siasi (pakatan politik); mempraktikkan demokrasi timur terpimpin (berasaskan kepada nilai tempatan) dan berhati-hati dengan dakyah yang menjurus kepada menidakkan kedudukan Melayu dalam struktur kenegaraan Malaysia. Sebagai penduduk asal dan majoriti zaman berzaman, orang Melayu mesti bijak memastikan kuasa wewenang orang Islam sentiasa dominan di dalam percaturan kuasa, mempunyai kekuatan untuk mempertahankan identiti kebangsaan Malaysia yang berteraskan kepada Islam, bahasa  dan budaya Melayu serta bertegas mempertahankan teras Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam, Melayu, Raja.

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT, MEMBANGUN UMAT BERAGENDA

Oleh: Dr Ahmad Kamsani Samingan
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 

One thought on “Demokrasi liberal: Strategi penjajahan baru Barat di dunia Islam (Siri 5)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *