Tolak budaya politik lucah

BANGI, 3 Mei – Pendekatan budaya politik lucah tidak seharusnya diamalkan kerana tindakan tersebut amat bercanggah sama sekali dengan budaya politik Islam yang berteraskan akhlak, tegas Dr. Kamil Azmi Tohiran.

“Kita perlu sedar bahawa politik Islam adalah berlandaskan akhlak dan keimanan, bukannya politik yang bersifat jatuh-menjatuh, perebutan kuasa berdasarkan kepentingan peribadi dan sebagainya,” ujarnya.

Pengerusi Biro Media & Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gambar aksi lucah berbaur politik yang tidak sepatutnya diterbitkan untuk paparan umum.

Sehubungan itu, beliau menyatakan rasa kecewanya dengan apa yang berlaku di medan politik negara hari ini.

“Kecenderungan ahli politik di Malaysia nampaknya lebih kepada budaya-budaya negatif yang saya sebutkan tadi, dan akhlak tidak lagi menjadi pertimbangan untuk menjatuhkan pihak lawan,” tambahnya.

Dr. Kamil turut meluahkan kebimbangan jika perkara terus berlaku kerana kesannya bukan sahaja merosakkan imej politik negara, bahkan memberi kesan negatif kepada kehidupan generasi muda.

“Apa yang kita bimbangkan adalah kesan yang diakibatkan oleh pembudayaan politik lucah di negara ini, kita bimbang dia menular bukan sahaja dalam iklim politik tapi di kalangan generasi muda.

“Budaya seperti ini dikhuatiri akan menjadi kelaziman mereka dalam kehidupan seharian, bercakap perkataan yang lucah, bergurau dengan perkataan lucah, dan sebagainya, dan ini merupakan perkara yang sangat tidak sihat,” jelasnya.

2 thoughts on “Tolak budaya politik lucah

  1. inilah natijahnya bila syariat Islam dikesampingkan..semoga kita tak trgolong dikalangan mereka..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>