Ayat-ayat tarbiyah jiwa

Berdasarkan tajuk di atas, penulis akan mendatangkan beberapa ayat Al-Quran yang menceritakan tentang tarbiyah dan akan menghuraikan ayat-ayat tersebut secara ringkas.

Umumnya di dalam Al-Quran, kesemua ayat merupakan ayat-ayat tarbiyah kerana tujuan Al-Quran diturunkan adalah untuk mengubah manusia daripada tidak mengenali Allah kepada mengenali Allah. Namun di dalam artikel ini, penulis hanya mendatangkan beberapa ayat yang dipilih secara sengaja sebagai rujukan dan pemudah cara jika ada yang mahu merujuk untuk dijadikan bahan tazkirah atau sebagainya.

Di dalam buku Wasail Tarbiyah Indal Ikhwan karangan Dr Ali Abdul Halim Mahmud, beliau mendefinisikan tarbiyah di sisi Ikhwan sebagai cara (uslub) yang terbaik dalam berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung (iaitu dengan perkataan) atau tidak langsung (iaitu dengan tingkah laku/qudwah) berdasarkan method (manhaj) yang tertentu, menggunakan medium (wasilah) tertentu demi mewujudkan perubahan dalam diri manusia menjadi lebih baik.

Berdasarkan definisi tersebut, tarbiyah yang dimaksudkan adalah perubahan pada individu dalam skop yang cukup luas. Boleh jadi dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Oleh yang demikian, penulis akan memilih tarbiyah jiwa sebagai topik utama di dalam artikel ini.

Tarbiyah jiwa (tarbiyah ruhiyah atau tazkiyyatun nafs) adalah satu perkara yang amat penting di dalam Islam. Menurut Imam Syahid Hasan Al-Banna, para pendakwah merupakan mereka yang paling berhajat kepada cahaya hidayah untuk meneruskan jalan dakwah ini. Dakwah memerlukan jiwa yang bersih, kerana dakwah ini suci dan bersih. Dakwah hanya berjaya jika hati pendakwah dekat dengan Allah.

Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman dan panduan dalam usaha kita mentarbiyah jiwa:

1. Wahai manusia, apakah yang telah menyebabkan engkau lalai dan leka daripada mengingati Tuhanmu yang mulia? Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), dalam apa jua bentuk dan rupa Allah menyusun kejadianmu seperti mana yang Dia kehendaki. (Al-Infithor : 6-8)

Allah mempersoalkan manusia yang leka dan lalai daripada mengingati-Nya, apakah sebab kelalaian tersebut sedangkan Allah telah menyempurnakan kejadian manusia dengan sebaik-baik kejadian? Hebat sangatkah kita ini sehingga tidak mahu melaksanakan apa yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang?

Allah juga mengingatkan manusia bahawa Pencipta yang Maha Hebat hanyalah Allah. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki dan mengurniakan segala nikmat, yang menghilangkan lapar dan dahaga, yang memiliki dunia dan seisinya.

Adakah hati kita sudah keras dan penuh berkarat dengan dosa sehingga kita lupa asal-usul kita?

Kembalilah kepada Allah, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah yang terpikul di bahu. Cukuplah ayat ini mampu menggetarkan jiwa dan menyebabkan kita menangis menginsafi segala kesalahan dan kekurangan.

2. Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkannya semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (Al-An’am : 122)

Hati yang hidup dapat merasakan kelazatan ibadah dan menyedari dirinya sentiasa diperhatikan Allah. Dirinya tenang dalam apa jua keadaan. Kehidupannya lebih indah dan menarik berbanding orang yang memiliki hati yang sudah mati. Seolah-oleh tiada kehidupan baginya.

Pepatah Arab mengatakan: Jika jiwa itu besar, jasad akan berasa letih (kerana menuruti kehendak hati). Ertinya, jika kita memiliki hati yang hidup, kita menjadi kuat dan hebat! Bayangkan jika umat Islam seluruh dunia, bermula di negara China sehingga yang berada di hujung Amerika Syarikat, memiliki hati seperti ini, sudah pasti keadaannya tidak sama dengan realiti yang berlaku pada umat hari ini.

Oleh itu, berusahalah memiliki hati yang hidup dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, solat jemaah dan puasa sunat.

3. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams : 7-10)

Setiap manusia tidak akan terlepas dengan ujian. Dia di antara 2 tarikan, tarikan iman dan tarikan nafsu dan syaitan. Terbentang 2 pilihan di hadapannya, sama ada mahu yang bersih atau yang kotor. Tarikan kejahatan sentiasa mengintai-intai, mencari-cari peluang. Perkara haram dihias menjadi cantik, semua yang fana diubah kelihatan indah.

Maka tatkala diuji, wajiblah kita bermujahadah melawan kehendak nafsu dan pujukan syaitan. Gunakan benteng iman. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran.

Tiga ayat di atas perlu dihayati dan diamalkan. Diulang-ulang bacaan agar terlekat kuat dalam ingatan. Usah mengharap menawan gunung yang tinggi jika nafsu masih belum dapat dibendung. Inilah tarbiyah jiwa yang diajar oleh Al-Quran.

Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata di dalam Risalah Muktamar Kelima: “Sesungguhnya proses pembinaan umat dan mendidik masyarakat, menggapai cita-cita dan memenangkan prinsip memerlukan ummah yang memiliki ‘kekuatan jiwa’ yang terungkap seperti berikut; keinginan yang padu yang tidak mampu dilemahkan, kesetiaan tanpa pengkhianatan, pengorbanan yang mulia yang membuang rasa bakhil dan mengetahui prinsip dan beriman dengan prinsip tersebut.

Di sinilah perjuangan umat ini bermula. Tarbiyah jiwa di permulaan dan di pengakhiran jalan.

Oleh:
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia

8 thoughts on “Ayat-ayat tarbiyah jiwa

  1. Pingback: Ayat-ayat tarbiyah jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>