Cerpen: Potret seorang rijal

“Sesungguhnya pada setiap waktu yang mendatang, terdapat kewajipan yang baru ke atas dirimu terhadap Allah. Bagaimana kamu akan mengerjakan kewajipan yang lain, sedangkan ada hak Allah di dalam waktu itu yang belum kamu laksanakan.” –Ibn ‘Athaillah

1 Mac 2004

“ Huh, pening kepala aku baca kitab turath. Macam mana ni? Exam tinggal lagi 2 bulan. Mati aku kalau gagal,” keluh Abdullah.

“Abdullah, enta masak kan hari ni? Lauk ada tak? Kalau takde, ana boleh tolong belikan,” ujar Lukmanul Hakim.

“Tak tau la. Enta tengok sendiri la kat dapur tu lauk ada ke tak. Malas la nak bangun. Ana dah pening kepala menghadap kitab turath ni,” balas Abdullah tertekan. Lukmanul Hakim hanya menggeleng kepala. Tersenyum dengan kerenah sahabatnya.

*****

Maktabah Darussalam

Kitab Al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Tarikh al-Islami dicapainya. Hatinya terjentik saat membaca sejarah silam kegemilangan dan kejatuhan Islam.

“Sejarah membicarakan tentang masyarakat manusia, atau peradaban manusia, tentang perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu.” Itulah antara petikan kata-kata Ibnu Khaldun tentang sejarah.

“Umat Islam yang terbaik adalah mereka yang tidak akan jatuh ke lubang yang sama untuk kali keduanya. Kerana mereka mengkaji sejarah.” Ungkap Lukmanul Hakim yang entah muncul dari mana menyapanya. Abdullah menoleh terkejut.

“Assalamualaikum sahabat. Kalau ya pun, jangan la main sergah je. Gugur jantung ana,” ujar Abdullah sambil mengurut dada.

“Waalaikummussalam. Asif ya akhi. Ana tengok enta khusyuk sangat. Takut juga nak ganggu. Tapi bila tengok kitab yang enta baca tu, ana jadi tertarik untuk berkongsi sama,” ujar Lukmanul Hakim.

Tersenyum.

Abdullah memandangnya. Sekilas. Juga tersenyum.

Firman Allah dalam surah Ali-‘Imran ayat 139 yang bermaksud :“ Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang beriman.”

“Syed Qutb ada menyebut : “Perkara pertama sekali yang difikirkan dalam isyarat ayat ini adalah perihal perjuangan jihad yang berterusan di dalam sesebuah peperangan. Tetapi, pada hakikatnya ianya merupakan satu bentuk pengenalan, yang ufuknya lebih besar dan lebih jauh daripada perihal peperangan itu tadi. Ianya adalah perihal berterusan yang sepatutnya dirasai oleh orang mukmin dengan tasawwur dan pertimbangannya terhadap segala perkara, kejadian, dan nilai moral pada taraf yang sama.” Hurai Lukmanul Hakim panjang lebar.

Abdullah hanya mengiyakan, “Itulah yang dinamakan IMAN. Beriman kepada Allah dan Rasul serta berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan harta. Satu transaksi jua beli yang dapat menyelamatkan orang mukmin dari azab yang pedih. Syukran atas perkongsian ilmu.”

Sahabatnya itu hanya membalas dengan anggukan.

Beit Hassan

“Macam mana imtihan tadi? Boleh jawab?” soal Lukmanul Hakim usai mereka menjamu selera.

“Alhamdulillah. Bismillahi tawakkal ‘ala Allah. Kita dah usaha sehabis baik. Yang penting jangan lupa doa dan tawakal,” balas Abdullah sambil membasuh tangan.

“Manusia adalah musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Ilmu itu tempatnya di dada, bukan terikat pada baris-baris lembaran. Semoga kejayaan mengiringi setiap tindak tanduk kita. Terus perbaharui niat,” ujar Lukmanul Hakim sambil menepuk bahu temannya itu dan terus berlalu. Abdullah hanya mampu mengaminkan.

*****

BANDA ACEH, 26 Disember 2004 : Tsunami telah melanda Banda Aceh, Indonesia ekoran gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi dan telah meragut beribu-ribu nyawa di Bandar yang turut digelar Serambi Mekah itu. Dengan magnitud 9.1-9.3 skala Richter, gempa bumi ini adalah gempa ketiga terbesar yang pernah berlaku di dunia dalam tempoh 10 minit. Pelbagai usaha menyelamat sedang giat dijalankan sejak hari kedua musibah itu berlaku.

Innalillahi wainnalillahi raji’un. Baik, Pak Ngah. Abdullah akan minta kawan-kawan kat sini solat jenazah ghaib. Terima kasih Pak Ngah. Doakan supaya Allah pinjamkan kekuatan buat kita semua,” punat merah ditekan menamatkan panggilan jauh lewat malam itu.

Abdullah terkesima dengan musibah yang melanda ke atas keluarganya. Ibu, ayah, kakak dan adik bongsunya pergi dalam sekelip mata. Dia diberitahu bahawa hanya adiknya yang ketiga terselamat dari bencana itu. Dalam kondisi sekarang, dia sangat memahami bahawa adiknya itu sangat memerlukan kehadirannya sebagai sokongan.

Dia bingkas bangun. Kakinya diatur ke bilik air. Pili air dibuka. Tenang. Air wudhu’ diratakan ke anggota badan.

Usai berwudhu’, dia melangkah keluar. Kain sejadah dihamparkan. Lantas tangan mengangkat takbir. Allahu akhbar! Ayat-ayat suci kedengaran sayu. Air mata menitis saat dahi mencecah sejadah.

“Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Kuasa, yang menguasai seluruh alam. Pada-Mu ku pohon secebis kekuatan dalam menempuh hari mendatang. Aku redha atas takdir-Mu yang berkehendak untuk mengambil kembali ahli keluargaku setelah Engkau meminjamkan mereka buatku. Tempatkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang soleh. Aku pohon rahmat kasih sayang-Mu agar menetapkan aku di atas jalan ini setelah Engkau memberi petunjuk dan hidayah-Mu. Matikan aku dalam syahid di jalan-Mu. Bimbinglah aku, rahmatilah aku. Kurniakan aku dan teman-temanku kejayaan dan kefahaman dalam menimba ilmu-Mu. Pohon dengan amat, Ya Allah,”Abdullah lantas meraup wajahnya dengan kedua tangan.

Dengan air mata yang masih berbekas, Abdullah terus mencapai mushaf al-Quran. Bersaksikan para malaikat, jiwa hamba itu terus merintih memohon kekuatan dan kesabaran. Di sebalik pintu, Lukmanul Hakim turut mengaminkan doa sahabatnya. ‘Moga Allah mengurniakanmu kekuatan, sahabat.’

Imbas Kembali

Di luar Masjid Al-Azhar, beralaskan rerumput hijau serta dihiburkan dengan alunan ayat suci kalamullah, berlaku sebuah perbincangan di antara dua pelajar dirasat Al-Azhar.

“Islam bukan sekadar kepercayaan tetapi Islam adalah pengisytiharan kepada seluruh manusia tentang pembebasan daripada penyembahan diri kepada sesama manusia. Ia adalah dakwah yang bertujuan menghapuskan segala undang-undang dan kerajaan yang berdiri di atas dasar hukuman yang dicipta oleh manusia.”

Beliau menyambung lagi, “Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Aku mengimpikan agar rumah ini dipenuhi dengan rijal, untuk aku gunakan mereka dalam menyebarkan Islam.” Bahkan para ulama’ mengatakan:“ Alangkah indahnya agama itu sekiranya ia mempunyai rijal.”

Rijal?” soal Abdullah.

“Pemuda pemudi yang boleh membawa risalah-Nya dengan kefahaman yang benar,” jawab Lukmanul Hakim.

“Owh. Er, saya boleh jadi rijal itukah?” soal Abdullah ragu-ragu.

“Insha-Allah, dengan sebuah tarbiyyah dari Allah,” jawab Lukmanul Hakim memberi keyakinan.

*****

Cairo Airport

“Takkan berganjak kaki seseorang hamba pada Hari Kiamat nanti sehingga disoal tentang umurnya dan pada perkara apakah ia telah dihabiskan; tentang tingkah lakunya dan pada perkara apakah ia dilakukan; tentang hartanya dan dari mana ia didapati serta pada perkara apakah ia dibelanjakan; dan tentang tubuh badannya dan pada perkara apakah ia digunakan. Insha-Allah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap detik kita adalah kerana Allah. Ingatlah enta tak pernah sendirian, Allah sentiasa ada,” ujar Lukmanul Hakim tenang.

“Allah mencintai orang yang saling mencintai kerana-Nya, yang saling duduk kerana-Nya dan saling berkorban kerana-Nya. Jazakallah ya akhi. Enta tak putus-putus nasihatkan ana. Alhamdulillah atas nikmat ukhuwah ini. Andai ini pertemuan terakhir, bertemu kelak kita di jannah. Terus saling mendoakan,” dan dua sahabat itu saling berpelukan. Erat. Seolah-olah inilah yang terakhir buat mereka.

Mereka berpisah di balai pelepasan. Lambaian selamat tinggal semakin hilang dibawa arus sesak penumpang lain.

Seminggu Kemudian

Keputusan peperiksaan telah keluar dan ditampal. Lukmanul Hakim mengatur kakinya keluar dari rumah sejak awal pagi lagi untuk melihat keputusan itu. Hatinya tidak putus berdoa. Sebaik tiba di papan kenyataan yang menempatkan natijah imtihan, matanya pantas mencari nama. Tidak lupa nama sahabatnya, Abdullah.

Alhamdulillah! Kedua-duanya berjaya dengan pangkat Jayyid Jiddan. Lantas dia sujud syukur. Terharu.

Jari-jemarinya pantas menaip mesej buat temannya bagi mengkhabarkan berita kejayaan mereka. Lama dia menanti respons sahabatnya itu. Sementara itu, tangannya mengeluarkan mushaf al-Quran dari poket kemejanya.

“ Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (36:83)

Tritt..tritt..tanda mesej masuk. Matanya melihat penghantar mesej.

‘Nombor Abdullah.’ Detik hatinya.

“Salam..ni temannya Abdullah ya? Terima kasih atas khabar gembira. Kami tumpang gembira, tapi empunya diri baru sahaja selamat dikebumikan Subuh tadi. Arwah meninggal atas sebab yang tidak diketahui. Dia pergi dalam keadaan tenang. Adiknya kelihatan semakin tabah atas pemergian keluarganya. Pohon doa ya, nak. Terima kasih.”

Inna lillahi wainna lillahi raji’un. Kau telah menyahut seruan-Nya terlebih dahulu. Moga kita bertemu di jannah, sahabat.”

Mengalir setitis air mata menuruni lekuk pipinya. Tertunduk memandang bumi. Mengirai bicara hati. Moga tabah dan redha sempat bermukim mencari takhta di jiwanya. Bibirnya diratib penuh mendalam. Mengembalikan segalanya buat yang berhak.

‘Di sana yang abadi, kita bakal dipertemukan. Insha-Allah.’ Bibirnya cuba mengoles senyuman. Pasrah.

Oleh: Lubabah Muhsin, Tahun 1, Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>