Demokrasi liberal: Strategi penjajahan baru Barat di dunia Islam (Siri 4)

Sokongan untuk ‘Muslim Moderat’ bagi menjuarai Demokrasi Barat di Dunia Islam

Di atas premis bahawa golongan Modernis adalah rakan terbaik untuk Amerika Syarikat mempromosi demokrasi ala Barat ke dunia Islam, Benard mencadangkan agar Amerika Syarikat memberikan sokongan yang kuat kepada golongan Islam di dalam kategori Modenis (turut juga dikenali kini sebagai ‘Muslim Moderat’ oleh Rabasa) dengan memberi peluang kepada mereka untuk muncul di akhbar-akhbar, ruang untuk berpolitik, memberikan pendapat, ruang-ruang melalui NGO dan penonjolan kepada mereka di peringkat lokal mahupun antarabangsa. Pemimpin dan tokoh-tokoh golongan Modernis Islam ini juga akan diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh pelbagai badan-badan Amerika Syarikat. Menurut Benard, mereka akan diberikan peluang untuk bergerak di dalam politik demokrasi dan diberikan sokongan, walaupun adanya kemungkinan mereka akan turut mendapat tekanan dari golongan Sekular terhadap mereka.

Menurut Benard lagi, golongan Tradisionalis pula biasanya agak kurang membahaskan masalah dan isu-isu politik serta tidak mempunyai pandangan yang khusus tentang demokrasi dan konsep politik lain. Oleh yang demikian, Benard mencadangkan agar golongan ini digunakan untuk menyerang pandangan golongan fundamentalis yang menolak nilai barat secara keseluruhan dengan cara memberikan ruang kepada ulamak-ulamak seperti ini mengalihkan pandangan umat, dan menimbulkan keraguan umat terhadap golongan fundamentalis. Ini kerana menurut Benard, golongan Tradisionalis biasanya mempunyai pengaruh yang kuat di dalam umat disebabkan kerana mereka menguasai madrasah-madrasah dan institusi pendidikan tradisional Islam. Pada masa sama, menurut Benard, bagi ulamak tradisionalis yang boleh menerima nilai barat walau secara terpilih, mereka ini wajar diberi ruang untuk ke depan supaya dengan cara ini, nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, pengagihan kuasa, perundangan dan ekonomi boleh disemai di dalam pemikiran umat Islam. Menurut laporan yang disediakan oleh RAND Corporation tersebut,

“To encourage positive change in the Islamic world toward greater democracy, modernity, and compatibility with the contemporary international world order, the United States and the West need to consider very carefully which elements, trends, and forces within Islam they intend to strengthen; what the goals and values of their various potential allies and protégés really are; and what the broader consequences of advancing their respective agendas are likely to be.”

Bagi memastikan negera-negara di dunia Islam akhirnya akan menyokong dan mendokong sistem demokrasi ala Barat yang disepakati antarabangsa seperti diperjuang Barat, Amerika Syarikat mengambil pendekatan bercampur-campur kepada 4 golongan tersebut seperti berikut:

  • Menyokong golongan Modenis / Moderat Muslim dengan cara membantu meningkatkan wawasan dan visi mereka mengenai Islam dengan cara menyediakan platform yang luas bagi mereka suarakan dan sebarkan pandangan mereka mengenai konsep demokrasi barat agar pihak awam akan dapat melihat imej mereka sebagai wajah yang mewakili Islam kontemporari
  • Meneruskan sokongan kepada golongan Sekularis tetapi hanya diberikan kepada mereka berdasarkan kes demi kes sahaja
  • Menggalakkan wujudnya institusi dan program-program sivik dan kebudayaan yang bersifat sekular
  • Membantu golongan Tradisionalis cukup setakat untuk memastikan mereka mampu untuk menentang golongan Fundamentalis dan mencegah kedua golongan tersebut dari membentuk satu pakatan yang lebih erat di antara kedua-dua golongan tersebut. Di kalangan golongan Tradisionalis sedia ada, pihak Barat hanya akan lebih cenderung membantu mereka yang lebih dekat dengan nilai masyarakat madani / sivil moden.
  • Akhir sekali, menentang golongan Fundamentalis dengan penuh semangat dengan cara menyerang kelemahan di dalam ideologi Islam yang difahami dan dan dianuti oleh golongan ini seperti mendedahkan rasuah, kezaliman, kejahilan, berat sebelah dan kesilapan-kesilapan nyata di dalam aplikasi ajaran Islam oleh golongan ini serta ketidakmampuan golongan Fundamentalis untuk memimpin dan memerintah.

Kesimpulan yang dapat dipelajari di sini ialah peranan individu dan organisasi ‘Muslim Moderat’ yang disokong dengan kuat oleh Amerika Syarikat (melalui badan-badan yang mereka telah tubuhkan dan dinyatakan sebelum ini) adalah sebenarnya untuk memberi tentangan yang setimpal terhadap aliran Fundamentalis, selain ekstrimis, melalui aktiviti-aktiviti akademik dan politik bagi menafsirkan semula Islam (ie Islam Liberal) secara langsung dan tidak langsung agar selari dengan Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia UDHR 1948 dan norma antarabangsa masa kini.

Implikasi Demokrasi Liberal Barat kepada umat Melayu Islam di Malaysia

Secara umumnya, kita boleh mengambil faedah daripada pengalaman Barat tentang demokrasi, kebebasan dan hak rakyat tetapi ianya mestilah ditegakkan atas asas nilai kita sendiri iaitu Islam. Sebagai seorang Muslim dan hambaNya, kita perlulah mempunyai sistem kehidupan yang berlandaskan kepada ketentuan Allah SWT dan tidak meletakkan apa jua lebih tinggi dari Islam itu sendiri dan menilai sesuatu perkara berlandaskan ketentuan syarak, dan bukannya menilai buruk baik sesuatu perkara mengikut akal fikiran dan logik manusia semata-mata kerana ianya jelas menolak asas aqidah dan ajaran Islam sebagai teras kepada falsafah dan sistem negara kita.

Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 sebenarnya telahpun memutuskan bahawa pemikiran Islam Liberal adalah ajaran sesat yang menyeleweng daripada syariat Islam. Majlis Ulama Indonesia (MUI), dalam Musyawarah Nasional MUI VII pada 19-22 Jamadil Akhir 1246 Hijrah bersamaan 26-29 Julai 2005 juga sebelumnya telah membuat penghukuman fatwa yang sama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Memang diakui bahawa pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal dan ia sekali-kali tidak boleh disentuh atau diusik walau diperlaku bagaimana sekalipun, namun bukankah dari pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Oleh kerana itulah maka Islam sedari awal telah menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng kerana ia sudah tentu melahirkan perbuatan yang sama jua.

Di dalam konteks Tanah Melayu atau Malaysia sekarang, negara kita adalah negara yang majoritinya adalah umat Islam berteraskan bangsa Melayu sebagai bangsa teras. Oleh itu, umat Melayu Islamlah yang paling berhak memiliki al-siyadah atau ketuanan ke atas tanah air ini. Merekalah juga  yang berhak untuk menentukan rupa bentuk dan hala tuju masa depan negara sepertimana yang dituntut oleh Islam terhadap mereka. Di atas premis tersebut, mana-mana pihak, termasuk ‘Muslim Moderat’ yang mahu menyerahkan hak atau berkongsi milik hak menentu dan mewarnai rupa bentuk negara dengan orang lain yang tidak seagama di atas nama Hak Asasi Manusia Antarabangsa sepertimana termaktub pada UDHR 1948) serta memberikan kepada mereka hak kesamarataan sepertimana yang diperjuangkan oleh Demokrasi Liberal ala Barat sebenarnya telah melakukan satu pengkhianatan yang besar terhadap agama, bangsa dan kemerdekaan negara.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa samada disedari atau tidak, sebagai umat Islam, bangsa Melayu juga tidak terkecuali turut menerima impak serangan pemikiran peninggalan Barat yang berterusan sehingga ke hari ini, sama ada dari sudut keruntuhan keperibadian individu, keluarga, masyarakat, pendidikan, undang-undang, ekonomi, politik dan sebagainya. Orang-orang Melayu juga  terpaksa mengikuti sistem pendidikan kebangsaan (sekolah kebangsaan) yang direkabentuk bagi meraikan kaum-kaum lain sehingga mengakibatkan orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan menurut acuan Melayu dan Islam seratus peratus, kecuali melalui sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan bagi mengisi lompong besar yang ada, sedangkan kaum-kaum lain dibenarkan mengikuti sistem sekolah vernakular. Keadaan sistem pendidikan ini juga menyebabkan identiti Melayu Islam terhakis setiap hari sehingga orang-orang Melayu turut terperangkap di dalam politik kepartian keterlaluan antara dua parti terbesar bangsa Melayu.

Perebutan kuasa politik di dalam negara pula menyebabkan keadaan bertambah parah di mana sesetengah dari ‘pejuang-pejuang’ Islam hilang pertimbangan sehingga terpaksa berkompromi ideologi perjuangan mereka (perjuangan Islam versus perjuangan demokrasi ala barat) hingga membolehkan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh orang lain untuk membuat pelbagai bentuk desakan yang secara langsung atau tidak langsung sebenarnya menghina orang Melayu Islam sebagai umat teras negara ini seperti mana yang telah termaktub di dalam perlembagaan negara.

Sesetengah pihak berkepentingan di dalam negara mengambil peluang keadaan orang-orang Melayu yang lemah dengan memulakan arus yang menyuarakan kesamarataan, mempersoalkan keistimewaan kedudukan orang-orang Melayu, Insititusi Raja-Raja Melayu dan Islam itu sendiri contohnya dengan cara menuntut hak kesamarataan di dalam pelbagai isu seperti isu-isu agama (ie pluralisma agama) oleh Interfaith Council Commission (IFC) sebelum ini, isu berkaitan kalimah Allah, isu Bible dalam bahasa Melayu, isu Kristianisasi dan Murtad, isu penggunaan bangsa dan agama di dalam MyKAD serta bermacam-macam lagi kes-kes kesamarataan yang didasarkan kepada ideologi Demokrasi ala Barat seperti LGBT, Feminisma, penghapusan falsafah ketuanan Melayu atau hak-hak orang Melayu (Nota: Ini kerana ketuanan Melayu pada mereka adalah penghalang cita-cita mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan kesamarataan mutlak dan dengan meruntuhkan tradisi tersebut akan memudahkan laluan mereka untuk mengambil pos penting dalam kepimpinan negara dan mewarnainya dengan warna yang lain) dan pelbagai bentuk desakan yang tidak terkira jumlahnya kini (dengan dokongan sesetengah orang Melayu Islam itu sendiri yang melihat realiti negara dari perspektif politik yang sempit).

Arus demokrasi liberal ini juga sebenarnya sangat selari dengan apa yang pernah diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu secara konsisten sejak 1960’an (dan sehingga sekarang masih tidak pernah menarik balik kenyataan tersebut) iaitu untuk mewujudkan sebuah negara demokratik sekular pelbagai bangsa (sama rata) yang berasaskan kepada ideologi kesamarataan mutlak menurut demokrasi Barat. Pengisytiharan tersebut yang dinamakan Pengisytiharan Setapak 1967 dengan jelas menyebut bahawa mereka

“berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen.”

Kini telah wujud pula diaspora yang mahu mengambil kesempatan dari perubahan arus liberalisasi yang berlaku di dunia dengan mendesak kerajaan agar melakukan liberalisasi ekonomi demi mengukuhkan lagi cengkaman kuasa ekonomi mereka di rantau ini, khusus di tanah air. Tidak cukup dengan apa yang telah ada, mereka kini kelihatan ‘bersatu’ membuat kenyataan-kenyataan yang mencabar kedudukan istimewa orang-orang Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini semuanya lahir dari penerimaan mereka terhadap falsafah Demokrasi Liberal Barat yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia tanpa batasan yang mana secara tidak langsung memberikan hak kepada mereka untuk merubah status quo kenegaraan Malaysia dengan menyerang secara khusus kedudukan Melayu dan Islam. Kita perlu sedar bahawa setelah mereka memiliki kuasa ekonomi negara sejak sekian lama, kuasa politik pula kini jelas mula menjadi impian mereka. Serangan kepada status quo kenegaraan yang menjurus kepada penghakisan identiti bangsa dan hak keistimewaan Melayu dan Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya sangat selari dengan aliran pemikiran Demokrasi Liberal Barat (yang juga merupakan senjata halus propaganda barat untuk menjauhkan manusia daripada menjadi hamba yang sebenar kepada Allah SWT).

Yang pasti, keadaan ini adalah berpunca dari ketiadaan agenda bersama di antara orang-orang Melayu Islam di negara ini sehingga menyebabkan arus minoriti ini menjadi semakin kuat dan semakin sukar untuk dinafikan. Pada masa yang sama, kita boleh simpulkan juga bahawa situasi gawat yang dihadapi oleh negara-negara umat Islam di seluruh dunia sekarang ini termasuk di Malaysia pada hakikatnya adalah sebahagian dari kesan dari pertempuran dan pertembungan pemikiran di antara Barat dan Islam. Ia bukan sekadar isu dalaman negara umat Islam yang menyaksikan pertembungan di antara pihak-pihak yang bertelagah di atas dorongan kepentingan politik dan puak semata-mata, sebaliknya adalah natijah langsung kepada pertembungan di antara hak dan batil. Demokrasi Liberal sebenarnya merupakan senjata Yahudi/Barat untuk menjaminkan bahawa mereka akan terus mendapat penguasaan kuasa politik di seluruh dunia termasuk di dunia Islam, di mana, di dalam sistem Liberal Demokratik ini, mereka akan mempromosikan falsafah sekular barat dengan cara mempromosi agar semua pihak diberi kebebasan hak yang samarata, namun pada masa yang sama, mereka sebenarnya mengajak pihak-pihak tersebut (khususnya orang Islam) menolak peranan Tuhan dan Agama di dalam menentukan sistem kehidupan mereka sendiri.

Oleh: Dr Ahmad Kamsani Samingan
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>