Zakat dan sedeqah membangun ekonomi

Sepanjang umur yang Allah berikan ini, biasa saja saya lihat kawan-kawan yang hidup dalam kemewahan, jiran-jiran yang memandu kereta-kereta mewah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang punya tanah berekar-ekar, emas dan perak berkilo-kilo. Saya juga kerap terlihat makcik-makcik yang berusaha keras menidurkan bayi comel yang menangis kelaparan di tepi-tepi kaki lima sambil mengharap sedekah dan simpati orang ramai. Ada juga yang terpaksa mengerah tulang empat kerat seawal usia enam tahun, dan ada juga yang terpaksa menghabiskan umur dengan kerja keras dek kerana bebanan hidup yang kian menekan serta hutang yang makin ditangguh makin meningkat ‘bunga’nya.

Hakikat yang perlu kita sedari.

Dunia hari ini ialah dunia kapitalis. “No money, no talk,” bak kata orang putih. Bayangkanlah, nak minum air sudah tentu kena bayar, nak buang air pun kena bayar? Sehinggakan ada sesetengah tandas awam yang dikatakan eksklusif mengenakan caj sehingga RM2 setiap kali ingin menggunakannya. Burger yang dulu harganya RM1.50 kini sudah menjadi RM2. Sama dengan harga penggunaan tandas tadi! Roti canai yang dulunya RM0.60 kini RM1. Pekerja yang berpendapatan RM5000 sudah dikira miskin bandar! Sistem kapitalis yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan sekutunya ini bertunjangkan ‘interest’ dan sentiasa membesarkan jurang antara orang kaya dan miskin. Bagaimana pekerja awam bergaji rendah yang dikelilingi hutang dek ingin meneruskan hidup ingin survive dalam sistem yang belum dapat kita ubah ini?

Zakat dan sedeqah satu penyelasaian.

يَمْحَقُ اللّهُ الْرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللّهُ لاَ يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

276. Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

Islam telah membuka jalan dengan menganjurkan zakat dan sedekah. Agama suci ini sentiasa meraikan manusia dari semua aspek, tiada kezaliman yang dibenarkan dalam Islam. Jurang antara golongan kaya dan golongan miskin sentiasa dikecilkan jika zakat dan sedekah ini diamalkan. Kita hidup dalam sistem kapitalis durjana ini dan kita tiada daya mengubahnya serta-merta, namun Allah telah menyediakan alternatif yang sangat bijaksana melalui zakat dan sedekah. Apa jua sistem ciptaan manusia yang mendatang, jurang antara dua golongan ini akan sentiasa dijamin oleh Islam.

Membangun ekonomi dengan zakat dan sedekah.

Ramai yang berfikiran bahawa zakat dan sedekah memusnahkan ekonomi serta mengurangkan harta. Contoh mudah yang mungkin bisa difahami semua, harta zakat dan sedekah diberikan kepada golongan yang selayaknya, kemudian mereka yang dulunya tidak mampu berbelanja untuk keperluan hidup kini sudah mampu berbelanja. Semakin ramai orang mampu berbelanja, semakin banyak permintaan barangan di pasaran, semakin meningkat taraf ekonomi dan semakin bertambah jugalah keuntungan para peniaga.  Para peniaga ini akhirnya terpaksa mengeluarkan lebih banyak barangan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dan secara tidak langsung akan membuka ruang-ruang pekerjaan untuk golongan yang pada asalnya menerima zakat dan sedekah tadi.

Cara menyimpan bagi orang beriman.

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

39. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Orang bijak akan menyimpan hartanya dalam bentuk pelaburan supaya tidak berkurang harta-harta tersebut dek kerana inflasi yang melanda. Orang beriman pula akan berzakat dan bersedekah sebagai pelaburan mereka di hari akhirat nanti. Yakinlah bahawa harta-harta itu memang untuk dibelanjakan, namun mesti menurut landasan syara’.

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَأَنفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

7 . Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebagian) dari hartanya memperoleh pahala yang besar.

Selamat berinfaq di jalan Allah..

Oleh :
Muhammad Shahier bin Sa’min
Tahun 2, Ekonomi dan Perbankan Islam
Universiti Yarmouk

Sumber: Laman Web ISMA Jordan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>