Manfaat peluang tuntut ilmu di bumi Anbiya’

SEPANG, 30 April – Kesempatan berada di bumi Anbiya’ samada Mesir atau Jordan harus dimanfaatkan sebaiknya untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin dan mempersiapkan diri dengan roh islami, tegas Ustaz Mohammad Ismail, AJK ISMA Pusat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup program Selangkah Ke Bumi Anbiya’ bertempat di Kem Nur Bukit Unggul di sini.

SKBA merupakan satu program berbentuk pre-departure tahunan anjuran Sekretariat Antarabangsa ISMA dengan tema tahun ini Panduan Hukama’, Bekalan Bakal Ulama’.

Program ini berobjektif untuk mengumpulkan pelajar lepasan STAM dan SPM yang berhajat menyambung pengajian ke Timur Tengah, khususnya Mesir dan Jordan untuk memberi pendedahan awal mengenai negara yang bakal mereka pergi khususnya tentang kursus-kursus yang ditawarkan, kos sara hidup, maklumat-maklumat umum dan banyak lagi.

Sebahagian besar peserta yang hadir kali ini merupakan bakal penuntut Universiti Al-Azhar, dan sebahagian lagi bakal menyambung pengajian ke Jordan.

Antara penceramah jemputan untuk program SKBA ini ialah Ustaz Ahmad Fikri yang menerangkan prosedur untuk memohon ke Universiti Islam Madinah, seterusnya Dr Syamil Salmi yang menghuraikan mengenai bumi Jordan, dan Ustaz Salman Al-Farisi yang bercerita tentang bumi Mesir.

Para peserta juga berpeluang berinteraksi dengan wakil Yayasan Sofa yang dijemput khas memberi penerangan tentang Imtihan Qabul di mana pada tahun ini seluruh pelajar wajib berdaftar dengan Yayasan Sofa.

Satu program reunion atau alumni ringkas juga diatur bersama para asatizah yang telah lama kembali ke Malaysia untuk beramah mesra selain memberi peluang para peserta menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman daripada mereka.

Pengarah jawatankuasa pelaksana SKBA 2012, Ustaz Rizal bin Sabran melahirkan harapan agar semua peserta dimudahkan urusan untuk menyambung pelajaran di Bumi Anbiya’.

“Kami juga mendoakan semua pelajar berjaya dalam bidang dan cita-cita masing seterusnya bakal kembali ke Malaysia dan menyumbang untuk Islam dan umat tercinta,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>