Perubahan yang kekal hanya melalui pentarbiyyahan

BANGI, 17 Mei – Perubahan yang kekal hanya akan tercapai melalui proses pentarbiyyahan atau pendidikan formal dan tidak formal yang mengambil masa berpanjangan, tegas Pengerusi Biro Media & Penerangan ISMA, Dr. Kamil Azmi Tohiran.

Menurut beliau, sumbangan yang sedang dilaksanakan oleh ISMA banyak tertumpu dalam bidang pendidikan tidak formal melalui kuliah, usrah, seminar, konvensyen keluarga, perkhemahan belia, kem ibadah dan lain-lain program yang dianjurkan di seluruh negara.

“Perubahan dan pembangunan sesebuah negara adalah lebih bermakna jika berlaku dalam keadaan aman. Pembangunan yang  ISMA maksudkan adalah pembangunan kerohanian dan jati diri di samping pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan ekonomi negara.

“Malaysia mungkin telah ke hadapan dari segi pembangunan fizikal, namun fenomena keruntuhan aqidah dan gejala sosial yang meluas menunjukkan pembangunan kerohanian dan jatidiri masyarakat masih ketinggalan.

“Jika pembangunan kerohanian ini dibiarkan, maka pembangunan fizikal tidak akan bermakna di sisi Islam,” jelasnya.

Justeru itu, Dr. Kamil berkata, ISMA menolak perubahan yang dibuat menerusi revolusi, demonstrasi jalanan dan lain-lain bentuk kekerasan, terutama jika ia jelas didokong agenda luar yang mempunyai kepentingan tertentu dengan berselindungkan nama demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan.

Ini kerana katanya, ISMA hanya mengiktiraf demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan yang berlandaskan neraca Islam.

“Soalan-soalan seperti apakah aspek demokrasi yang dibenarkan Islam, ciri hak asasi manusia yang diiktiraf syarak dan ukuran keadilan yang dikehendaki al-Quran dan as-Sunnah penting untuk sentiasa dihalusi sebelum seseorang itu menyatakan pendirian mereka.

“Sebagai contoh, kita menolak demokrasi yang menimbulkan huru-hara atau budaya fitnah memfitnah yang disemai dalam masyarakat.

“Begitu juga ISMA menolak perjuangan hak asasi manusia yang ditegakkan bagi muslim untuk murtad atau usaha memurtadkan orang Islam,” terang beliau lagi.

Dr. Kamil juga menyatakan, sebagai seorang muslim kita kena mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pendirian, bukan mencari dalil setelah tindakan yang bertentangan dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>