Keluasan keampunan Allah

Manusia memang hakikatnya tidak pernah lekang dari melakukan dari sebarang dosa dan kesilapan. Pernahkah satu ketika dalam hidup kita, sebelum kita pejamkan mata beristirehat di malam hari, kita imbas kembali segala amal seharian kita, adakah amal kebaikan yang kita lakukan lebih banyak dari dosa-dosa yang kita lakukan atau sebaliknya. Kemudian soal kembali diri kita, Adakah syurga akan kita dakapi andai malam itu malam terakhir kita pejamkan mata buat selama-lamanya. Sungguh! Kita sahaja tahu jawapannya.

Allah tidak pernah sesekali menzalimi hamba-Nya. Sesiapa sahaja yang melakukan dosa, maka pohonlah keampunan dan rahmat daripada-Nya. Rahmat dan keampunan Allah sangat luas untuk hamba-hamba-Nya dengan syarat insan tersebut benar-benar menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak melakukannya lagi. Sungguh, Allah akan mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya.

Digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW , keampunan Allah setinggi langit dan seluas bumi. Tidak ada ruang sedikit pun untuk Allah menolak taubat hamba-hamba-Nya selagi nyawa belum sampai ke halkumnya.

“Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai anak Adam ! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu. Wahai anak Adam ! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemui-Ku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Dikisahkan juga dalam sirah Nabawiyyah bahawa Rasulullah SAW sendiri beristighfar 100 kali sehari memohon keampunan Allah. Maka, selayaknya kita harus malu pada Rasulullah andai peluang keampunan Allah yang luas dan mudah ini kita tidak pohon sebaiknya sedangkan Rasulullah sendiri melazimi istighfar dan taubat kepada Allah.

“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan)” (Al-Hijr 49-50)

Moga kita tidak menjadi golongan yang akan menyesal  dan meminta-minta kepada Allah agar  dikembalikan ke dunia untuk bertaubat kepada-Nya. Jangan dah terhantuk, baru tengadah. Jalan yang Allah hamparkan sangat luas untuk hamba-Nya.

“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” ( Nuh : 10)

Disediakan oleh :
Ammar Bin Roslan
Tahun 2 Ekonomi dan Perbankan Islam
Universiti Yarmouk

Sumber: Laman Web ISMA Jordan

5 thoughts on “Keluasan keampunan Allah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>