LBGT: Musuh atau mangsa?

Tuntutan hak kesamarataan berasaskan hak asasi manusia menyaksikan pelbagai pihak bangkit menuntut hak masing-masing. Apabila kita memperkatakan hak asasi manusia, kebanyakan interpretasi yang cuba diketengahkan adalah memperjuangkan hak setiap individu untuk membuat pilihan sendiri tanpa dipengaruhi, didiskriminasi, dan dihukum oleh mana-mana pihak. Sebarang usaha menguatkuasakan sesuatu peraturan, memaksakan sesuatu nilai atau “moral policing”, atau mengenengahkan nilai-nilai keagamaan dilihat bertentangan dengan hak asasi individu.

Apabila memperkatakan perihal LBGT, yang merujuk kepada kecenderungan seksual seseorang individu, maka kebebasan yang dimaksudkan adalah kebebasan memiliki dan memperatikkan kecenderungan seksual yang pelbagai, tanpa ada sekatan sama ada atas dasar budaya, agama mahupun fitrah kemanusiaan.

Sebarang usaha untuk membendung, menyekat, memberi kesedaran dan mengekalkan fitrah kemanusiaan dilihat bertentangan dengan tuntutan hak asasi. Menjadi satu dilema yang besar bagi mereka yang memperjuangkan hak asasi, samada untuk memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada pejuang LBGT, atau memelihara unsur adat budaya dan tuntutan agama. Adakah golongan LBGT ini wajar diiktiraf dan diberi kebebasan untuk menjalani hidup tanpa ada unsur sekatan atau diskriminasi?

Adalah amat sukar untuk memperkatakan dilemma ini tanpa berdasarkan apa-apa paksi atau nilai pemikiran.

Adakah kewujudan LBGT perlu diiktiraf?

Apabila kita memerhati beberapa hukum fekah dalam agama Islam, di sana beberapa larangan/batasan yang jelas dalam menentukan cara berpakaian (hukum aurat antara jantina berlainan dan sesama jantina, larangan menyerupai jantina berbeza), cara pergaulan (sesama jantina dan berlainan jantina), hukum untuk khunsa, jelas kepada kita bahawa terdapatnya satu pengiktirafan bahawa terdapatnya masalah dalam isu kecenderungan seksual dan adanya unsur-unsur pencegahan terhadap masalah ini.

Adakah semua kecenderungan dan tuntutan naluri perlu dipatuhi?

Dalam menhadapi isu kecelaruan kecenderungan seksual, pendekatan psikologi barat selalunya meletakkan ketenangan manusia apabila mereka menurut segala kata hati dan naluri mereka.

Islam meletakkan ketenangan hati pada ketaatan dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mengetahui dan Menguasai hati setiap manusia.

Apabila kita mengiktiraf wujudnya pelbagai kecenderungan seksual, tidak bermakna bahawa semua kecenderungan ini perlu dituruti semahu-mahunya. Berdepan dengan permasalahan ini, sekiranya kita kembali kepada Islam yang syumul, maka akan jelas kepada kita bahawa kita perlu akur dengan hukum dan ketetapan syarak. Mujahadah, iaitu segala usaha untuk menundukkan hawa nafsu daripada mengikuti naluri yang bertentangan dengan syarak akan mendapat balasan pahala dan kebaikan daripada Allah.

Hidup ini adalah medan ujian dan setiap individu diuji dengan ujian yang berbeza-beza jenis dan kadarnya. Kecelaruan kecenderungan seksual adalah salah satu bentuk ujian yang perlu dihadapi dan ditangani dengan cara yang terbaik.

LBGT Bukan Musuh?

Bertitik tolak daripada kefahaman dan keyakinan bahawa hidup adalah medan ujian, maka mereka yang memiliki kecelaruan kecenderungan sosial bukanlah musuh tetapi mereka yang perlu dibantu supaya mereka terus mampu untuk taat kepada perintah Allah dan batasan agama, adat resam dan budaya.

Pejuang Hak LBGT perlu dimusuhi

Saya mengambil pendirian untuk membezakan mereka yang memiliki masalah kecelaruan kecenderungan seksual dengan pejuang hak LBGT.

Perjuangan hak LBGT yang meletakkan naluri individu sebagai neraca mutlak, sehingga merendahkan martabat kemanusiaan setaraf dengan haiwan yang hidup tanpa akal dan batasan, bahkan menolak peranan adat dan agama dalam pembentukan tamadun kemanusiaan adalah ditolak sama sekali dan perlu dimusuhi.

Perjuangan ini bertentangan dengan tuntutan agama dan hukum alam yang ditetapkan oleh Allah yang Maha Pencipta.

Perjuangan ini jelas bertentangan dengan Maqasid Syarak untuk menjaga agama, dan nasab keturunan.

LBGT adalah Mangsa Keadaan!

Saya melihat permasalahan sosial yang menyaksikan budaya LBGT semakin mendapat tempat hari ini, berpunca daripada hilangnya peranan agama dan budaya dalam mendidik masyarakat.

Mereka menjadi mangsa keadaan apabila kecenderungan mereka tidak dihadapi dengan cara yang wajar. Seandainya sejak dari kecil, ibubapa tidak memberi penekanan mengenai cara berpakaian dan dibiarkan berpakaian dengan pakaian berlainan jantina, siapakah yang wajar dipersalahkan apabila berlakunya kecelaruan identiti apabila usianya meningkat remaja?

Siapa pula yang perlu dipertanggungjawabkan apabila seseorang itu membesar tanpa diajar mengenai adab-adab dan batasan-batasan apabila berpakaian, bergaul dan berhibur?

Siapa pula yang wajar di pertanggungjawabkan apabila seseorang itu membesar tanpa tujuan hidup yang jelas melainkan sekadar mengikut segala tuntutan hawa nafsu tanpa ada batasan agama dan adat budaya?

Bagaimana pula dengan pelbagai jenis hiburan tanpa batasan yang disogokkan sepanjang pembesarannya? Siapakah yang akan bertanggungjawab?

Bagaimana pula dengan anak-anak yang membesar dalam keadaan terbiar tanpa kasih sayang dan perhatian? Apabila mereka mendapat perhatian dan kasih sayang daripada mereka yang songsang hidupnya, dan terjerumus ke dalam gejala LBGT, siapa pula yang akan bertanggungjawab?

Setiap individu pula bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat ke atas dirinya dan tidak akan terlepas daripada soal jawab di hadapan Allah SWT.

Saya menyimpulkan bahawa setiap ahli masyarakat tidak akan terlepas daripada menanggung bahagian masing-masing dalam dalam permasalahan ini, pada kadarnya masing-masing. Setiap ahli masyarakat akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah sebagaimana juga dengan kemungkaran-kemungkaran yang lain yang dibiarkan berleluasa.

Di mana penyelesaiannya?

Penyelesaian kepada masalah ini adalah kompleks sebagaimana kompleksnya permasalahan ini. Ada penyelesaian yang berbentuk mendidik dan mencegah, dan ada pula yang bersifat merawat dan menghukum. Semua penyelesaian ini bertitik tolak kepada pengamalan islam yang syumul, bermula dengan meletakkan manusia sebagai hamba Allah dalam kehidupan yang bertuhan. Janganlah kita merendahkan martabat kemanusiaan sehina haiwan yang tiada akal dan batasan.

Oleh: Zaizul Azizi Zaman,
Aktivis ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>