Wala’ dan Bara’ dalam konteks perjuangan menegakkan syariat Islam

1. Punca wujudnya gerakan Islam ialah syarak, iaitu Allah S.W.T. Manakala punca wujudnya gerakan demokrasi Barat ialah rakyat, iaitu kehendak manusia. Perbezaan punca wujud ini adalah perbezaan jauhari, bukan sahaja tiada titik pertemuan di pertengahan jalan, bahkan saling bertembung dan bertentangan.

2. Objektif gerakan Islam ialah untuk menegakkan syariat sehingga semua manusia tunduk kepada Allah. Objektif gerakan demokrasi Barat ialah mempertuhankan suara manusia.

3. Wasilah dan kaedah untuk menegakkan syariat ini mestilah berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh syarak sendiri. Antara garis panduan itu ialah isu Wala’ dan Bara’.

4. Wala’  memberi erti berkasih sayang, berteman rapat dan bertolong bantu memenangkan yang dikasihi itu. Manakala Bara’ adalah lawan kepada Wala’.

5. Wala’ dan Bara’ adalah isu akidah, merupakan implikasi langsung kepada pengucapan Dua Kalimah Syahadah. Selain kewajiban mentauhidkan Allah dan arahan menjauhi syirik kepada-Nya, penegasan mengenai kewajiban Wala’ dan Bara’ adalah antara yang banyak disentuh dalam al-Quran, dalam konteks aqidah. Antaranya:-

a) Surah al-Mumtahanah ayat pertama.

b) Surah al-Mumtahanah ayat keempat.

c) Surah an-Nisa’ ayat ke 144.

d) Surah al-Maidah ayat ke 51.

e) Surah Ali Imran ayat ke 28.

f) Surah al-Mujadilah ayat ke 22.

g) Surah Ali Imran ayat 118.

6. Berdasarkan ayat-ayat yang banyak di atas, jelas menunjukkan bahawa asas Wala’ dan Bara’ ialah iman. Wajib memberi wala’ kepada orang yang beriman, haram memberi wala’ kepada orang kafir. Ini adalah thawabit dalam Islam, unsur tetap yang tidak akan berubah sehingga ke hari kiamat.

7. Pengharusan berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang kafir seperti yang terdapat dalam ayat kelapan daripada Surah al-Mumtahanah (walaupun ada ulamak tafsir seperti Qatadah mengatakan ia sudah dimansuh oleh ayat pertama hingga kelima daripada Surah Taubah), mestilah difahami seiring dengan ayat-ayat pengharaman Wala’ yang begitu banyak kepada mereka dan terbatas kepada yang tidak memerangi Islam. Mencampur adukkan antara berbuat baik dan berlaku adil dengan memberi wala’ adalah satu tindakan yang mengelirukan daripada orang yang alim atau ia memang tindakan daripada yang jahil tentang syarak.

8. Dalam konteks pemerintah beragama Islam yang zalim dan fajir, maka rakyat wajib memberi Wala’ sekadar ketaatannya sahaja dan wajib Bara’ terhadap sebarang kezaliman dan kefajirannya. Bara’ terhadap pemerintah seperti ini tidak sama dengan Bara’ terhadap orang kafir, kerana sepakat Ahlu Sunnah wal Jamaah bahawa dosa-dosa besar tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam (menjadi kafir), kecuali jika ia melakukan perbuatan syirik atau perbuatan-perbuatan yang tidak boleh ditafsirkan selain kufur.

9. Kaedah amar makruf nahi mungkar juga mestilah berpandukan kepada garis panduan syarak. Bukan hanya kerana pendakwah yang melakukan amar makruf nahi mungkar itu adalah seorang muslim yang mesti patuh kepada syarak, bahkan urusan amar makruf nahi mungkar itu sendiri adalah urusan syarak. Ia adalah agenda syarak asalnya, bukan agenda rakyat seperti mana-mana rakyat yang tidak bersyariat di muka bumi ini yang mahukan keadilan, yang bertindak mengikut hawa nafsu tanpa terikat dengan mana-mana kitab dari langit.

10. Oleh itu:-

a) Maka tindakan menyamakan pemerintah beragama Islam yang zalim dan fajir dengan orang kafir, apatah lagi jika ditinggikan lagi kedudukan orang kafir yang dikatakan adil menurut neraca akal dan bukan neraca syarak, adalah satu pencabulan terhadap konsep Wala’ dan Bara’ yang lahir daripada Dua Kalimah Syahadah.

b) Mengerah anggota agar bertolong bantu melonjakkan ketokohan pemimpin kafir yang memerangi agama Allah adalah satu tindakan yang mencabul konsep Wala’ dan Bara’, selain mencabut ciri utama gerakan Islam lalu bertukarlah statusnya kepada gerakan demokrasi semata-mata.

c) Bertahaluf dengan parti kafir yang terang-terangan menolak perlaksanaan syariat Islam di ketika umat Islam berpecah belah dan kejahilan melata adalah satu lagi pencabulan kepada konsep Wala’ dan Bara’. Tuntutan wajib pada ketika ini ialah  menguatkan dan memperkukuhkan Wala’ sesama orang-orang yang beriman dan menjauhi apa-apa persepakatan (Bara’) dengan orang-orang kafir. Selagi dia beriman, selagi itulah Wala’ kita bersamanya. Selagi dia kafir, selagi itulah kita Bara’ terhadapnya. Noktah-noktah ini hanya relevan bagi gerakan Islam yang punca wujudnya ialah syarak, tidak relevan bagi gerakan demokrasi yang punca wujudnya ialah rakyat, iaitu kehendak manusia yang diterjemahkan melalui undi.

d) Gerakan Islam mesti mengekalkan ciri tamaiyuz dalam matlamat, objektif, wasilah dan pendekatannya.  Perbezaan itu bukan pada jubah, tudung, serban dan seumpamanya, seperti sekadar berbezanya perkataan syura dan demokrasi dari sudut ejaannya semata-mata. Tiada lagi tamaiyuz jika gerakan Islam menjadikan peti undi sebagai matlamat, menyamakan nilai orang kafir dengan nilai orang Islam dan sebagainya. Apabila tiada lagi tamaiyuz, jadilah gerakan Islam itu gerakan demokrasi biasa.

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Latihan & Kepimpinan,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Menuju Perubahan

38 thoughts on “Wala’ dan Bara’ dalam konteks perjuangan menegakkan syariat Islam

  1. Pingback: Wala’ dan Bara’ dalam konteks perjuangan menegakkan syariat Islam | ISMAWeb « Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>