Islam & Melayu sebagai identiti bangsa & negara

Melayu dan Islam; dua nama yang sudah sebati kesan garis sejarah yang panjang. Di mana ada Melayu, maka di situ juga ada Islam. Di mana ada kegemilangan Islam di rantau ini, maka akan dilihat juga di sana kaum Melayulah yang menjadi tonggaknya.

Melayu; alamnya luas, seluas lautan yang tidak bertepi.

Bangsa Melayu yang juga dikenali sebagai kaum nusantara wujud di Tanah Melayu, kepulauan Indonesia, Brunei, Pattani, Filipina, sebahagian Afrika dan di sebahagian pulau di Australia. Ia terdiri daripada pelbagai suku etnik seperti  Jawa, Bugis, Banjar, Kampar, Acheh, Mendeleng dan lain-lain.

Ia adalah satu kumpulan manusia yang bertamadun, mahir di dalam pelayaran, menguasai ilmu falak, kaya dan hidup dengan tertib.

MELAYU; ANIMISME DAN PENGARUH HINDU-BUDDHA

Hubungan rapat kaum Melayu dengan alam sekitar yang dipenuhi flora dan fauna, menjadikan Melayu kuno berpegang kepada fahaman animisme dan dinamisme.

Walaupun tanah Melayu sering dikaitkan dengan perdagangan antarabangsa serta kedatangan fahaman Hindu Buddha, falsafah hidup kaum Melayu tidak pernah berjaya diubah oleh pengaruh Hindu dan Buddha. Malah ahli arkeologi berpendapat penemuan candi bersaiz kecil di Lembah Bujang hanya mampu dijadikan bukti kewujudan tempat beribadat para pedagang. Tiada bukti yang menunjukkan orang Melayu yang merupakan penduduk tempatan dipengaruhi dengan kuat oleh agama Hindu dan Buddha. Apa yang diambil oleh kaum Melayu hanyalah satu lapisan nipis dari ajaran Hindu-Buddha tersebut lalu dipamerkan di dalam hasil seni kaum Melayu.

Satu-satunya agama yang berjaya mengeluarkan kaum Melayu dari fahaman animisme dan dinamisme ini adalah Islam. Kaum Melayu tidak menghargai Hindu-Buddha sebagaimana yang dilakukannya terhadap Islam. Kaum Melayu telah menyambut Islam lalu merubah rupa paras mereka sehingga menjadi bangsa Islam.

KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU

Islam datang ke rantau Melayu seawal zaman permulaan Islam lagi. Teori bahawa kedatangan Islam hanya bermula di zaman Melaka adalah teori yang tidak tepat sama sekali.

Menurut rekod sejarah China, pada abad pertama Islam, orang-orang Islam dari Tanah Arab telah pun membuat perkampungan di bahagian Barat Sumatera Utara. Diperkukuh lagi dengan bukti utusan yang dihantar oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, Khalifah pertama kerajaan Bani Umayyah kepada Lokitarvanam, Raja Srivijaya. Pengislaman Raja Srindravarman, Raja Srivijaya seterusnya pula berlaku pada tahun 718 masihi di Jambi.

Pada tahun 879 masihi di zaman Dinasti Tang, berlaku pemberontakan yang menyebabkan penghijrahan ramai orang Islam yang asalnya datang dari tanah Arab . Mereka telah keluar dari Canton  berhijrah ke Champa, Kedah, Petani, Palembang, Jawa dan beberapa lokasi lain di nusantara.

Malah penemuan batu nisan Syeikh Abdul Qadir Syah Alirah di Tanjung Nengih, Langgar, Kedah bertarikh 290 atau 291 hijrah bersamaan 904 masihi menguatkan lagi fakta bahawa Islam sudah bertapak di alam Melayu berkurun-kurun lebih awal dari zaman Melaka.

Teori bahawa Islam hanya datang seawal tarikh batu bersurat Terengganu iaitu pada tahun 1303 sering diulang-ulang oleh sejarawan Barat. Mereka juga suka memasyhurkan teori Islamnya Melayu adalah di tangan pedagang India dan China. Kesemua teori ini tidak lain hanyalah untuk menggambarkan bahawa Melayu adalah orang Islam kelas kedua kerana lambat menerima Islam dan tidak menerimanya dari bangsa Arab yang merupakan bangsa pertama Islam. Hakikatnya adalah Islam sampai kepada kaum Melayu dari awal zaman Islam dan dibawa oleh pendakwah Islam awal dari kalangan bangsa Arab.

BAHASA MELAYU DAN TULISAN JAWI; PELENGKAP IDENTITI BANGSA MELAYU

Pengaruh Islam dari bangsa Arab begitu kuat dapat dilihat di dalam masyarakat Melayu. Penambahan ribuan perkataan Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu telah menjadikan bahasa Melayu sebagai  bahasa Islam. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama kaum Melayu menggantikan bahasa Sanskrit dan Jawa.

Tulisan Melayu silam seperti Pallawa, Kavya, Lampung, Pasemah, Rencong dan lain-lain telah digantikan dengan tulisan Jawi yang diambil dari huruf-huruf Arab. Dicipta huruf cha, nga, pa, ga dan nya untuk menyempurnakan penciptaan tulisan baru ini.

Bahasa Melayu dan tulisan Jawi telah menjadi satu ciri Islam yang sebati bagi kaum Melayu.

MELAYU SEBAGAI ULAMAK ISLAM

Perkembangan bahasa Melayu dan tulisan jawi memangkinkan kelahiran ulama dan karyawan Islam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkeli, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa al-Fatani , Tuan Tabal, Tok Kenali, Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Khutan, Haji Yaakob Haji Abdul Halim, Haji Abdul Samad Abdullah, Haji Muhammad Yusof bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali, Syeikh Idris al-Marbawi, Haji Muhammad Salleh, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdul Malik Abdullah atau lebih dikenali dengan Datuk Pulau Manis, Syed Muhammad Zainal Abidin al-Idrusi atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar dan Syeikh Daud Pattani.

Manuskrip penulisan ulama-ulama Nusantara tidak semuanya sampai kepada generasi hari ini.

Perbalahan di antara golongan wujudiah di Acheh telah menyebabkan banyak karya dibakar di zaman Sultan Iskandar al-Thani. Pada tahun 1824 pula, 300 manuskrip Melayu yang dilarikan oleh Stamford Raffles terbakar sewaktu dalam perjalanan ke England. Pada tahun 1922 pula hampir satu per tiga dari manuskrip Melayu yang dilarikan oleh Wilkinson telah terbakar akibat serangan tentera Turki ke atas bandar Smyrna.

Daripada semua yang masih tinggal itu, hampir separuh daripadanya adalah kitab-kitab agama.

MELAYU SEBAGAI PENDAKWAH ISLAM

Kaum Melayu bukan sahaja menerima Islam dari sudut ilmunya sahaja, malah bersungguh-sungguh menyebar dan mengukuhkan kuasa Islam di seluruh nusantara sehingga ke Sulu dan Mindanao.

Penemuan batu nisan lama yang begitu banyak di merata tempat membuktikan penyebaran dan pengukuhan Islam oleh kaum Melayu di Nusantara. Contoh penting termasuk batu nisan yang ditemui di Champa sekitar awal abad ke 11 masihi, batu nisan di Gresik, Jawa bertarikh akhir abad ke 11 masihi. Ini diikuti rekod penempatan orang Islam di Majapahit dan kumpulan pedagang Islam di utara Tanah Melayu, serta pengislaman raja Pasai pada tahun 1282.

Setiap tempat yang sampai dakwah Islam, akan tertubuhlah bersamanya kerajaan-kerajaan Islam.

Melaka di bawah Sultan Mansur Syah telah menghantar muballigh-muballigh Islam ke sepanjang Sungai Kampar. Minangkabau menjadi kerajaan Islam secara beransur-ansur hasil dari pengaruh kerajaan Islam Melaka dan kerajaan Islam Acheh.  Jawa pula telah diIslamkan oleh Melaka melalui hubungan dagang dengan pelabuhan utara Jawa terutamanya di Tuban dan Gerisek. Kukuhnya kerajaan Islam Jawa telah menyebabkan jatuhnya kerajaan Hindu Majapahit.  Kerajaan Islam Demak seterusnya membuka laluan dakwah di beberapa daerah jajahan Majapahit seperti di Banjarmasin.

KERAJAAN ISLAM MELAYU

Sejarah mencatatkan penubuhan kerajaan-kerajaan Islam Melayu yang banyak di rantau ini. Kesultanan Islam Melayu Melaka, Kesultanan  Islam Sulu, Kesultanan Islam Melayu Brunei, Kesultanan Islam Melayu Makasar, Kesultanan Islam Melayu Acheh, Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Kesultanan Islam Demak, Kesultanan Islam Mataram; antara nama-nama kerajaan yang boleh disebutkan di sini.

Kesultanan-kesultanan ini menghubungkan diri mereka dengan Khilafah Islam di Baghdad dan Istanbul.

Melaka telah pun diasaskan seawal tahun 1262 masihi menurut Sulalatussalatin versi Raja Bongsu. Ini sezaman dengan zaman Khilafah Islamiah Abbasiah di Baghdad dan kebangkitan Kesultanan Mamluki. Gelaran Sultan yang digunakan oleh Sultan Melaka menggantikan ‘Raja’ menggambarkan hubungan akrab kerajaan Islam Melayu dengan Khilafah Islam di Baghdad.

Persamaan nama Raja Acheh iaitu Al-Malikus Soleh dan Sultan Muzaffar dengan nama Sultan-sultan Kesultanan Mamluki yang hidup sezaman dengannya sudah tentu bukanlah satu kebetulan sahaja. Malah ada teori yang mengatakan Raja Acheh yang dikenali sebagai Al-Malikus Soleh itu sebenarnya daripada keturunan Kesultanan Mamluki itu sendiri.

Di antaranya yang boleh dilihat lagi adalah persamaan warna merah putih yang ada pada bendera Turki Othmaniah dengan bendera kaum Melayu iaitu warna merah putih sang saka.

Seterusnya ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan songkok hitam di Alam Melayu bermula apabila Sultan Turki Othmaniah menghadiahkan songkok kepada Sultan Acheh.

Kejatuhan Melaka adalah hasil siri balas dendam selepas kejatuhan kota Costantinople oleh Kesultanan Othmaniah. Bahkan Barat sering mengaitkan kejatuhan Melaka sebagai laluan untuk menjatuhkan Kaherah dan Mekah.

JIHAD MELAYU DALAM MEMPERTAHANKAN ISLAM

Kedaulatan Islam sentiasa dipertahankan oleh kaum Melayu. Perang di antara kerajaan Islam Melaka dan kerajaan Buddha Siam sering berlaku. Ia digambarkan oleh orang Portugis sebagai satu siri perang yang berlaku demi mendapat penghormatan dan pengiktirafan. Sering kali kerajaan Islam Melaka memenangi peperangan itu.

Kita sering diberi gambaran yang salah bahawa Islam di Tanah Melayu berakhir dengan kejatuhan Melaka. Ini tidak benar, kerana kejatuhan Melaka itu hanyalah kejatuhan satu pelabuhan Islam Melayu dan bukan keseluruhan kesultanannya.

Wilayah Kesultanan Islam Melayu Melaka yang luasnya dari Patani ke Riau-Lingga dan pantai timur Sumatera tidak berjaya diganggu oleh Portugis kerana orang-orang Islam Melayu telah mempertahankannya. Bahkan ketika pelabuhan Melaka berada di bawah Portugis, Sultan Mahmud dan orang-orang Melayu dari Johor telah melancarkan jihad untuk membebaskannya dari jajahan Portugis.

Tidak cukup setakat itu, kerajaan Islam Acheh menyerangnya beberapa kali untuk membebaskannya. Kali pertama pada tahun 1547. Kemudian 1574 dan seterusnya 1575. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menyerangnya pada tahun 1627 dan 1629 dilengkapi 236 buah kapal perang sebagai satu jihad untuk membebaskan saudara seIslam dari kuasa penakluk.

Sewaktu Tanah Melayu berada di bawah kuasa British, sejarah mencatatkan satu siri perjuangan jihad Melayu yang panjang. Sultan Ahmad Tajudin, Sultan Kedah pernah melancarkan jihad ke atas Francis Light atas mungkir janji yang dilakukannya. Begitu juga di Perak, pembesar-pembesar Melayu Islam berpakat untuk membunuh JWW Birch lalu berjaya di dalam misi tersebut.

Perang Naning menyaksikan satu jihad yang sengit oleh Dol Said menentang British. Begitulah juga halnya dengan perjuangan Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Gajah.

Tok Janggut menentang British di Kelantan. Beliau telah menyeru rakyat Kelantan supaya menyatakan sokongan terhadap Khilafah Islam Othmaniah dalam Perang Dunia Pertama. Ini menyebabkan kemarahan British lalu membawa kepada satu siri jihad Melayu menentang British di Kelantan. Sakitnya keperitan yang ditanggung British hasil jihad Tok Janggut telah membawa kepada perlakuan biadab yang dilakukan oleh mereka terhadap jenazah Tok Janggut. Jenazahnya telah digantung berhari-hari sebagai simbol menyatakan kemarahan mereka yang tidak ada hadnya.

ISLAM DAN MELAYU SEBAGAI IDENTITI BANGSA DAN NEGARA

Apa yang berlaku sepanjang sejarah telah memberikan satu identiti Islam kepada kaum Melayu dan Tanah Melayu itu sendiri. Melayu adalah bangsa Islam. Tanah Melayu adalah Tanah Islam. Ini adalah identiti yang telah dibina dan dipertahankan sepanjang sejarah Melayu sejak dari mereka menerima Islam. Penjajah Portugis menyifatkan Melaka sebagai negara umat Islam dan sultannya adalah Sultan Islam. Demikian juga dalam catatan sejarah China, dicatatkan ciri-ciri Islam pada Empayar Melaka.

Inilah identiti kita orang Melayu Islam di rantau ini. Identiti ini tidak mungkin mampu diubah oleh sesiapa pun. Dan tidak ada juga hak kepada sesiapa pun; tidak kira sebesar mana kuasanya di dunia ini untuk mengubahnya.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor sebagai contoh dengan jelas meletakkan syarat Melayu dan Islam kepada penguasa negeri. Negeri Johor juga diisytiharkan oleh Undang-undang Tubuh itu sebagai negeri Islam.

Pentakrifan Melayu dalam perlembagaan sebelum kemerdekaan dengan jelas meletakkan Islam sebagai ciri Melayu. Demikian juga termaktub di dalam perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan. Ini semua adalah hasil perjuangan yang panjang oleh datuk nenek moyang kaum Melayu dahulu untuk mengabadikan Islam di dalam diri bangsa dan susuk tubuh negara yang dihuni oleh kita sekarang.

Seluruh kaum Melayu perlu menyambut kemuliaan ini dengan tekad untuk mempertahankan identiti Islam Melayu yang telah diwariskan ini.

Melayu adalah bangsa Islam

Tanah Melayu adalah Tanah Islam.

Cubaan untuk mengubah hakikat ini adalah permusuhan terhadap Islam. Jika ada orang Melayu yang melakukannya, ia adalah pengkhianatan terhadap perjuangan Islam oleh datuk nenek moyang Melayu dahulu.

Sepakatlah wahai kaum Melayu demi mempertahankannya.

Sepakatlah wahai kaum Melayu untuk memartabatkan Islam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian

 

16 thoughts on “Islam & Melayu sebagai identiti bangsa & negara

  1. Pingback: Islam & Melayu sebagai identiti bangsa & negara | ISMAWeb « Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *