Dia srikandi berani

Diriwayatkan sumbangannya dalam dunia Islam sangat besar. Diingati dia bukan kerana lembutnya tetapi lantaran tegas si dia dan beraninya bak singa, kasihnya kepada baginda hingga sanggup berkorban nyawa dan cekal jiwanya membesarkan  Az-Zubair, As-Saib dan Abdul Ka’bah walaupun tanpa kehadiran zauj tercinta. Beliau ialah Safiyyah Abdul Mutalib, sahabiyah yang tidak asing lagi dengan keberanian dan ketegasannya.

“Pergi dari sini! Kau tak punya emak lagi!”

Perang Uhud menjadi saksi betapa Safiyyah sangat berani dan tidak gentar melawan musuh. Peperangan Uhud ini antara yang memberi kesan hebat kepada jiwa Safiyyah kerana dia kehilangan saudara kandungnya, Hamzah, yang dibunuh dengan kejam dalam peperangan itu. Tentera Islam mengalami ujian getir dalam Perang Uhud apabila mereka diserang balas oleh musuh ketika sedang leka mengumpul harta rampasan. Mereka bertempiaran melarikan diri sehingga Safiyyah berang lalu mencapai sebilah lembing. Dia mengacu-acukan lembing itu kepada orang ramai yang bertempiaran seraya menjerit-jerit marah kerana mereka meninggalkan Rasulullah sehingga baginda tercedera.

Rasulullah melihat kemarahan Safiyyah lantas berpesan kepada Az-Zubair supaya menghalang ibunya daripada terus mara. Baginda bimbang Safiyyah tidak tabah menahan sedih sekiranya melihat mayat Hamzah yang mati dalam keadaan dikerat-kerat oleh tentera musuh. Namun Safiyyah menolak anaknya sambil menjerit, “Pergi dari sini! Kau tak punya emak lagi!”

Az-Zubair sangat terkejut dan mengadu kepada Rasulullah.  Namun begitu, dengan penuh ketenangan Rasulullah  berkata, “Sudah, biarkan dia.” Orang ramai memberi laluan kepada Safiyyah untuk mara ke hadapan. Wanita itu beristighfar melihat mayat Hamzah, lalu berkata kepada anaknya, “Katakan kepada Rasulullah. Kami tidak senang dengan apa yang berlaku kepada sabilillah ini, tetapi mudah-mudahan kami akan menahan diri dan bersabar.”

Begitulah Safiyyah dengan sifat sabar dan kecekalan hatinya.

Berani bak singa.

Dalam peperangan Khandak pula,  Safiyyah sekali lagi telah membuktikan keberaniannya dengan membunuh seorang yahudi Bani Quraizah. Ketika itu, semua anggota keluarga Rasulullah dikumpulkan di dalam benteng Hassan bin Tsabit. Benteng itu sangat teguh dan berupaya melindungi semua yang berlindung di dalamnya. Ketika perang sedang meruncing, seorang lelaki Yahudi Bani Quraizah datang mendekati benteng dan berlegar-legar di sana.

Melihatkan bahaya yang akan menjelma, Safiyyah segera memberitahu Hassan tentang kehadiran Yahudi itu yang sedang mengintip mereka. Safiyyah meminta Hassan untuk keluar dan membunuh Yahudi tersebut. Namun Hassan menjawab, “Moga-moga Allah mengampuni kau, puteri Abdul Mutalib. Demi Allah, kau memang sudah tahu, bukanlah aku orangnya yang hendak kau suruh turun ke bawah sana.”

Mendengarkan ketidaksanggupan itu, Safiyyah lantas turun dari benteng , mencapai sebatang kayu dan membunuh Yahudi tersebut.

Refleksi.

Kembali melihat diri kita. Andai diletak dalam situasi yang sama, adakah mampu hati ini setabah Safiyyah? Tegas tetapi bukan keras. Berani dan bukan hanya duduk di barisan belakang dan bersembunyi?

Semoga ini dapat menjadi cita-cita kedua iaitu untuk menjadi seorang ‘Safiyyah’.

Wallahua’lam.

Oleh:
Fatin Hamidah binti Mustafa
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Sumber: Laman Web ISMA Jordan

2 thoughts on “Dia srikandi berani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>