ISMA minta PAS kaji semula tahaluf siyasi bersama DAP

KOTA BHARU – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengkaji semula tahaluf siyasi mereka bersama parti DAP.

Naib Presiden 2 ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tahaluf siyasi adalah satu perkara yang memerlukan disiplin syarak yang cukup ketat.

“Saya tidak mengatakan tahaluf itu haram secara mutlak, tetapi hukum tahaluf itu sangat ketat dan perlu dijaga dari semasa ke semasa.

“Jadi saya menyarankan PAS membincangkan kembali tentang tahaluf ini dan membuka perbincangan tentang strateginya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 1000 hadirin di dalam program Bual Bicara Bersama Facebookers anjuran Pejabat Kerajaan Negeri Kelantan di Balai Islam Kota Bharu baru-baru ini.

Menurut Ustaz Fauzi, merujuk kepada kertas kerja tahaluf siyasi yang disediakan oleh Majlis Syura Ulamak PAS, dilihat terdapat beberapa kelonggaran dari sudut kaedah pendalilan syarak.

“Di situ dinyatakan bahawa empat ayat berkenaan larangan untuk memberi wala’ kepada orang kafir itu terbatal walhal dakwaan tersebut adalah salah,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, kertas kerja tersebut telah meninggalkan satu hadith riwayat Muslim yang berbunyi “Kami tidak akan meminta tolong Musyrik untuk mengalahkan Musyrik” sedangkan hadith ini adalah sahih dan cukup penting dalam perbincangan tahaluf siyasi.

Manakala hadith yang digunakan bagi membenarkan tahaluf siyasi tentang Nabi S.A.W. meminta tolong daripada Bani Qainuqa’ diriwayatkan oleh Hasan bin Umarah sedangkan Hasan bin Umarah ini disebut oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani sebagai seorang yg dhaif, tambah Ustaz Fauzi.

 

21 thoughts on “ISMA minta PAS kaji semula tahaluf siyasi bersama DAP

  1. Pingback: ISMA is non-partisan and Islamic | ISMAWeb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>