Hormati garis sempadan agama Islam

ISMA menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, di atas titah baginda semasa merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak beberapa hari yang lepas.

Intipati utama yang terkandung dalam titah baginda ialah supaya semua pihak di negara ini menghormati garis sempadan menyentuh agama Islam. Ini berikutan tindakan sesetengah golongan bukan Islam yang cuba mencampuri urusan agama Islam, mempersoalkan perkara menyentuh syariat dan aqidah Islam serta mencabar kedudukan dan hak agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

ISMA menyifatkan seruan ini sebagai amat tepat pada masanya dan mesti dipandang serius oleh semua pihak. Golongan bukan Islam perlu mengetahui batas-batas yang telah digariskan dan tidak melampau dalam sebarang tindakan, kenyataan atau tuntutan yang dikemukakan.

ISMA juga menyokong sepenuhnya titah DYTM Raja Nazrin supaya perkara menyentuh Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara holistik dan dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

Pada masa yang sama, umat Islam di negara ini digesa supaya bangkit dan sensitif tentang hak-hak mereka seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Umat Islam khususnya orang Melayu hari ini perlu sedar sepenuhnya bahawa zaman kini telah berubah dan sudah tidak seperti dulu lagi.

Jika dulu mereka boleh berasa aman kerana negara ini adalah negara mereka dan pemerintah tempat pergantungan yang menjamin hak dan kepentingan mereka. Namun kini zaman telah berubah, pemerintah tidak lagi boleh menjadi benteng dalam mempertahankan kepentingan dan hak mereka seperti dulu. Sekarang mereka perlu berjuang seperti bangsa-bangsa lain untuk mempertahankankan hak dan nasib masa depan.

Titah DYTM Raja Nazrin supaya semua pihak menghormati kedaulatan dan kedudukan agama Islam seharusnya dipandang serius kerana pengiktirafan Islam sebagai agama Persekutuan ini adalah salah satu komponen utama yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama.

ISMA meyakini bahawa perpaduan rakyat di negara ini bergantung kuat kepada sejauh mana semua kaum dan pihak menghormati kontrak sosial ini termasuk kedudukan dan hak agama dan umat Islam.

3 thoughts on “Hormati garis sempadan agama Islam

  1. Pingback: Hormati garis sempadan agama Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>