Barisan Salafi sokong Dr Mursy calon Presiden Mesir

Barisan Salafi Mesir mengumumkan sokongan rasminya yang menyeluruh untuk Dr Mohd Mursy, calon jemaah Ikhwan Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan dalam Pilihanraya Parlimen 23-24 Mei ini. Barisan Salafi menyebut bahawa keputusan ini diambil berdasarkan beberapa faktor terutamanya kesepakatan kebanyakan badan dan gerakan Islam seperti Badan Syariyyah Hak Asasi Manusia, Badan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Ikhwan Muslimin sendiri. Badan Salafi juga yakin dengan projek pembangunan demi kebaikan Mesir dan rakyatnya yang dibentangkan oleh Dr Mohd Mursy dengan meminta agar beliau mengotakan apa yang dijanjikan.

Di antara faktor sokongan tersebut lagi adalah cubaan berbagai badan yang cuba mengenakan sekatan terhadap jemaah dan calon Ikhwan Muslimin serta tekanan ke arah memecah undi golongan Islam, ke arah menjayakan calon Regim yang lalu menduduki kerusi pemerintahan.

Kenyataan rasmi Barisan Salafi menyokong Dr Mursy selaku calon Presiden Mesir.

Pada mereka, Dr Mohd Mursy juga bergabung dengan jemaah besar yang berinstitusi lagi bersifat kemasyarakatan yang mampu mendokong dan membantu beliau serta menarik pelaburan besar demi melonjakkan ekonomi Mesir, juga mampu mengisi keperluan tenaga kerja di setiap lapangan dan institusi negara yang besar dan penting ke arah mencapai keseimbangan politik dalam negara.

Barisan Salafi juga meminta Dr Mohd Mursy agar memelihara identiti negara Mesir sebagai negara Islam dan Arab, Syariah Islamiah sebagai sumber utama undang-undang negara dan menyelamatkan Mesir dari pemerintahan diktator menjadi negara keadilan, kebebasan dan berinstitusi serta memelihara hak-hak dan kebebasan umat Islam dan bukan Islam di setiap lapisan masyarakat Mesir.

“Sikap kita terhadap semua badan Islam walau berbeza citarasa masing-masing, adalah sikap kasih sayang, ukhuwwah, kerjasama dan walak. Kita mengasihi, membantu dan berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan pandangan masing-masing. Kita mencapai kesepakatan di antara berbagai pemikiran demi memenangkan Kebenaran di bawah naungan kerjasama dan kasih sayang. Pandangan fekah atau perbezaan mazhab tidak menjauhkan kita dengan mereka. Agama Allah itu mudah. Seseorang tidak akan menyusah-nyusahkan dalam hal Agama ini melainkan Agama ini akan mengalahkannya …” [Imam Hasan Al-Banna, Majmuah Rasail ms. 216]

Menjawab satu soalan dalam FaceBook oleh Ahmad Hafizi:

“Salam, Ustaz. Nak bertanyakan tentang PRU di Mesir sekarang. Adakah parti Salafi An-Nur dan parti Ikhwanul Muslimin Hurriyah wal `Adalah bersepakat? Atau diorang tak ngam?”

Secara ringkasnya, di zaman pemerintahan regim Presiden-presiden lalu yang zalim, ketika Ikhwan Muslimin merupakan pembangkang paling kuat bahkan mungkin satu-satunya di Mesir di samping kebanyakan rakyat berhaluan sama, sebahagian golongan Salafi berpendirian sebaliknya, antara yang menonjol ialah pemerintah tidak boleh ditentang atau seumpamanya. Golongan Salafi mendapat banyak tempat di media terutama siaran agama di televisyen dll. Mereka tidak terlibat dengan apa yang dinamakan politik.

Akan tetapi selepas regim diktator tumbang, Salafi berkeputusan terlibat dalam politik. Ini menyebabkan pemikiran mereka muka terbuka dan semakin dekat dengan pendekatan Ikhwan selama ini. Disebabkan golongan Salafi bukan satu entiti organisasi yang kukuh dan tersusun, selepas Revolusi 25 Januari mereka berpecah kepada berbagai golongan, di antara mereka ramai yang semakin mesra dengan Ikhwan Muslimin dan ideologi (manhaj) yang diperjuangkan seperti golongan-golongan Salafi yang mengumumkan sokongan kepada calon Dr Mursy seperti Parti Al-Islah As-Salafi, Al-Jabhah As-Salafiah (Barisan Salafi) dll., manakala di antara mereka ada yang masih kekal seperti dulu seperti Parti An-Nur As-Salafi.

Saya difahamkan oleh seseorang ketika di Mesir dua minggu lalu bahawa di antara sebab Parti An-Nur menyokong Dr Abdul Mun’im Abul Futh (setakat ini) adalah kerana beliau seorang yang Islamik tetapi telah keluar dari organisasi Ikhwan Muslimin, sebuah badan yang mereka tidak ngam sejak dulu. Namun masa masih berjalan dan kita bakal menyaksikan perkembangan dan perubahan positif dan negatif di medan politik yang tidak pernah statik. “Kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang bertaqwa” (Al-Quran).

Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Pengerusi Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

2 thoughts on “Barisan Salafi sokong Dr Mursy calon Presiden Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>