Isteri solehah dan anak soleh

Baru-baru ni, saya didatangi oleh seorang pelajar IPT yang berhasrat untuk membina ‘masjid’nya dalam masa terdekat ini. Calon pasangan sudah ditemukan, cuma masalahnya macamana nak beritahu ibu bapa… Dilema yang dihadapi, rata-rata merupakan dilema kebanyakan pelajar IPT samada awam atau swasta, sama saja… dan saya menjadi tempat rujukan mereka yang mengenali saya kerana dua faktor; saya sendiri mendirikan masjid di tahun dua pengajian sewaktu di US dulu, dan akhir tahun 2007 baru-baru ni, anak lelaki (sulung) saya pulak mengikut jejak ibu dan ayahnya.

Nasihat saya pada mereka, dapatkan restu ibu dan ayah dulu. Yakinkan mereka akan keperluan mendirikan rumahtangga tersebut. Memang susah, tapi itu keperluan. Tidak dapat tidak, bab yang satu ni kena beres dulu. Kalau tidak, masalah yang akan timbul nanti, menjadi lebih rumit lagi.

Dalam menasihati mereka, saya terkenangkan beberapa insiden yang terpaksa kami sendiri tempuhi, tidak kurang juga dengan kemusykilan-kemusykilan yang pernah teman-teman kongsikan dengan saya suatu ketika dulu.

Tracing back sejarah saya dan suami mengambil keputusan berterus terang dengan ibu dan ayah mengenai hasrat kami, memang ada yang menyentuh hati. Walaupun penjelasan telah diberi, namun ternyata masih berat keizinan itu diperolehi. Fikir saya saat itu, “kenapa susah sangat mereka nak faham betapa susahnya hidup di perantauan sendirian. Fitnah yang berlaku sekeliling kami saat itu terlalu banyak dan menakutkan”.

Namun setelah menjadi ibu dan ayah juga sekarang, kami menjadi sangat-sangat mengerti dilema dan kerisauan para ibu dan ayah. Rumahtangga yang nak dibina, bukanlah untuk sehari dua, takut-takut mereka suka-suka nak kahwin, kerana rakan-rakan lain juga pakat kahwin, tak seronoklah kalau kita yang ketinggalan… itu adalah antara kerisauan para ibu dan ayah. Sementelahan lagi, ibu ayah merasakan anak-anak masih kecil, ‘they are still my baby’, masakan dah sampai masanya nak berumahtangga. Terasa seperti belum puas memanjakan mereka. Kalau si ibu keberatan melepas anak lelakinya pergi, bimbang bakal menantu yang akan mengambil tempatnya nanti, apa bisa menjaga si anak seperti dia?

Kalau si ayah merasa berat merelakan anak gadis yang selama ini dijaga dan dibelai sebaik mungkin. Apa bisa bakal menantu lelakinya memberi yang serupa, kalau pun tidak yang lebih baik darinya selama ini?

Itulah antara dialog-dialog hati ibu dan ayah sebelum memberi kata putus melepaskan si anak, walau lelaki maupun perempuan. ‘Perang perasaan’ ibu ayah hanya ibu ayah jualah yang mengerti. Namun saya juga sangat mengerti akan keperluan pada mendirikan masjid tersebut, walaupun masih di alam pengajian lagi. Zaman dah berubah, dunia dah maju… kalau dulu-dulu anak dara dipingitkan, dikawal dengan rapi, namun kini semua mereka terdedah dengan seribu satu fitnah yang sangat-sangat membebani mereka yang mengerti.

Kenapa mereka yang mengerti merasa terbeban? Apa bukan semua mereka serupa kerisauannya? Yang mengerti hukum, dan mengerti realiti kehidupan sekarang menjadi lebih risau, kerana dengan fitnah yang ada di sekeliling kita hari ini, bukan senang nak mengawal diri dari tidak melanggar hukum. Untuk memastikan diri dapat menjaga dari terjebak, maka kita belajar hukum, bila dah mula mengenal hukum, maka kita merasakan bahwa jalan yang terbaik untuk mengelakkan fitnah itu adalah dengan membina masjid yang dirahmati Allah swt. Maka kita akan berusaha ke arah itu.

Tidak kurang juga kes lain yang memerlukan kita menjaga kemaslahatan dakwah lebih dari kepentingan diri sendiri. Makanya, kita mengambil keputusan untuk menghalalkan saja apa yang selama ini belum halal, demi memastikan perjalanan dakwah itu lancar dan dirahmati Allah. Sesungguhnya syaitan itu sangat dengki dengan anak Adam dan akan terus mencuba memperdayakan manusia agar sama-sama menjadi temannya di neraka, na’uzubillahiminzalik.

Makanya, apa nasihat saya pada mereka ini? Maklumlah, manusia berbagai ragam, susah juga kita nak mengenal pasti langkah yang paling baik yang patut diambil. Tapi, satu pesan saya pada sesiapa saja yang mahu mendengar, walau apapun, dapatkan dulu restu ibu ayah. Kalau ikut pengalaman dan pemerhatian saya, ibu ayah si gadis lebih mudah mengizinkan, lebih-lebih lagi bila bakal menantunya dari orang yang baik dan terserlah akhlak solehnya. Siapa yang tidak lega bila merasakan anaknya bakal dijagai oleh orang yang baik-baik. Berbanding dengan ibu bapa anak lelaki, bukan setakat bakal menantu yang menjadi kerisauan, tetapi kemampuan anak sendiri menyara kehidupan yang mendatang itu juga menyesak dalam hati dan fikiran mereka. Oleh itu, fahamilah mereka….

Berikan keyakinan kepada mereka supaya mereka faham, dan dapatkan restu mereka dahulu walau susah macamana pun. InsyaAllah, kalau kita ikhlas dengan Allah tentang perkahwinan itu, Allah akan memudahkan kita untuk yang selanjutnya. Setelah persetujuan diperolehi, banyakkan syukur padaNya, dan berusahalah menjadi anak yang soleh/solehah.

Kalau si gadis, walaupun ibu mertua mendapat tempat melebihi ibu sendiri selepas berkahwin, jangan terus dikesampingkan ibu yang melahirkan kita, dan suami juga perlu pandai untuk tidak merumitkan situasi isteri. Jangan meletakkan mereka dalam keadaan yang serba salah. Kalau si jejaka pula, walaupun ibu mertua tidak setanding dengan ibu sendiri, tapi hormati dan sayangi dia sebagai ibu yang selama ini membesarkan isteri kita hingga dapat menjadi isteri yang sempurna buat kita. Saling menghormati dan menyayangi amat perlu dalam sesebuah rumahtangga.

Pesanan saya buat para isteri dan bakal isteri, tanamkan dalam hati bahwa ‘dalam usaha aku menjadi isteri yang solehah, aku perlu pastikan suamiku menjadi anak yang soleh pada ibubapanya’, insyaAllah kalau ini yang selalu kita amalkan, rumahtangga yang terbina akan harmoni. Kita mengetahui bahwa, syurga itu di bawah tapak kaki ibu buat anak lelaki, dan di bawah tapak kaki suami buat para isteri. Maka sewajarnyalah, si isteri harus memastikan suaminya memperolehi syurga dahulu, dalam perjalanannya memperolehi syurga sendiri dari suami.

Satu ketika dulu, saya pernah didatangi dengan beberapa kemuskilan dari kawan-kawan. Semuanya berkenaan dengan hubungan masing-masing dengan mertua. Pening jugak sebenarnya nak bagi advice, sebab mereka masing-masing macam dah ‘kimeta’,kata orang Jepun, yang membawa maksud…”I am right, I am determined!!”… Luahan hati mereka bila sekali fikir, ada benarnya, kerana hukum sudah menyatakan sedemikian, namun bila diselak-selak di celah kehidupan yang dilalui, ternyata kita terlalu mementingkan diri sendiri.

“Suami yang wajib sediakan nafkah untuk keluarga kan? Jadi saya akan pastikan semua keperluan disediakan suami. Duit gaji saya adalah untuk saya, saya kena beri pada mak ayah saya juga. Yang saya tahu, kalau lauk dah habis, suami sediakan, sewa rumah dan keperluan anak-anak juga, bawah tanggungan suami, bukan saya. Kalau dia tak belikan, biarlah sama-sama tak makan…”

Subhanallah!! Betul, kita dan anak-anak adalah tanggungjawab suami, semua suami kena sediakan, (sebab tu mak ayah jejaka yang faham dia ‘seriau’ sebelum membenarkan anaknya bina masjid), tapi bukankah sedekah yang lebih afdhal itu adalah sedekah kepada suami? Ertinya, bantu ringankan suami itu lebih afdhal buat kita. Lebih-lebih lagi, keluarnya kita bekerja juga adalah dengan izin suami, maka sebaiknya kita mendahului suami sendiri.

Kalau suami keberatan, rela dalam paksa mengizinkan kita bekerja, di mana keberkatannya?

Pernah juga seorang teman mengadu pada saya, suaminya terlalu memberi kepada ibubapa dan adik-adiknya sendiri di kampung. Dia marah dan tak puas hati kerana menurutnya, dia dan anak-anak lebih layak. Saya juga jadi pening kepala, sebab ternyata apa yang sudah diberi oleh suami pada mereka sekeluarga, menurut pandangan saya, sudah lebih dari mencukupi…dah masuk dalam kategori bermewah pun. Bukan ada yang kurangnya mereka dibanding dengan orang lain… namun dia masih mengeluh.

AllahuAkbar!! Begitulah kita kalau hakikat sebenar tak kita ketahui. Benar kita isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab suami, tapi apa yang dimiliki suami adalah juga hak ibu ayahnya. Memastikan keluarga (adik beradik) sendiri dalam kesejahteraan adalah juga tanggung jawab anak lelaki. Semuanya ada bahagian masing-masing,redha dan berserah saja pada Allah swt, mohon dariNya, sesungguhnya Dia Maha Kaya. Bersederhana dalam kehidupan itu lebih baik dari bermewah-mewah.

Dari itu, saya seru diri saya, keluarga dan sesiapa saja yang berhajat, tuntutlah ilmu yang sepatutnya sebelum kita mengambil sebarang keputusan yang besar dalam hidup, agar tiap tindakan kita beserta dengan kefahaman yang jelas, semoga semuanya dalam redha Allah.

InsyaAllah, isteri yang solehah adalah sebaik-baik perhiasan di dunia, dan isteri yang solehah itu akan dikurniai anak/menantu yang soleh pulak sebagai ganjarannya nanti. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.

Ya Allah, Ampunilah seluruh ahli keluargaku dan ahli keluarga suamiku, serta golongkanlah kami semua dalam golongan hamba-hambaMu yang mendapat taufiq dan hidayahMu serta rahmat dan redhaMu. Ameen ya Allah, ya Rabbal ‘alamin.

Oleh: Puan Noorzaimeen A. Kadir,
Ahli Majlis Pembangunan Wanita & Keluarga ISMA

Sumber: Laman Web Wanita ISMA

10 thoughts on “Isteri solehah dan anak soleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>